Pray 4 Misr

Pray 4 Misr

SOLAT DI MANA?

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

SUCIKAN HATIMU

Al-Mumtaz Johan BNM Musim ke 4, 2010

Al-Mumtaz Naib Johan FNK 2009

Al-Mumtaz: Tempat Ke-3 Ihtifal KAFA Kebangsaan 2013

Wednesday, July 29, 2009

ON TRACK



Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ana doakan antum sekalian dipelihara Allah dari segala keburukan, penyakit dan dukacita, lebih2 lagi di saat virus Influenza H1N1 sedang berlegar seluruh negara sekarang ini. Sesungguhnya, biar apapun nama virus mahupun penyakit yang datang, yang pasti ia datang dengan izin Allah. Sebagai hamba yang percaya adanya Allah dan membenarkan segala ketentuannya, perlu juga seketika kita muhasabah diri dan masyarakat serta negara kita. Apakah punya sebab Allah takdirkan ketentuan buat negara kita begini? Atau segala2nya berlaku tanpa sebab yang jelas, ataupun hanya kebetulan bagi melengkapkan kitaran hidup manusia dan hayat alam selagi ia tidak dibinasakan oleh Allah bila tiba masanya nanti? Sekadar pencetus fikiran... Bukankah berfikir itu baik?

Alhamdulillah, setelah beberapa minggu ketinggalan untuk menyempurnakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) lantaran hambatan kesempatan dek kesibukan menyelesaikan dan menguruskan beberapa perkara, sekarang ini ana kembali berada di landasan yang sepatutnya. RPH kembali terurus. Buat masa ini, ana masih perlu selesaikan beberapa perkara sebelum ana mampu untuk berada dalam zon 'lapang'. Antaranya laporan bulanan kewangan PIBG, kemaskini fail (nazir nak datang), buku rekod prestasi KAP, dll. Ketika 'lapang' itu barulah ana boleh buat benda2 lain. Buat BBM BA ke, buat sticker BA ke, buat buletin ke, buat khat ke, dll.

Membaca entri terbaru dalam blog sahabat ana (MIORjqaf) membuatkan hati ana sedikit lapang. Pelaksanaan PKSR yang diberi nafas baru dengan ujian 4 kali setahun berbanding penilaian setiap kali selepas P&P pada pandangan ana lebih praktikal dan menepati kehendak guru mahupun murid j-QAF. Bagi murid2, persediaan sebaiknya boleh mereka usahakan. Bagi guru pula, keadaan pastinya kurang sibuk berbanding kaedah terdahulu. Ditambah lagi dengan urusan2 lain yang semua guru maklum akan situasinya.

Menyingkap pula entri terbaru us. Hamidi (Kalam Murabbi) mengingatkan ana agar sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan Allah. Kesenangan, kejayaan, kelapangan, keselesaan dan kesihatan adalah ujian dari Allah. Kesusahan, kekalahan, kesempitan, kepayahan dan penyakit juga adalah ujian dari Allah. Segalanya berlaku untuk menguji sejauh mana keimanan seseorang hamba kepada Penciptanya.

Apapun, amat penting untuk kita manfaatkan segala yang Allah kurniakan dengan sebaik2nya untuk tujuan yang baik, ke jalanNya. Jangan pula kita lupa untuk mensyukurinya. Dalam masa yang sama sentiasa mentaati perintah dan meninggalkan segala tegah dan laranganNya.

Sekian buat waktu ini. Salam ukhuwah dari ana.

Wassalam.

p/s: gambar di atas adalah antara hasil tangan ana di waktu lapang. ana tak reti pun khat. copy, print pastu potong sticker boleh la.

Monday, July 27, 2009

Yang Pergi Tetap Pergi...



Assalamualaikum..

Walaupun ana baru sahaja 'upload' gambar ini dalam post ana yang terkini sebelum ini. Ada sesuatu yang menarik perhatian ana. Yang pasti, lintasan di hati ana ini hanyalah kebetulan yang telah ditentukan oleh Allah. Untuk menjelaskannya, ana edit dan crop untuk dapatkan gambar yang lebih baik dan besar.

Sebelum itu, ana perkenalkan setiap seorang individu dalam gambar ini. Berdiri dari kiri: arwah Kak Efarizan, Elmiah, Anisah, arwah Fatmawati, Ibrahim, ana dan Abang Zaid. Duduk dari kiri: Fatimah Zuriati, arwah Haslina, Asma Laili, Jamiatul Adawiyah, Afzanizam dan Rahman.

Kebetulannya di sini, 3 orang telahpun pergi menemui Allah. Kak Efarizan (kak efa) yang paling awal meninggal dunia ditakdirkan kerana barah. Diikuti oleh Haslina yang juga meninggal dunia juga ditakdirkan kerana barah. Terkini, Fatmawati yang telah 'pergi' ditakdirkan kemalangan.

Kalau tak silap ana, kumpulan2 orientasi lain tak seperti kumpulan ana. Batch 3 (kohort kami), kumpulan kamilah yang paling ramai lebih dahulu menemui Ilahi.

Yang pasti, segala2nya telah ditentukan oleh Allah. Persoalan bila, di mana, bagaimana dan bersama siapa juga telah ditentukan olehNYA. Tugas kita sebagai hamba hanyalah bersedia setiap masa dan ketika. Kerana apa?

1. Kerana ia pasti datang.
2. Kerana ia datang tanpa diundang.
3. Kerana ia datang pada bila2 masa sahaja.
4. Kerana ia berlaku di mana2 sahaja.
5. Kerana sekali ia datang, tiada tangguh, tiada dicepatkan.

Semoga menjadi iktibar buat semua. Ya Allah, rahmatilah roh Kak Efa, Haslina dan Fatmawati. Amin...

Wassalam.

AL-FATIHAH: TRIBUT BUAT ARWAH FATMA


Assalamualaikum semua...

Dari Allah kita datang, kepadaNYA jua kita pasti kembali. Pada petang hari Ahad (26.7.09) baru2 ini, ana dikejutkan dengan panggilan dan sms daripada beberapa orang sahabat ex-KIPSAS (Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah). Berita tentang kemalangan yang berlaku di Maran, Pahang. Kemalangan maut itu melibatkan seorang sahabat ana, Fatmawati bt. Harun. Turut terkorban bersama2 arwah ialah, suami, anak, ibu dan adik beliau. Arwah juga mengandungkan anak kedua ketika itu.

Pada awalnya, berita tersebut ana sambut hanya dengan doa dan al-Fatihah buat arwah dan keluarganya. Perasaan ana bertukar sayu apabila membaca berita penuh dalam akhbar semalam. Tak terbayang dahsyatnya apabila seisi keluarga itu dirempuh sebuah lori treiler yang dipandu laju lalu hilang kawalan, mengheret lalu menghempas Perodua Kenari yang mereka naiki ke tebing bukit. Berita di akhbar2 lain juga turut menggambarkan kengerian di sekitar kawasan kemalangan. Antum boleh rujuk sendiri di akhbar2 tempatan. Lebih mengharukan hati ana apabila mengenangkan anak arwah yang baru sahaja berumur 3 bulan turut 'pergi' akibat kemalangan itu. Sebagai seorang ayah yang juga punya anak seusia itu, air mata ana tak tertahan lagi...

Secara peribadi, ana mengenali arwah seawal minggu pertama kami di KIPSAS. Kami diorientasi dalam kumpulan yang sama. Sama2 mempelajari kehidupan kampus, sama2 buat istana pasir, sama2 buat persembahan, sama2 makan dan minum ketika itu. Selesai orientasi, hubungan ana dan arwah tak serapat semasa kami orientasi. Tambahan pula di Tahun 2, arwah memilih untuk berada di Jabatan Bahasa Arab & Tamadun Islam manakala ana di Jabatan Syariah & Perbandingan (pasti sahabat2 di Jabatan Bahasa Arab & Tamadun Islam lebih rapat dan punya banyak kenangan bersama arwah). Begitupun, kelas kami hanya sebelah menyebelah. Sesekali bertembung dijalanan, ana tetap tegur arwah.

