Pray 4 Misr

Pray 4 Misr

SOLAT DI MANA?

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

SUCIKAN HATIMU

Al-Mumtaz Johan BNM Musim ke 4, 2010

Al-Mumtaz Naib Johan FNK 2009

Al-Mumtaz: Tempat Ke-3 Ihtifal KAFA Kebangsaan 2013

Wednesday, April 29, 2009

Kecemerlangan Boling SKTMS


Skuad lelaki SKTMS bersama sijil dan medal


Skuad perempuan SKTMS dengan sijil dan medal yang dimenangi

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Beberapa hari tak masukkan entri buatkan ana tercari2 topik yang ingin ana utarakan. Kalau ada pun, masa pulak takde. Ada masa pun, gambar pulak takde. Maklum la, tengah tanda kertas Ujian Bulan April sekarang ni. Kalau bertangguh, alamat bersusun la check list to do ana. Ditambah dengan beberapa tugasan yang belum lagi ana selesaikan seperti penerbitan buletin berkala Suara Syiar untuk semester 1, uruskan surat mohon sumbangan untuk Al-Mumtaz, papan tanda nombor telefon kecemasan untuk dihubungi, tanda nama sekolah di rostrum. Belum ditambah dengan tugas hakiki, kemaskini fail j-QAF murid2, siapkan analisa Kem Bestari Solat Tahun 4 kali pertama, dan lain2. Pelan2 kayuh la...

Bercakap tentang Boling. Beberapa tahun kebelakangan ini, skuad Boling sekolah ana agak dikenali. Ini berikutan kesungguhan murid2 dan jurulatih serta guru penyelaras dalam menjalankan latihan dan menyertai pertandingan yang dianjurkan, pada masa yang sama dapat menempatkan diri dikalangan yang terbaik. Baru2 ini, pada 27 & 28 April 2009, Kejohanan Boling Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan di Ampang Superbowl, Seremban. Skuad Boling SKTMS yang menjuarai pertandingan daerah sebelumnya turut mengambil bahagian.

Kecemerlangan tercipta apabila 3 daripada 8 orang murid SKTMS terpilih dan akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan. Berbanding tahun lepas, hanya seorang sahaja yang terpilih. Kejohanan peringkat kebangsaan akan diadakan di Kedah pada bulan Jun nanti.

Ana mewakili warga SKTMS mengucapkan setinggi2 tahniah kepada peserta2 Boling SKTMS terutamanya yang layak ke peringkat kebangsaan. Tidak lupa juga ucapan tahniah buat guru2 pembimbing kelab ini seperti Pn. Asmah, Pn. Noridah, Cik Norliza dan Cik Hasliza di atas kejayaan ini. Semoga kejayaan ini dapat dikekalkan malah dipertingkatkan di masa2 akan datang.

Wassalam.

p/s: "Hiduplah dengan panduan syariat (al-Quran & Hadis). Mengutamakan dunia semata2 hanya akan menjamin kerugian berterusan buat kita (di dunia dan di akhirat)".


3 orang wakil Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan
Dari kiri: Shamimah, Iqbal dan Nabila Adilah

Monday, April 27, 2009

Bulan Penghayatan Disiplin

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Semalam berlangsungnya Pelancaran Bulan Penghayatan Disiplin di sekolah. Sebagai salah seorang JK Disiplin sekolah, ana ditugaskan untuk menguruskan tempahan banner dan bunting (untuk simbolik pelancaran). Pada masa yang sama, Penyerahan Watikan Pelantikan untuk Pengawas juga dilakukan.

Pelancaran yang dibuat sekali dengan waktu perhimpunan itu seperti biasa dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Kebesaran Negeri Sembilan dan lagu Sekolah. Setelah guru yang bertugas memberi ucapan, guru bertugas pada minggu lepas pula memberikan laporan, diikuti dengan penyampaian hadiah untuk peserta koir SKTMS yang menjuarai Pertandingan Koir Peringkat Daerah Jempol minggu lepas.

Pelancaran dimulakan dengan penyampaian watikah pelantikan kepada Pengawas oleh GPK 1 (En. Adnan) diikuti dengan taklimat ringkas tentang pengisian program sepanjang bulan oleh Guru Disiplin sekolah ana (Us. Ismail), seterusnya simbolik pelancaran oleh En. Adnan yang mewakili Guru Besar Cemerlang sekolah ana.

Sungguh mengejutkan tetapi memang simbolik sekali, bunting yang telah ana siapkan petang Ahad lalu tak boleh ditarik ke bawah. Keadaan jadi gamat seketika, beberapa orang guru bergurau dengan ana, "Ekau ni sajo yo nak sabotaj program ni yo Kimi", kata mereka. Ana balas dengan senyuman. Terdetik dihati ana, semalam ana dah cuba tarik dan semuanya ok je. Tali ikatan juga tertanggal dengan mudah.

Melihatkan keadaan itu, GPK HEM (Hjh. Nafsiah) turut membantu. Hasilnya, tali tersebut putus. Warga SKTMS ketawa semuanya. Ana terkedu. Ketua Pengawas yang baru dilantik diarahkan untuk mendapatkan gunting dan memotong ikatan tersebut dari atas. Tatkala ikatan dipotong, satu lagi kejutan besar berlaku. Bunting yang turun kosong! Tak ada apa2 tulisan. Sekali lagi ana terlopong, yang lain dah tentu la ketawa (sambil bertepuk tangan). Mujur warga SKTMS pagi tu sporting2 belaka...

