Inilah entri pertama ana dalam bulan ini selepas entri terakhir ana hujung bulan lepas. Hampir ke pertengahan September, Ramadhan pula telah memasuki saat2 keemasannya. Entahlah... berat rasanya jari2 ana nak menaip. Ditambah dengan tanggungjawab menggantikan rakan sejawat ana untuk menjadi pengawas peperiksaan UPSR untuk tahun ini. Boleh juga ana cari pengalaman jaga murid UPSR. Sungguhpun elaunnya tak sebarapa, namun ana bersyukur kerana dipertemukan dengan 3 orang insan istimewa yang turut menduduki UPSR pada tahun ini.
Ana ditugaskan di SK Saint Aidan (SKSA). Dengan jarak tidakpun melebihi 3 km daripada rumah ana, begitu juga sekolah, ana hanya berulang dengan motosikal. Kebetulan pula ana diminta untuk menjadi pengiring Ketua Pengawas setiap hari, En. Nasarudin untuk mengambil soalan di bilik kebal SM Datuk Mansor (SMDM) setiap hari. Oleh kerana SMDM merupakan laluan ana juga untuk ke SKSA, ana tak menolak.
Ana mengenali 3 orang insan istimewa ini bermula hari pertama peperiksaan. Khatib, Mustari dan Azifah. 3 nama yang ana takkan lupa, 3 nama yang membuatkan ana bersyukur dengan anugerah Allah kepada diri dan keluarga, 3 nama yang hampir membuatkan ana menitiskan air mata lantaran hebatnya ujian Allah buat mereka dan ibu bapa mereka.
Mereka menduduki UPSR, seperti juga rakan2 yang sebaya dengan mereka. Soalan yang sama, segala2nya sama. Aras dan kemampuan pemikiran mereka sahaja yang berbeza. Seketika ana menyalahkan pihak berwajib kerana membuat penilaian yang lebih cenderung kepada akademik sedangkan keadaan mereka begitu. Cukuplah sakadar mereka tahu menguruskan diri, mengenal nombor, ABC, mengaji Iqra', dan asas2 pelajaran yang lain. Kalau murid normal pening2 kepala menjawab soalan, mereka langsung tak mempedulikan soalan. Untuk peperiksaan kali ini dan seperti biasa, mereka dan murid2 lain seperti mereka diasingkan di dalam kelas khas untuk murid Pemulihan Khas.
Apa gunanya peperiksaan jika begitu keadaannya. Untung juga ada kertas objektif, dengan 'kepakaran' yang mereka ada pastinya mereka lebih dahulu menyiapkan jawapan mereka berbanding rakan2 normal yang lain. Manakan tidak, disuruh buka soalan pun mereka tak mahu. Salah seorang berkata, "Kalau buka soalan nanti lambat siap ustaz". Antum bayangkan, begitu sekali pemikiran mereka. Mahu disamakan dengan rakan normal yang lain? Ana rasa memang tidak adil buat mereka. Mujur juga berjawab. Kalau kertas subjektif? Alamat menyalin soalan sahajalah. Itupun payah bagi mereka. Memang ana maklum, kertas mereka bukan ditanda oleh penanda sepertimana murid normal yang lain, ada penanda khas untuk mereka tetapi apa faedahnya? Tak berjawab! Nak tanda apa? Takkan nak menilai tulisan mereka yang hanya menyalin soalan? Pernahkah difikirkan perasaan ibu bapa mereka ketika keputusan UPSR dikeluarkan nanti? Perkara ini pada pandangan ana amat perlu difikirkan semula oleh pihak2 yang berkenaan. Juka mahu membuat penilaian pun biarlah realistik. Nilaikan dulu aras kemampuan murid istimewa ini. Jika perlu wujudkan satu kaedah penilaian khas mengikut aras dan keadaan mereka.
Selama ini ana tak pernah terlintas di minda ana untuk memikirkan hal ini. Syukur Allah tunjukkan ana jalannya. Subhanallah... Pengalaman ana bersama mereka sungguhpun sebentar amat bermakna buat ana. Lantaran ana terpanggil untuk menyatakan perkara ini. Ana akan kenalkan antum dengan mereka. Ana sendiri pun tak berkesempatan untuk mengambil gambar mereka. Yang ada hanya rakaman pendek.
Khatib, seorang murid bermasalah 'slow learner'. Pada pandangan ana dia boleh memahami apa yang kita cakapkan (walaupun bukan semua), yang menjadi masalah ialah dia tak dapat bertutur dengan baik. Percakapannya tak tentu butirnya. Ana sendiri tak dapat faham sebahagian besar kata2nya. Khatib merupakan kembar kepada seorang calon yang normal. Kembarnya seorang perempuan, menjawab soalan UPSR bersama2 rakan2 normal yang lain. Menurut guru Pendidikan Khas di situ, adik beradik Khatib yang lelaki semuanya mempunyai masalah sepertinya, sebaliknya bagi adik beradik perempuan. Semuanya normal. Takdir Allah... Kalau tak silap ana, ayah Khatib dah meninggal dunia, ibunya normal tetapi ditimpa kemalangan menyebabkan tangan kanannya hingga ke pergelangan tidak berfungsi. Ana difahamkan ia berlaku akibat tersangkut dalam mesin. Ana tak pasti apa mesinnya dan apa pekerjaan ibunya ketika itu. Kini ibunya menjadi pengajar di sebuah pusat latihan bagi golongan kurang upaya dan bermasalah di Bahau.