Arwah dimata ana seorang yang agak pendiam, mungkin pemalu, tak pernah ana dengar suaranya tinggi, sentiasa menjaga adab selaku muslimah, selalu tunduk tanda kesopanan dan tak pernah ana dengar cakap2 yang kurang baik tentang beliau. Ana respek penampilan beliau, bertudung labuh setiap masa. Setelah tamat pengajian di KIPSAS, ana hanya berkesempatan bertemu arwah (sekali) di UIA ketika arwah bergelut dengan masalah kewangan untuk menyambung pengajiannya di sana. Seterusnya, tiada lagi berita dari arwah. Ana tak pasti tentang perkahwinan arwah, samada ana terima jemputan daripada arwah mahupun tidak. Perkahwinan sahabat2 di sebelah Pahang sememangnya agak sukar untuk ana penuhi.

Apapun, ana doakan roh arwah dan keluarga diterima Allah dan ditempatkan bersama2 hamba2NYA yang beriman, di kalangan para syuhada' dan para solihin, bersama2 anbiya' dan Rasul2. Insya Allah. Fatmawati akan kekal dalam kenangan kami semua. 'Selamat jalan' sahabatku...

Al-Fatihah buat arwah sekeluarga...

Wassalam.

Keadaan tempat kejadian

Kereta arwah yang remuk, bagaimana agaknya keadaan penumpang...

Kumpulan orientasi, arwah berdiri 4 dari kiri

Persembahan Malam Penghayatan, arwah yang ke-2 dari kiri

Sunday, July 26, 2009

MSW Daerah Jempol 2, 2009


Assalamualaikum...

Ana doakan antum semua sihat2 belaka, sentiasa...

Seperti yang ana nyatakan dalam entri sebelum ini, Majlis Semaian Wahyu Peringkat Daerah Jempol 2, 2009 telah dijalankan pada 25.7.09 (Sabtu) bertempat di SK Batu Kikir. Ana dan beberapa orang sahabat ana selain membawa murid, telah diamanahkan untuk menjadi hakim dalam pertandingan berlainan. Bagi ana, tugas Ketua Hakim Ujian Tilawah Al-Quran (P) Tahap 2 diberikan.

Ana tak berhajat mahu mengulas panjang mengenai perjalanan pertandingan. Ana akan fokuskan terus kepada keputusan pertandingan. Keputusannya adalah seperti berikut:

Kuiz j-QAF (tahap 1)

Johan: SK Air Hitam
N. Johan: SK Lui Muda
Ketiha: SK Sungai Lui

Kuiz j-QAF (tahap 2)

Johan: SK Batu Kikir
N. Johan: SK Serting Felda
Ketiga: SK Jempol

Tilawah Al-Quran [L] (tahap 1)

Johan: SK Serting 3
N. Johan: SK Jempol
Ketiga: SK Serting Felda

Tilawah Al-Quran [L] (tahap 2)

Johan: SK Lui Muda
N. Johan: SK Batu Kikir
Ketiga: SK Serting Felda

Tilawah Al-Quran [P] (tahap 1)

Johan: SK Saint Aidan
N. Johan: SK Batu Kikir
Ketiga: SK Bandar Baru Serting

Tilawah Al-Quran [P] (tahap 2)

Johan: SK Lui Timur
N. Johan: SK Jempol
Ketiga: SK Serting Felda

Kalam Jamai'e

Johan: SK Batu Kikir
N. Johan: SK Pasoh 3
Ketiga: SK Saint Aidan

Dikir Barat

Johan: SK Tunku Muda Serting
N. Johan: SK Pasoh 2
* hanya 2 pasukan bertanding

Bagi sekolah ana (SK Tunku Muda Serting), hanya pasukan Dikir Barat sahaja yang akan membawa cabaran ke Peringkat Negeri. Yang lain, takde rezeki agaknya. Begitupun, ana rasa yang paling penting dalam apa juga pertandingan ialah persediaan awal dan latihan berterusan. Kalau dah usahanya luar biasa, insya allah hasilnya juga pasti LUAR BIASA. Buat sahabat2, kita mulakan latihan awal sikit tahun depan. Tahun ni kita bagi peluang sekolah2 lain hantar wakil mereka ke peringkat negeri. Tahun depan kita pergi pulak.

Bagi pasukan Dikir Barat SKTMS, Shoutul Azkiya' tahniah ana ucapkan. Tak dinafikan, persediaan awal dan latihan berterusan pasti membuahkan hasil. Tahniah juga kepada Ust. Hjh. Mazni di atas usaha awal yang beliau mulakan. Sungguhpun beliau sedang menyambung pengajian, minat yang mendalam terhadap seni hiburan Islam tetap subur di hati beliau. Kepada jurulatih muzik dan gaya (guru praktikum), kehadiran anda ke sini tepat pada masanya. Tunjuk ajar anda menjadikan persembahan Dikir Barat SKTMS lebih bertenaga, asli dan menghiburkan. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat. Teruskan usaha cemerlang anda!

Wassalam.

Ust. Hasliza, antara individu yang sejak dari awal membuat persediaan untuk pasukan Dikir Barat SKTMS

Wednesday, July 22, 2009

Muzakarah Kehakiman MSW Daerah Jempol 2 '09

Assalamualaikum semua...

Semalam (22.7.09) ana bersama sahabat ana, Us. Ismail telah menghadiri Muzakarah Kehakiman, Majlis Semaian Wahyu Daerah Jempol 2 yang diadakan di SK Batu Kikir. Muzakarah ini turut disertai oleh hakim2 lain yang telah dilantik oleh PPD. Majlis Semaian Wahyu yang akan berlangsung pada 25.7.09, Sabtu ini akan disertai oleh 16 buah sekolah di bawah daerah Jempol 2. SK Batu Kikir pula akan menjadi vanue bagi pertandingan tersebut.

Pada muzakarah ini, beberapa perkara diperbincangkan antaranya:
1. Mengemaskini senarai hakim dengan memastikan kehadiran hakim yang dilantik dan menyediakan beberapa orang hakim simpanan.
2. Menyelaraskan ketetapan pelaksanaan Pertandingan Ujian Tilawah Al-Quran bagi mengelakkan kelewatan.
3. Makluman kepada para hakim berkenaan penghakiman.
4. Penyusunan tempat mengikut kesesuaian.
5. Keseragaman pakaian hakim.

Muzakarah yang bermula pada jam 3.00 petang itu berakhir kira2 jam 4.30 petang dengan jamuan ringan.

Bagi sekolah ana, kami menghantar peserta mewakili semua acara kecuali Kalam Jamaie. Ini kerana persediaan dari segi kejurulatihan yang masih tidak mengizinkan. Bagi Dikir Barat pula, alhamdulillah persediaan setakat ini boleh ana katakan baik. Semoga mereka semua beroleh kemenangan pada hari Sabtu nanti dan membawa cabaran Daerah Jempol ke Majlis Semaian Wahyu Peringkat Negeri Sembilan pula nanti.

Wassalam.

p/s: ana sengaja masukkan gambar Teratak Za'ba dalam entri ana kali ni. yang terletak di Pekan Batu Kikir, dekat dengan rumah ana. Kepada sahabat2 yang terasa nak berkunjung ke sana dan melihat sendiri peninggalan seorang Pendeta yang berjuang sepanjang hidupnya untuk memartabatkan bahasa Melayu, boleh la datang ke sini.

Tuesday, July 21, 2009

Meraikan Kemenangan



Assalamualaikum...

Ekoran kejayaan Al-Mumtaz menempatkan diri di tempat kedua dalam Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan baru2 ini, ana dan Pn. Hjh. Nazariah (Kak Naza) telah mengambil inisiatif untuk membawa mereka ke Pedas Wet World pada 20.7.09 (Isnin) bagi meraikan kejayaan mereka setelah bertungkus lumus beberapa bulan kebelakangan ini.

Kami mengambil keputusan untuk membawa mereka ke Pedas Wet World kerana jaraknya yang tidak terlalu jauh dari Bahau dan lantaran Al-Mumtaz sendiri yang meminta untuk di bawa ke sana. Sejak dari dalam bas semasa perjalanan pulang ana telah berbincang dengan Kak Naza tentang perkara tersebut. Hasilnya, kami ambil keputusan untuk meminta Al-Mumtaz membawa bekalan lauk sedikit seorang manakala nasinya akan disediakan oleh Kak Naza sendiri.

Sungguhpun tujuannya untuk meraikan Al-Mumtaz, ana turut menjemput Cikgu Yusof, Ustazah Salina dan semua penjaga Al-Mumtaz, dengan syarat mereka pergi dengan kenderaan mereka sendiri. Oleh kerana masing2 mempunyai urusan peribadi dan tidak dapat bersama2 Al-Mumtaz, hanya ana, Kak Naza dan suami beliau sahaja yang pergi ke sana dengan 3 buah kereta. Kami bertolak jam 9.30 pg dan tiba di Pedas Wet World kira2 jam 11.00 pg.

Setelah mengalas perut dengan nasi lemak (makanan tidak dibenarkan di bawa masuk), kami masuk dengan bayaran tiket yang ana sendiri pun tak berapa pasti jumlahnya yang tepat. Semuanya diuruskan oleh Kak Naza. Kebetulan peruntukan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh JPNS kepada Pn. Jamaliah (Ketua Kontinjen NS) berbaki sedikit. Jadi, wang itulah yang digunakan sebagai bayaran masuk.

Al-Mumtaz dan Najmi (anak Kak Naza, solo Irsyadus Sufi) tanpa membuang masa terus berendam dan berseronok di dalam air. Ana pula yang pada awalnya merancang untuk mandi juga membatalkan hasrat ana kerana segan nak berendam dengan budak2. Lagipun ana terlupa nak bawa pakaian mandi ana. Dah tak mandi, jawabnya berborak jelah ana dengan Kak Naza dan suaminya. Suami Kak Naza pula yang pada mulanya hanya berbual2 akhirnya turut terjun ke kolam dek kerana geram melihatkan keseronokan Al-Mumtaz berendam. Tinggal la ana dan Kak Naza serta Nadirah (anak perempuan beliau) menunggu mereka mandi. Menebal juga menyesal ana kerana tak bawa pakaian mandi. Nanti la, kalau pergi lagi nanti, ana mesti mandi tak kira apa yang berlaku.

Kami keluar dari Pedas Wet World lebih kurang jam 2.30 petang. Tanpa berlengah, bekalan yang dibawa terus dikeluarkan dan kami nikmati bersama. Pasti situasi sebegitu takkan berulang kembali memandangkan perjuangan Al-Mumtaz untuk tahun ini telahpun berakhir.

Selesai makan tengahari, kami bertolak pulang ke Bahau. Al-Mumtaz berehat seketika. Menghilangkan lelah, menyiapkan kerja, kembali kepada P&P dan tugas2 hakiki. Insya allah, ada kesempatan, tahun depan kita bertemu lagi.

Salam hormat dan terima kasih kepada yang sudi bersama2 Al-Mumtaz sepanjang perjuangan kami. Al-Mumtaz mohon mengundur diri. Semoga diberkati Allah selalu.

Wassalam.

Ambooi... seronok betul korang ye. Lepas ni belajar rajin2.

Saturday, July 18, 2009

Travellog FNK 09: Hari Akhir 17.07.09 (Jumaat)



Assalamualaikum semua...

Sekali lagi ana mohon maaf atas kelewatan perkembangan FNK 09 terutamanya keputusan penuh Festival yang tak dapat ana berikan lantaran keletihan dan beberapa urusan keluarga dan sekolah.

Ana mulakan dengan peristiwa yang ana dan kontinjen Al-Mumtaz lalui dari awal pagi hingga pulang ke SK Tunku Muda Serting pada hari tersebut. Disebabkan penangan murtabak Kuantan pada malamnya, pagi Jumaat kami lalui dengan sedikit kesiangan. Ana sendiri sebaik bangun pada jam 6.35 pagi terus telefon bilik2 lain kejutkan putera2 Irsyadus Sufi Dan Al-Mumtaz. Rupa2nya bukan ana saja terlena dengan pukulan murtabak Kuantan, mereka juga begitu. Terus ana gesa mereka semua bangun dan terus solat Subuh.

Selesai solat ana pesan agar mereka semua terus bersiap dengan pakaian untuk ke Majlis Perasmian Penutup. Mujur pada malamnya ana dah pesan pada mereka semua untuk kemaskan beg dan barang2 kerana selepas sarapan kami semua akan terus check out HSM. Ini kerana ingin pulang semua ke HSM selepas Majlis Perasmian Penutup akan menyebabkan kami semua tersangkut dalam kesesakan lalulintas. Begitupun, kami antara kontinjen yang agak lewat tiba di Dewan Wisma Belia.

Majlis Perasmian Penutup bermula tidak lama selepas kami mengambil tempat dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa, diikuti dengan ucapan oleh Pengarah Pelajaran Pahang. Majlis diteruskan dengan ucapan penutupan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Dr. Hj. Mohd. Puad Zarkashi. Menyusul kemudiannya pengumuman keputusan penuh oleh Pengerusi Jemaah Hakim.

Berikut keputusan penuh Fastival Nasyid Sekolah2 KPM Peringkat Kebangsaan kali ke 6, 2009.

Sekolah Rendah
Lirik Tema Terbaik : Kedah
Lirik Sukatan Pelajaran Terbaik : Terengganu
Lagu Terbaik : Pahang
Penyanyi Solo Terbaik : Kedah
Kumpulan
1. Shoutul Imtiyaz - Pahang (77.77%)
2. Al-Mumtaz - N. Sembilan (73.81%)
3. Shoutun Najihin - Perak (72.01%)

Sekolah Menengah
Lirik Tema Terbaik : Johor
Lirik Sukatan Pelajaran Terbaik : N. Sembilan
Lagu Terbaik : Selangor
Penyanyi Solo Terbaik : WP Kuala Lumpur
Kumpulan
1. Izdan - Johor
2. Shoutun Najihah - WP Kuala Lumpur (78.76%)
3. Shoutun Nasihah - Pahang (78.64%)

Johan Keseluruhan : Pahang

Sebaik Majlis Penutupan Rasmi berakhir, kami yang pada awalnya merancang ingin pulang terus ke NS terpaksa menangguhkan rancangan kerana janji yang dibuat kepada Al-Mumtaz. Sebarang tempat yang berjaya dicapai, mereka akan dibawa berjalan2. Akhirnya lokasi yang dipilih ialah Berjaya Megamall. Ana yang agak segan mahu keluar ketika orang lain bersolat Jumaat hanya berehat di dalam bas sementara ahli kontinjen yang lain turun berjalan2. Ana hanya turun kira2 jam 2.10 ptg untuk ke tandas.

Perjalanan pulang ke NS diteruskan setelah semua ahli kontinjen kembali ke bas. Daripada Pusat Bandar Kuantan, bas bertolak pulang dengan hanya singgah di Sri Gading untuk membeli keropok dan Muadzam Shah untuk minum petang dan solat, sebelum pulang terus ke SKTMS. Kami tiba di SKTMS kira2 jam 7.20 mlm.