Azifah, bermasalah autisme (betul ke ejaan ana ni?). Ana lihat dalam 3 orang tu, dia yang paling bermasalah. Bukan apa, autisme berbeza dengan slow learner. Ini kerana murid yang ada masalah autisme kerap bercakap seorang diri (dengan kuat), amat sukar memberi tumpuan meskipun kepada soalan2 biasa, berperangai seperti kanak2, mudah merengek, yang paling ketara ialah pertuturannya, langsung tak dapat difahami. Azifah bercakap seperti kanak2 baru belajar bercakap. Hanya 5% dari percakapannya yang ana fahami. Selebihnya, setiap kali dia berkomunikasi dengan ana, ana hadiahkan dengan senyuman dan pujian. Untung Azifah punya ibu bapa lagi, kedua2nya educated. Mereka sangat inginkan anak perempuan. Anugerah Allah mentakdirkan mereka mendapat apa yang mereka hajati tetapi bersama ujian yang maha hebat.
Paling ana kagumi, Mustari. Bermasalah 'slow learner' tetapi keadaannya tak seperti Khatib. Mustari boleh bertutur meskipun agak lambat. Boleh memahami semua soalan yang ana ajukan dan menjawabnya dengan baik. Keadaan ini membuatkan ana banyak berinteraksi dengannya. Bila sahaja beliau boring atau lenguh jari menjawab soalan objektif apatah lagi subjektif, ana gunakan kesempatan itu untuk bertanyakan bermacam2 perkara tentang dirinya dan kehidupan sehariannya. Ayahnya dari Indonesia, berkahwin dengan ibunya yang punya kekurangan. Ibunya pekak dan bisu. Ayah Mustari bekerja sebagai tukang membuat rumah, kini berada di Pahang dan jarang2 sekali pulang ke rumah. Ibunya tidak bekerja. Saban hari ibunya datang ke sekolah berjumpa dengan guru Pemulihan Khas untuk meminta wang belanja harian (setiap murid diberikan elaun tahunan). Bukan salah ibunya jika Mustari berbuka hanya dengan memakan roti malahan bersahur hanya dengan tembikai. Tersentak hati ana. Anak istimewa ini amat tabah, bercerita kepada ana sambil tersenyum. Mungkin Mustari sudah terbiasa dengan kepayahan hidup. Terkenang ana dengan anak2 sendiri dan anak2 orang lain, pastinya bersahur dan berbuka mereka tak seteruk dan sedaif itu. Mustari mahukan baju raya berwarna merah tahun ini, tahun lepas pun cikgunya yang belikan.
Dalam sesi pengawasan ana yang terakhir, ana hulurkan sedikit wang saku buat mereka. Kecil benar rasanya bantuan yang ana hulurkan jika nak dibandingkan dengan kepayahan hidup mereka terutamanya Mustari. "Duit ni guna beli makanan berbuka nanti ya," kata ana. Tak sampai hari ana nak meninggalkan mereka. "Terima kasih ustaz," kata mereka. Azifah yang pelat itupun dapat ana tangkap bunyi cakapnya.
Di kesempatan ini, syukur ana pada Allah atas kesempatan yang diberikanNya untuk ana bertemu dengan Khatib, Mustari dan Azifah. Menginsafi diri, muhasabah kembali, betapa beruntungnya ana dengan kehidupan yang ana lalui sehingga kini. Terima kasih ana kepada guru Pemulihan Khas SKSA (ana dah lupa nama mereka), 3 orang semuanya, atas kesudian berkongsi cerita dan pengalaman dengan ana. Anda semua berhati mulia, berbakti untuk insan yang selalunya ditinggalkan dari kelompok masyarakat malah dihindari oleh orang lain. Ana doakan anda semua dikurnakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran berpanjangan dalam mendidik insan2 istimewa ini. Buat Khatib, Mustari dan Azifah, ustaz doakan kamu bertiga berjaya dalam hidup, jadilah anak yang baik kepada ibu bapa, bantu mereka selagi hayat dikandung badan. Buktikan bahawa kekurangan bukan tiket untuk sentiasa bergantung dengan orang lain. Ustaz harap kamu bertiga tabah mengharungi kehidupan mendatang. Insya allah, ada kesempatan Ustaz akan ziarah kamu sementara kamu masih di SKSA. SELAMAT MAJU JAYA!
Wassalam.
p/s: bersama ini ana masukkan rakaman yang ana buat sewaktu mengawas mereka. Moga perkenalan antum dengan mereka menzahirkan sesuatu untuk sama2 kita fikirkan. Mungkin rakaman ini tidak menampakkan kekurangan mereka dengan jelas. Apapun, ana harap ia sedikit sebanyak membantu antum memahami entri ana kali ini.
Assalamu'alaikum.
ReplyDeleteAkhie kariem. Pepatah cina ada mengatakan "Don't be afraid if you are moving slowly, BUT be afraid if you are standing still". Jika enta membaca kisah M.Phelps, perenang olimpik, jelas dia bukan seorang yang pandai dan petah. tetapi dia sangat berbeza. Namun, ada sesuatu untuknya.
Teruskan berusaha, Allah tidak akan bertanya berjaya atau tidak, Tetapi Allah akan bertanya Buat atau tidak.
nassruLLAH