Setelah 4 tahun mencuba, diuji dengan kekalahan, kesilapan, pembatalan dan pelbagai dugaan, akhirnya Al-Mumtaz SKTMS berjaya menempatkan diri dikalangan pasukan terbaik. Sungguhpun bukan tempat pertama yang kami perolehi, tempat kedua amat bermakna bagi kami. Kesempatan yang Allah berikan untuk kami mengecapi kemenangan ini akan kami syukuri dengan berkongsi pengalaman dengan rakan2 lain yang ingin mempelajari sedikit sebanyak tentang selok belok nasyid dan perkara2 yang berkaitan dengannya.

Ana ambil kesempatan untuk ucapkan jutaan terima kasih kepada Pn. Nazariah dan Cikgu Yusuf atas pengorbanan dan bantuan yang mereka hulurkan. Tanpa mereka, Al-Mumtaz takkan berjaya sampai ketahap ini. Kepada Ustazah Salina, kami terhutang budi dengan tunjuk ajar dan panduan yang telah akak berikan. Terima kasih juga kepada ibu bapa dan warga SKTMS terutamanya Guru Besar san guru2 yang tak henti2 menyokong dan mendoakan kejayaan Al-Mumtaz. Kepada PIBG SKTMS dan JPNS, terima kasih. Tanpa sumbangan anda semua tak mungkin Al-Mumtaz dapat membuat persediaan fizikal sebaik ini. Kepada MAYBANK Cawangan Bahau yang telah menghulurkan sumbangan, terima kasih atas keperihatinan anda.

Demikian perkembangan / laporan / diari / catatan yang dapat ana berikan kepada antum semua sepanjang festival pada tahun ini. Ana harap antum semua juga dapat sedikit sebanyak mengetahui dan mendapat gambaran tentang perjalanannya. Untuk kali ini, ana masukkan gambar hari keempat. Insya Allah, akan datang ana akan masukkan rakaman persembahan Al-Mumtaz untuk tatapan antum.

Sekian untuk kali ini. Wassalam.

Kontinjen NS bergambar di atas pentas utama

Barisan penuh kontinjen NS, singgah minum petang di Muadzam Shah

Thursday, July 16, 2009

Travellog FNK 09: Hari Ketiga 16.07.09 (Khamis)

Assalamualaikum warahmatullah...

Syukur pada Allah, ana berkesempatan untuk masukkan entri malam ini. Tiada acara besar yang melibatkan Al-Mumtaz hari ini. Sungguhpun begitu ana akan ceritakan juga aktiviti mereka mengikut turutan jadual yang ditetapkan.

Tidak seperti biasa, ana bangun agak awal hari ini. Seperti yang ana ceritakan dalam entri hari kedua semalam, kehadiran Cikgu Yusof dan ketidak tiduran beliau buatkan ana segan nak tido lama2. Selesai solat Subuh, ana ambil peluang untuk lengkapkan entri untuk semalam. Cikgu Yusof pula sesudah solat Subuh, mengambil peluang untuk melelapkan mata. Jam 7.00 pg ana kejutkan Cikgu Yusof untuk bersarapan. Beliau bangun, mandi dan bersiap. Seketika kemudian kami bersama turun ke kafe utuk bersarapan.

Kontinjen NS (kecuali ana dan Cikgu Yusof) bertolak ke venue pertandingan sejurus selepas bersarapan. Irsyadus Sufi akan membuat persembahan dalam sesi kedua. Ana dan Cikgu Yusof pula naik ke bilik. Ana nak siapkan entri semalam, Cikgu Yusof pula berhajat untuk mengqada' tidurnya.

Jam 10.00 pagi ana bersiap. Setelah Cikgu Yusof bangun dan berehat seketika, kami bergerak menaiki kereta Cikgu Yusof ke vanue pertandingan. Tiba di sana ana dapati sesi pertama yang sepatutnya sudahpun berakhir masih belum berakhir. Segera ana bertemu dengan sahabat ana Us. Anis, kata beliau pertandingan pagi tadi bermula lewat. Ana terus berada di barisan depan untuk menyaksikan pertandingan berlangsung.

Ketika peserta ke 11 membuat persembahan, ana diminta untuk bersama Irsyadus Sufi membuat persediaan sekaligus membacakan doa. Terus ana ke luar dewan dan bersama2 mereka membuat latihan vokal dan apabila mereka dipanggil untuk bersedia di belakang pentas, membacakan doa memohon dipermudahkan urusan oleh Allah.

Apabila giliran Irsyadus Sufi tiba, ana sudahpun berada di barisan hadapan penonton, betul2 di belakang hakim. Tika persembahan berjalan, hati ana tak henti2 berharap agar segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik seperti yang diharapkan.

Seperti yang ana jangkakan, permulaan yang lewat akan menjadikan penyudah sesuatu persembahan itu menjadi lebih lambat. Pertandingan kategori SM yang sepatutnya tamat pada jam 11.00 pg hanya tamat pada jam 1.30 petang. Kotinjen NS terus bergerak pulag ke HSM untuk makan t/hari dan meneruskan agenda program yang telah diaturkan iaitu lawatan. Kontinjen NS bersama kontinjen dari Perak akan melawat UIAM (medic) kampus Kuantan. Sempat juga ana ambil gambar dengan sahabat blog ana, Us. Anis (Abuhazieq). Semoga persahabatan ini berkekalan.

Disebabkan kelewatan masa, kontinjen NS tidak berkesempatan untuk naik ke bilik selepas makan t/hari. Mereka diminta untuk kembali ke bas dan akan segera berangkat ke UIAM untuk lawatan. Ini kerana UIAM hanya memberikan masa antara jam 2 petang hingga petang sahaja untuk lawatan.

Perjalanan dari HSM ke UIAM cawangan Kuantan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Kami tiba kira2 pada jam 3.30 petang. Ketibaan kami disambut oleh wakil dekan dan terus dibawa ke Medical Teaching Technology Resource Centre (Pusat Sumber Teknologi Pendidikan Perubatan) untuk taklimat ringkas. Setelah diberi taklimat secara umum berkenaan kampus UIAM cawangan Kuantan, taklimat berkenaan pusat sumber dilakukan oleh salah seorang pegawai yang ditugaskan pada petang tersebut. Rupa2nya pusat sumber tersebut mengandungi pelbagai spesimen daripada organ manusia, daripada organ sebenar hinggalah organ tiruan, daripada sekecil2 organ hinggalah sebesar2 organ, daripada gambar dan spesimen seekor sperma hinggalah spesimen seorang bayi. Pusat sumber itu juga menempatkan bilik mayat, bertujuan untuk kajian autopsi yang menjadi sebahagian daripada syarat wajib seseorang mahasiswa perubatan di kampus ini untuk lulus. Sungguhpun begitu, tiada gambar dibenarkan untuk diambil. Ana hanya dibenarkan mengambil gambar sewaktu taklimat sahaja.

Selesai lawatan, kami bergerak pulang ke hotel. Tiba di hotel lebih kurang jam 6.30 petang, kami diminta untuk berada semula di dalam bas pada jam 7.30 malam untuk bertolak ke Majlis Jamuan Makan Malam Negeri yang diadakan di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kuantan. Jam 7.30 malam kami semua sudahpun bersiap dan berada dalam bas. Sejak malam pertama kami di sini, kelancaran perjalanan kami dibantu oleh 'rider' trafik yang ditugaskan khas untuk mengiringi dan membuka jalan untuk kami. Bastnya rasa langgar lampu merah...

Tiba di Bahagian Teknologi Pendidikan, kami mengambil tempat. Meja bulat yang memuatkan 10 orang (Al-Mumtaz dan ana) telah tersedia hidangan 5 atau 6 jenis lauk pelbagai jenis. Namun yang pasti, kalau dah nama negeri Pahang, ikan patin masak tempoyak mesti tak tinggal. Majlis dibuka dengan bacaan doa seterusnya makan malam. Jenuh juga ana layan Al-Mumtaz ni, 2 puteri ana pun belum tentu ana layan macam tu. Nasi bersendukkan, lauk berletakkan, air berisikan. Bukan apa, kalau ana biar mereka buat sendiri alamat terbalik la meja bulat tu. Selesai jamuan, majlis disambung dengan ucapan daripada wakil MB Pahang seterusnya penyampaian cenderahati kepada wakil negeri2 yang menyertai Festival. Kejutan berlaku apabila urusetia Festival memaklumkan bahawa satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menilai sejauh mana disiplin, ketepatan masa, etika berpakaian dan bersosial setiap kontinjen yang hadir ke Festival pada tahun ini. Lebih manis apabila kontinjen NS turut tersenarai antara 5 kontinjen yang terpilih untuk menerima penganugerahan tersebut (hadiahnya hamper je). Yang penting ialah penganugerahan, hadiah tu belakang kira.

Kami kembali ke HSM kira2 jam 10.30 malam. Selesai solat dan berehat, tiba2 datang beberapa orang ahli Irsyadus Sufi membawakan kami murtabak. Murtabak Kuantan namanya. Pengurus Irsyadus Sufi, Kak Ju belanja. Memang istimewa. Isinya tebal dan penuh dengan inti daging serta ayam. Kebetulan ana tak makan nasi waktu makan malam tadi kerana dahulukan nasi untuk Al-Mumtaz, ana ratah ikan patin je. Budak2 ni pulak tak makan ikan patin, besar sangat kata mereka. Takut nak makan. Jadi, ana je la yang pulun ikan patin tu.

Sekian perkembangan hari ketiga Festival Nasyid Sekolah2 KPM Peringkat Kebangsaan kali ke 6, 2009 dari Kuantan, Pahang Darul Makmur. Insya Allah, entri penutup akan ana masukkan malam esok berserta keputusan penuh Festival. Jika berkesempatan, ana akan masukkan juga beberapa komen yang ana terima daripada hakim2 mahupun mana2 individu berautoriti berkenaan Festival tahun ini. Subhanallah, berdebar hati ana tak sudah2. Tak tentu hala jadinya ana selagi belum dapat keputusan. Apapun, kami kontinjen NS mengharapkan tempat terbaik tahun ini. Berjaya atau tidak terserah kepada Allah. Segala2nya datang dariNya.

Wassalam.

Irsyadus Sufi sedang membuat latihan sebelum persembahan

Irsyadus Sufi pertama kali beraksi di pentas Kebangsaan

Bergambar kenangan bersama sahabat ana, Us. Anis (Abuhazieq)

Mendengar taklimat daripada pegawai UIAM

Posing di hadapan Fakulti Perubatan UIAM, Kuantan

Makan Malam Negeri sempena Festival

Sahsiah terpuji terbukti, bersama hamper kemenangan.

Serikandi nogori. Dari kiri, Cik Shida, Pn. Asiah, Pn. Nazariah & Cik Hawa

Wednesday, July 15, 2009

Travellog FNK 09: Hari Kedua 15.07.09 (Rabu)

Assalamualaikum semua...

Ana mulakan entri laporan hari kedua ini dengan ucapan maaf atas kegagalan ana memasukkannya malam tadi. Letihnya hanya Allah yang tahu. Selesai sahaja persembahan Al-Mumtaz malam tadi baru ana terasa lapar dan lenguh2 kaki akibat makan ala kadar, berdiri terlalu lama dan gemuruh gementar menantikan detik persembahan budak2 ana. Natijahnya, ana bersama Cikgu Yusof ambil keputusan untuk keluar sebentar mencari bahan mengisi kekosongan perut kami setelah pulang ke hotel, selepas solat. Alhamdulillah, selesai 'soru', ketika kembali semula ke HSM, berat mata dah keletihan pula menyerang. Bagai tak dapat ditahan2 lagi, ana pun tak sedar bila mata ana tertutup.

Hari kedua bermula seawal jam 6.00 pagi. Subuh di bilik je la jawabnya ana pagi tu. Nak turun surau dah lewat, waktu Subuh dah lama masuk. Tazkirah pun mesti dah masuk kesimpulan dah pun. Perkara pertama dah tentulah kejutkan putera2 Al-Mumtaz dan Irsyadus Sufi. Siap kejutkan mereka, masing2 bergilir2 mandi dan solat di bilik. Jam 6.30 pagi Hjh. Nazariah telefon ana dan beritahu murid2 dah boleh turun untuk bersarapan. Segera ana kerahkan mereka turun bersarapan.

Selesai bersarapan, kontinjen terus bertolak ke Dewan Wisma Belia. Raptai yang sepatutnya bermula pada jam 8.00 hanya bermula pada jam 9.00 pagi mengikut giliran SR. Negeri Sembilan yang mendapat giliran ke 14 terpaksa menanti agak lama. Ini kerana raptai 8 pasukan terawal terganggu akibat masalah sistem bunyi. Beberapa pasukan bertindak mengarahkan soundman untuk meng'ejas' volume dan setting bunyi menjadikan penganjur terpaksa memanggil ketua setiap kontinjen untuk di beri penjelasan. Mengikut ketua kontinjen ana, setiap pasukan dilarang mengubah apa2 setting sistem suara. Ini kerana soundman hanya akan menyamakan level volume setiap mikrofon, perkara yang perlu di'ejas' ialah suara penyanyi itu sendiri ataupun jarak mikrofon dengan bibir ketika mereka bernasyid.

Giliran kontinjen NS tiba lebih kurang jam 12.10 t/hari, beberapa minit selepas kehadiran Cikgu Yusof. Beliau datang dengan kereta beliau sendiri kerana beliau perlu pulang awal atas urusan peribadi nanti. Selepas Al-Mumtaz membuat rehearsal, Irsyadus Sufi pula mengambil giliran mereka. Tamat raptai kami semua kembali semula ke HSM. Cikgu Yusof juga turut bersama kami dan meninggalkan kereta beliau di parking Dewan Wisma Belia. Sempat juga ana susun semula anggota bilik SR untuk membolehkan satu katil diberikan kepada Cikgu Yusof. Alhamdulillah, mereka memahami tiada masalah.

Tiba di HSM, makanan t/hati siap menanti. Bab makan, tak payah nak ajar budak2 ni, masing2 dah tahu kerja masing2. Apapun, makanan di HSM ini tidaklah mengecewakan. Kalau ikut tekak ana, ok je. Lagipun ana tek cerewet sangat pasal makanan. Acara seterusnya selepas makan t/hari ialah berehat. Hjh. Nazariah mengumpulkan Al-Mumtaz dalam 1 bilik, setelah dimasukkan aksesori songkok, mancuba pakaian untuk persembahan, Al-Mumtaz 'dipaksa' untuk berehat (tidur). Akhirnya, dengan Hjh. Nazariah sekali KO.

Lebih kurang jam 3.00 petang, Hjh. Nazariah maklumkan pada ana beliau hendak ke Dewan Wisma Belia untuk menyaksikan persembahan 8 pasukan dalam sesi pertama. "Al-Mumtaz masih belum bangun dari rehat mereka", katanya pada saya. "Kalau mereka bangun nanti jangan lupa buat latihan", pesan beliau. Cikgu Yusuf yang keletihan akibat kurang tidur kerana menyiapkan skor lagu Al-Mumtaz dan memandu keseorangan dari Bahau, sudahpun lena merehatkan diri. 1 jam berikutnya barulah ana dimaklumkan bahawa Al-Mumtaz sudahpun bersedia untuk membuat latihan. Latihan hanya dijalankan di dalam bilik. Itupun hanya melibatkan vokal dan pergerakan2 asas kerana ruang yang agak terbatas.

Jam 6.00 petang, Al-Mumtaz ana arahkan untuk segera mandi dan bersiap. Ini kerana waktu makan malam bermula jam 6.30 petang. Kami pula perlu bertolak awal ke Dewan Wisma Belia kerana bimbang terlewat. Lagipun, buku lirik masih belum kami serahkan kepada urusetia. Selesai makan malam ana ambil peluang sementara menunggu pemandu dan ahli2 lain untuk menyiapkan sampin Al-Mumtaz, menandakannya dan membedakkan mereka. Biar nampak cerah sikit...

Kami tiba di Dewan Wisma Belia pada jam 8.10 malam. Semua kumpulan yang bertanding telahpun tiba. Seketika kemudian, acara dimulakan dengan menjemput kumpulan yang mendapat undian ke 9. Ini bermakna giliran Al-Mumtaz untuk sesi tersebut ialah giliran ke 6. Selesai 2 pasukan membuat persembahan, Al-Mumtaz keluar untuk persiapan. Samping dipakaikan, vokal dipanaskan, ubat 'gogal' dikumur, pesanan diberikan, kata2 semangat disematkan, latihan sekali lagi dibuat. Setelah beberapa ketika Al-Mumtaz dipanggil untuk bersedia di belakang pentas. Ketika menunggu giliran, pasukan Selangor sedang membuat persembahan dan menunggu di belakang Al-Mumtaz pula pasukan Terengganu. Sepanjang menunggu giliran, nasihat terus terusan diberikan, pelbagai kaedah dilakukan untuk menghilangkan gementar Al-Mumtaz. Bergilir2 juga Al-Mumtaz ke tandas. Maklum la, penyakit gemuruh dah datang....

Tiba giliran Al-Mumtaz membuat persembahan, debaran semakin memuncak. Doa dipanjatkan kepada Allah setiap masa agar persembahan mereka berjalan lancar dan kesilapan dapat dielakkan. Alhamdulillah, pada ana persembahan mereka tidak mengecewakan. Tahniah buat semua ahli Al-Mumtaz atas usaha mereka yang amat baik. Begitupun pada ana, vokal solo kami Syed Israfil agak kurang menyerlah pada peringkat awal tetapi berubah menjadi semakin baik ditengah2 persembahan hingga ke akhirnya. Pujian juga harus diberikan kepada Israfil kerana keberaniannya menyampaikan lagu dan menguasai pentas dengan baik.

Apapun, persediaan selama 5 bulan berakhir hanya dengan 15 minit persembahan. Segala2nya terpulang kepada pihak juri dan ketentuan Allah. Kami hanya melakukan yang terbaik dan terdaya, juga hanya mampu berharap akan natijah yang baik jua daripadaNYA.

Ketika persembahan daripada kumpulan terakhir berjalan, kami mengambil keputusan untuk beransur pulang kerana Irsyadus Sufi pelukan rehat untuk persediaan persembahan pada esok hari. Seperti biasa, di HSM Al-Mumtaz dan Irsyadus Sufi diminta terus ke bilik kemudian turun semula ke musolla yang disediakan pihak HSM untuk solat berjamaah.

Ana terjaga pada jam 2.30 pagi setelah tertidur pada awalnya. Cikgu Yusof sedang menyiapkan skor lagu untuk Irsyadus Sufi. Seperti yang ana sebutkan dalam entri sebelum ini, bukan senang nak buat skor lagu. Lebih2 lagi bila dikehendaki di saat2 akhir. Kesian juga ana pada beliau. Dalam kesian itu pun, ana tidur semula hinggalah ana terjaga pada jam 5.10 pg. Mak ooi... Cikgu Yusof masih membuat skor lagu. "Belum siap lagi ke bang?", tanya ana pada beliau. "Bukan sonang nak membuak eh...", ayat yang sama dilontarkan pada ana. Rasa kesian ana pada beliau makin menebal. Sekali dengan rasa respek yang meningkat naik. "Orang lain tak tau kojo kito Mie, diorang nampak kito ok yo macam orang lain", sambung Cikgu Yusof pada ana. Betul la kata beliau, orang selalu memandang kita waktu kita berjaga sepertimana orang lain, kalau kita tak tidur malam tak siapa yang tahu.

Demikian hari kedua yang ana lalui bersama kontinjen NS. Semoga sahabat2 dan pengunjung mendapat sedikit sebanyak maklumat dan gambaran tentang situasi ana di sini. Insya Allah, bersama ana lagi esok dalam Travellog FNK 09: Hari Ketiga 16.07.09 (Khamis).

Wassalam.

Latihan suara setiap pagi selepas bersarapan

Barisan bas yang menunggu kontinjen2 untuk bergerak ke lokasi pertandingan

Al-Mumtaz ketika menunggu giliran membuat rehearsal

Rehearsal oleh Al-Mumtaz

Al-Mumtaz ketika persiapan sebelum persembahan

Persembahan Al-Mumtaz di hadapan hakim berpengalaman

Bergambar kenangan selepas persembahan

Cikgu Yusof, 5.45 pagi

Skor lagu yang disiapkan oleh Cikgu Yusof


Tuesday, July 14, 2009

Travellog FNK 09: Hari Pertama 14.7.09 (Selasa)

Assalamualaikum....

Hari pertma FNK 09 telah melabuhkan tirainya dengan berakhirnya Majlis Perasmian Pembukaan yang selesai lebih kurang jam 10.00 malam tadi. Selama 4 tahun ana mengikuti FNK, pada ana gimik tahun ini adalah antara yang menarik. Selain menggunakan laser, penggunaan buih amat memberi kesan apabila terkena pancaran laser tersebut. Selesai perasmian kami dijamu dengan bihun goreng, kuih muih dan buah rambutan. Tiba di Hotel Seri Malaysia (HSM), ana arahkan peserta kontinjen NS naik ke bilik, tukar kasut, buka samping dan turun ke musolla (dewan yang dijadikan tempat solat) untuk bersolat. Yang pasti semua peserta agak keletihan meskipun perjalanan kami tidak terlalu jauh berbanding dengan kontinjen2 lain.

Persiapan pagi tadi bermula seawal jam 8.00 pagi. Ana sendiri mengemas barang2 dan pakaian untuk dibawa ke Kuantan hanya selepas solat Subuh. Tiba di sekolah cabaran baru bermula. Skor lagu belum kami sediakan. Ana terus rujuk buku peraturan, PERLU DISEDIAKAN tertulis di situ. Tanpa berlengah ana terus dapatkan Cikgu Yusuf, satu2nya individu yang tahu berkenaan penghasilan 'tauge' tu. Timbul isu, mengapa tidak disediakan lebih awal? Menghasilkan skor bukan satu kerja yang mudah, perlukan masa dan tumpuan yang tinggi. Cikgu Yusof mula membangkitkan hal itu pada ana. Untuk tidak menunding jari kepada sesiapa ana ambil keputusan untuk menganggap perkara tersebut berlaku kerana salah faham antara kami dengan jurulatih latihan pusat pada minggu sebelumnya.

Mahu tak mahu hanya Cikgu Yusoflah tempat kami semua berharap. Bukan hanya Al-Mumtaz tetapi juga Irsyadus Sufi (sebelum ni ana panggil Shoutus Sufi). Tanpa skor lagu, walaupun tidak diminta oleh penganjur tetapi disediakan oleh kumpulan2 lain mampu menjadi sebab musabab kepada kekalahan sesuatu pasukan. Setiap pasukan diperingkat ini, pasti tidak mahu apa juga perkara menjadi penyebab kegagalan mereka. Akhirnya, keputusan dibuat setelah kepastian diperolehi daripada salah seorang hakim. Skor lagu perlu disediakan. Setelah berbincang dengan Cikgu Yusof yang tidak akan bersama2 dengan kami menaiki bas, beliau akan usahakan untuk menyediakan skor lagu tersebut dan akan membawanya esok. Beliau akan pergi menaiki kereta beliau sendiri.

Pada masa yang sama, Guru Besar Cemerlang SKTMS, Tn. Hj. Mohmad Sabere b. Zakaria sedang bersama2 dengan Al-Mumtaz untuk memberikan kata2 semangat sebelum berangkat ke Kuantan. Beliau yang sepatutnya bergerak awal pagi ke Putrajaya atas urusan rasmi melewatkan sedikit perjalanannya untuk bersama2 Al-Mumtaz sebelum mereka bertolak. Selesai sesi bersama Guru Besar, Al-Mumtaz bergerak ke serata sekolah untuk bertemu guru2 sebagai tanda memohon restu dan doa mereka.

Bas Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol tiba kira2 jam 11.00 pg. Kelihatan juga ketika itu beberapa orang penjaga murid berada di pintu masuk sekolah menanti sehingga anak mereka menaiki bas. Setelah semua barang2 dimasukkan ke dalam bas, ana terfikir "Apa lagi yang tinggal ye? Macam ada yang tak cukup je..." bisik hati ana. Setelah diteliti baru ana perasan rupa2nya alatan perkusi Al-Mumtaz masih belum mereka masukkan ke dalam bas. Alhamdulillah, kalau tinggal alamat beli baldi jelah nanti. Buat persembahan guna baldi...

Perjalanan hanya memakan masa lebih kurang 3 jam lebih. Itupun belum ditambah dengan berhenti makan t/hari di Muadzam Shah. Kami tiba di Hotel Seri Malaysia kira2 jam 3.00 petang. Selesai pendaftaran, peserta dipacahkan untuk ke bilik masing2. Semasa guru menguruskan pendaftaran peserta kontinjen NS telahpun dijamu dengan jamuan, ana juga yang tak sempat. Mujur makanan t/hari masih berbaki dalam perut ana. Takpelah...

Jarak antara bilik yang agak berjauhan menjadikan urusan ana dengan Al-Mumtaz dan Irsyadus Sufi agak terbatas. Kebetulan pula, hanya ana sahaja guru pengiring lelaki dalam kontinjen NS. Nak buat macam mana, atas rasa tanggungjawab ana akan cuba uruskan mereka sedaya upaya ana.

Selesai pembahagian bilik, kerja2 membawa barang2 dari bas ke bilik pun bermula. Kalau tak silap ana ada jugak 5 ke 6 kali ana berulang turun naik dari bawah ke tingkat 3 bilik kami tu. Siap masukkan barang, masing2 berehat sebelum bersiap dan turun makan malam pada jam 6.30 petang.

Bila sahaja berada di Pahang ini, perasaan hati melonjak mahu bertemu rakan2 lama ana yang sebahagiannya berkhidmat di negeri ini tiba2 datang. Hari ini sahaja, beberapa orang kenalan lama dan baru telah ana temui, kebanyakannya bertugas sebagai urusetia di Festival pada kali ini. Panjang ada (nama asalnya ana dah lupa), Ayub ada, lebih teruja apabila ana berkesempatan bersua muka dengan sahabat blog ana, Us. Anis yang lebih dikenali dengan 'nickname' dalam blognya Abuhazieq. Setelah berbual pendek ana mohon untuk beransur pulang. Us. Anis hadir bersama beberapa orang rakannya kerana ditugaskan oleh JPN P. Pinang untuk memantau dan meneliti segala aspek yang boleh dijadikan panduan untuk penambahbaikkan kualiti nasyid di negeri P. Pinang pada tahun2 yang akan datang. Turut hadir ialah adik ana. Beliau hadir bersama suaminya, Ismail serta anak mereka, Irsyad.

Bsgitulah ceritanya FNK hari pertama. Harapan ana agar semuanya berjalan lancar esok dan hari2 seterusnya. Mohon maaf kerana ana kurang mengambil gambar hari ini. Insya Allah, ana akan lebihkan gambarnya untuk perkembangan esok. Awal pagi esok selepas Solat Subuh berjamaah ada tazkirah. Harap2 dapat la ana bangun awal. Hingga bertemu dalam travellog FNK 09 esok.

Wassalam.

Sesi bersama Guru Besar sebelum berangkat

"Membuat skor lagu bukannya mudah", kata Cikgu Yusof

Kontinjen NS dalam Majlis Perasmian Pembukaan FNK 09

Sunday, July 12, 2009

Laluan Perjuangan: Jadual Festival



Assalamualaikum...

Alhamdulillah, meskipun agak terlewat berhasil juga ana menyiapkan e-LAPORAN tahun 4 sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepada ana. Tak sampai hati rasanya meninggalkan tugas kepada orang lain sebelum ianya disempurnakan.

Apapun, ana rasa perlu juga ana masukkan jadual Festival Nasyid Sekolah2 Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-6 Tahun 2009 buat pengetahuan sahabat2 dan pengunjung2 semua.

14.07.2009 (Selasa)

2.30 ptg : Pendaftaran Kontinjen
4.30 ptg : Minum Petang
6.00 ptg : Makan Malam
8.30 mlm : Perasmian Pembukaan

15.07.2009 (Rabu)

7.00 pg : Sarapan Pagi
8.00 pg : Raptai Pertandingan SR
10.00 pg : Rehat
10.30 pg : Raptai Pertandingan SM
12.30 t/h : Makan t/hari dan Solat Zohor
2.30 ptg : Pertandingan SK (8 kumpulan)
4.30 ptg : Minum petang & Solat Asar
6.00 ptg : Makan malam dan Solat Maghrib
8.30 mlm : Pertandingan SK (8 kumpulan termasuk Al-Mumtaz)

16.07.2009 (Khamis)

7.00 pg : Sarapan pagi
8.00 pg : Pertandingan SM (9 kumpulan)
10.00 pg : Rehat
10.30 pg : Pertandingan SM (7 kumpulan termasuk Shoutus Sofi)
12.30 t/h : Makan t/hari dan Solat Zohor
2.30 ptg : Lawatan
4.30 ptg : Minum petang & Solat Asar
6.00 ptg : Makan malam dan Solat Maghrib
8.30 mlm : Raptai majlis penutup

17.07.2009 (Jumaat)

7.00 pg : Sarapan pagi
8.00 pg : Perasmian Penutup

Untuk memastikan sahabat2 dan para pengunjung turut merasai bahang kehangatan Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan pada tahun ini, insya Allah ana akan usahakan bagi menyediakan laporan ataupun liputan ringkas setiap hari yang akan ana masukkan entrinya setiap lewat malam berserta sedikit gambar mahupun rakaman. Kira2 macam sahabat ana Us. Mior yang buat travellog Oman masa beliau ke Oman dulu, ana akan sediakan Travellog Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) khas untuk tatapan dan pengetahuan sahabat2 dan para pengunjung semua. Nantikan liputan terbaru malam esok Insya Allah. Syukran kepada sahabat ana, Us. Ismail atas kesudian beliau meminjamkan broadbandnya pada ana, jasa beliau amat ana hargai.

Wassalam.

Saturday, July 11, 2009

Al-Mumtaz d' SM Dato' Mansor

Assalamualaikum semua...

Ana doakan antum semua sentiasa dinaungi rahmat dan perlindungan daripada ALLAH. Ana sekarang ni tengah kalut sikit. Maklum la, pelbagai perkara nak diuruskan. Paling kronik, e-LAPORAN yang belum ana sempurnakan. Buat sahabat ana Us Ismail, ana mohon maaf atas kelewatan ini. Insya Allah ana akan usahakan jugak untuk siapkan.

Al-Mumtaz membuat persembahan di SMDM petang tadi. Teruja, cemas, kalut, macam2 perasaan yang datang dalam diri ana dan Pn. Hjh. Nazariah sebelum persembahan mereka. Apa tidaknya, ini merupakan persembahan sulung Al-Mumtaz selepas latihan pusat minggu lepas. Pastinya persembahan terbaik yang kami harapkan. Dengan ketiadaan Cikgu Yusof yang mempunyai urusan penting, ana dan Pn. Hjh. Nazariah makin bimbang. Namun segalanya perlu kami teruskan.

Meskipun Al-Mumtaz merupakan pasukan terbaik dalam Negeri Sembilan, beberapa perkara yang berlaku dan tidak berlaku menjadikan kami agak terkilan. Antaranya ialah pendedahan Al-Mumtaz dengan persembahan di hadapan khalayak yang terlalu kurang malahan 'tiada langsung'. Kalau khalayak di SKTMS tu memang la dah biasa, maksud ana persembahan di luar, di mana2 program anjuran samada PPD mahupun JPNS. Bukan maksudnya kami mahu mencari populariti mahupun bayaran tetapi pendedahan Al-Mumtaz kepada situasi persembahan di hadapan khalayak amat membantu mereka mengatasi rasa gemuruh di pentas Festival Peringkat Kebangsaan nanti. Apalah salahnya berikan ruang dalam 2 atau 3 majlis untuk wakil Negeri Sembilan ini berlatih dan merasai perasaan di atas pentas, berhadapan dengan ratusan mahupun ribuan orang. Apapun, ruang itu sudah tertutup bagi Al-Mumtaz untuk tahun ini.

Ini bermakna persembahan di SMDM petang tadi merupakan persembahan sulung (mungkin persembahan tunggal) sebelum mereka berangkat ke Kuantan minggu hadapan. Nasib korang la Al-Mumtaz, perjuangkanlah apa yang korang perjuangkan meskipun bersendirian. Semoga Allah kurniakan kemenangan kepada korang. Insya Allah. Berkenaan prestasi persembahan petang tadi, sememangnya diakui masih ada yang perlu diperbaiki. Tambahan pula, kemudahan sistem suara yang disediakan tidak di'setting' dengan sempurna juga kurang membantu memantapkan persembahan Al-Mumtaz dan Shoutus Sofi. Apapun tahniah dan syabas buat Al-Mumtaz dan Shoutus Sofi. Teruskan perjuangan kalian!

Wassalam.

Al-Mumtaz memberikan persembahan terbaik

2 buah lagi dinyanyikan sepertimana persembahan di Festival nanti

Gambaran dari belakang Dewan Besar SMDM

Tetamu jemputan yang turut menyaksikan persembahan

Shoutus Sofi, meskipun tanpa solo utama Najmi, tetap tidak mengecewakan

Tuesday, July 7, 2009

Masa Ibarat Pedang - Latihan Pusat



Assalamualaikum semua...

Menjelang kurang seminggu menghampiri Festival Nasyid Sekolah2 KPM Peringkat Kebangsaan 2009 buatkan ana semakin sibuk. Kebetulan pula latihan pusat skuad Negeri Sembilan sedang berjalan bermula hari ini hingga hari Khamis. Ditambah pula dengan tugas2 harian yang sebahagiannya terpaksa ana tangguhkan lantaran urusan pengurusan al-Mumtaz yang bukan sedikit.

Pagi tadi ana menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Data Guru j-QAF, Murid dan Sekolah Program j-QAF antara JPNS dan PPD kali ke-2. Mujur mesyuarat tersebut diadakan di SK Serting 3 (F), dalam daerah Jempol. Kalau la diadakan di Seremban alamat bertambah kalut la ana. Bukan apa, hari yang sama juga latihan pusat berlangsung. Tak dapat ana nak tinggalkan walaupun salah satu daripada urusan tersebut kerana kedua2nya adalah tanggungjawab ana. Setelah berbincang dengan Pen. Pengarah j-QAF, Us. Suhaimi, beliau akhirnya membenarkan ana pulang awal untuk ke latihan pusat tersebut.

Bercerita tentang latihan pusat, walaupun tahun ini merupakan tahun keempat pasukan al-Mumtaz layak mewakili NS ke Peringkat Kebangsaan, dilema dan masalah yang berbangkit tetap sama. Antaranya tarikh latihan pusat yang terlalu rapat dengan Pertandingan Peringkat Kebangsaan membuatkan sebarang perubahan samada lirik, lagu mahupun pergerakan yang diperbetulkan oleh panel penilai yang dijemput semasa latihan pusat agak sukar dikuasai oleh peserta. Ditambah pula dengan keletihan dan tekanan yang mereka rasakan ketika diperbetulkan oleh panel membuatkan semua pihak yang terlibat merasa agak cemas. Walaubagaimanapun, ana yakin dengan kemampuan para peserta dan jurulatih untuk memperkemaskan segala aspek yang ditegur oleh panel penilai bagi memastikan persembahan terbaik dalam festival nanti.

Berkenaan eLAPORAN pula, mungkin ana antara guru yang masih bergelut menyiapkannya. Mana taknya, soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun PKSR Thn. 5 sampai kepada ana selepas cuti penggal baru2 ini. Nak riso, nak buat peperiksaan, nak tanda, fuh... cobaan. Ditambah lagi dengan Peperiksaan Pertengahan Tahun Kelas Agama Petang juga diadakan pada waktu yang sama (selepas cuti). Apa lagi, berkepuk la kertas yang perlu ana tanda. Ana harap ana dapat siapkan sebelum tarikh yang ditetapkan.

Apapun, ana mohon agar Allah terus berikan kekuatan kepada ana dalam mengharungi sebahagian urusan hidup ana sebagai pendidik ini. Ana juga mohon sokongan daripada sahabat2 seperjuangan untuk ana terus bertahan dalam arus kehidupan yang mencabar ini. Semoga Allah berikan kekuatan pada kita.

Wassalam.

Al-Mumtaz gigih menjalani latihan pusat

Sebahagian jurulatih dan pengurus pasukan yang hadir, turut hadir ketua kontinjen Negeri Sembilan, Ust. Jamilah

Wednesday, July 1, 2009

KARATE-DO mengimbau kenangan...

Assalamualaikum...

Kadang2 rasa bersalah menjengah jua bila lama tak menulis. Begitupun, ana sedar bukan ana sahaja dihimpit kesibukan tugas2 harian, sahabat2 seperjuangan lain juga begitu.

Pertama kali ana memakai semula 'suit' KARATE setelah hampir 5 tahun meninggalkannya membuatkan hati ana kembali semula ke zaman IPT ana. Sungguhpun telah agak muat2 (dahulunya longgar) tetapi masih padan dengan susuk badan ana. Pergerakan yang pernah ana pelajari dah lama hilang dari ingatan, inikan pula 'kata' (pergerakan bunga karate) yang dahulunya sering ana ulangkaji saban hari, kini habuk pun tarak!

Walaubagaimanapun, ana bertekad. Inilah peluang ana untuk bersenam. Biarpun ana terpaksa memulakannya semula dari bawah, ana sanggup asalkan dapat sedikit sebanyak mengeluarkan peluh, pada masa yang sama melahirkan rasa seronok dalam diri murid2 yang baru menyertai kelab ini.

Berakhir sesi latihan tadi, subhanallah, penatnya... Kaki dah rasa macam nak kejang. Letihnya tak boleh nak cakap. Nampak sangat la stamina ana dah berkurangan berbanding dulu. Apapun, ini salah satu peluang untuk ana mengulangkaji semula salah satu ilmu kurniaan Allah yang pernah ana pelajari dulu. Alhamdulillah...

Buat sahabat2 lain, jom kita jaga kesihatan badan dengan bersenam. "AKAL YANG SIHAT UNTUK BADAN YANG SIHAT".

Wassalam.