Berbagai andaian bermain dalam kepala masing2. Ada yang masih dengan gurauan bahawa ana sengaja sabotaj pelancaran tu. Ana senyum lagi. Ana terus naik ke atas, dengan bantuan Sir Ibrahim, ana betulkan semula bunting tu. Sekali lagi warga SKTMS bertepuk tangan.

Subhanallah, bila difikirkan pasti ada hikmahnya segla yang berlaku. Bezanya samada kita mahu melihat sasuatu perkara dari aspek positif atau negatif. Bagi ana, kesukaran menurunkan bunting melambangkan aspek penghayatan disiplin bukan sesuatu yang mudah (namun usaha perlu dilakukan berterusan). Kosongnya bunting yang turun ke bawah adalah bertepatan dengan slogan program iaitu 'Salah Laku Sifar, Ponteng Juga Sifar'. Nama pun sifar, kosong. Kosong la buntingnya. Hehehe...

Namun ana akui segala yang berlaku hanya kebetulan dan kesilapan daripada diri ana sendiri. Kepada En. Adnan, ana mintak maaf banyak2. Bukan ana sengaja mahu keadaan jadi begitu. Apapun, semoga program ini akan dapat menghasilkan sesuatu yang baik untuk murid2 SKTMS.

Sekian, wassalam.

p/s: Terima kasih kepada Guru Besar Cemerlang sekolah ana (Tn. Hj. Sabere) kerana bermurah hati berikan diari Pra Sekolah kepada ana. Bukan apa, masing2 yang terlibat sewaktu lawatan dari Kedah minggu kepas dapat diari tu, ana saje je tanyakan pada guru Pra Sekolah (Pn. Ruziah), "Dah habis la Kimi, tak cukup", kata beliau. Pada ana, tak dapat pun tak jadi masalah. Dah dapat ni, alhamdulillah. Tahniah juga kepada sahabat ana, Rohayati atas kelahiran baby sulungnya Jumaat lepas (24.4.09). Baby girl, macam ana jugak. Semoga keharmonian rumahtangga terus berkekalan bersama puteri tersayang.


Pengawas SKTMS sedang bersedia menerima watikah


GPK 1, En. Adnan mewakili Guru Besar menyampaikan watikah kepada pengawas


Bacaan ikrar diketuai oleh Ketua Pengawas, Naim Syahmi


Bunting sifar???


Bunting simbolik pelancaran. Kan ada tulisan tuu...

Saturday, April 25, 2009

Selamat Datang JPNK



Assalamualaikum semua...

Ana doakan antum semua berada dalam keadaan yang sihat, ceria dan senentiasa diberkati Allah.

Untuk entri kali ini, ana akan laporkan secara ringkas berkenaan lawatan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Unit Pra Sekolah, Guru Besar dan guru2 Pra Sekolah negeri Kedah ke Pra Sekolah di sekolah ana pada 24.4.09 (Jumaat) baru2 ini.

Dari awal pagi, persediaan untuk menyambut kedatangan mereka telahpun dimulakan. Bagi Pra Sekolah sekolah ana, persediaan telah pun dimulakan sejak minggu lepas bagi memastikan segala2nya berjalan lancar. Bagi ana, tugasan menyiapkan tanda nama Pra Sekolah dapat ana siapkan walaupun kesuntukan masa. Rombongan dari Kedah seramai lebih 30 orang tiba ke SKTMS lebih kurang jam 11.30 pagi. Kehadiran mereka disambut dengan persembahan silat oleh murid2 Kelab Silat Gayung, seterusnya persembahan nasyid oleh Kumpulan nasyid sekolah, Al-Mumtaz.

Kemudian mereka dibawa melawat Pra Sekolah. Selesai melawat dan mengambil serta merakamkan gambar, rombongan dijamu dengan hidangan tengah hari di kantin sekolah. Merasa mereka gulai daging salai, ikan bakar, kerabu pegaga dan ayam sambal masakan chef di kantin sekolah kami (Abg. Johari). Memang marvellous...

Sesi diteruskan dengan bertukar2 cenderahati antara pihak SKTMS dengan tetamu sebelum mereka terus bergerak pulang ke Kedah (katanya nak singgah ke Port Dickson).

Apapun, jutaan penghargaan buat semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan tersebut. Buat tetamu2 yang datang, jangan segan2 berkunjung lagi ke sini. Insya Allah, jika ada umur yang panjang, kita pasti bersua lagi. Semoga dengan pertemuan dan perkongsian ilmu serta ukhuwah yang terbina akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk anak bangsa.

Sekian untuk kali ini. Wassalam.



Murid2 Ahli Kelab Silat Gayung sedang membuat demonstrasi di hadapan tetamu


Tetamu sedang dihiburkan dengan persembahan dari Al-Mumtaz

Sebahagian tetamu yang hadir melawat Pra Sekolah, SKTMS

Thursday, April 23, 2009

Selamat Maju Jaya Ustazah Raziana...

Assalamualaikum semua...

Petang tadi berlangsung satu majlis jamuan perpisahan salah seorang tenaga pengajar Kelas Agama Petang SKTMS, Ustazah Raziana namanya. Beliau yang telah lebih kurang 5 tahun mengajar di sini akan berkahwin dan akan bersama suaminya di TLDM Lumut, Perak.

Majlis pada petang tadi diserikan dengan persembahan nasyid oleh murid2 daripada kelas beliau sendiri, kelas 5 Asfar, diikuti dengan jamuan, seterusnya sesi bergambar kenang-kenangan. Paling menyentuh hati ialah apabila beliau mengucapkan selamat tinggal kepada ustazah2 lain yang telah sama2 mencurah bakti di sini sejak beberapa tahun lalu. Tangkap syahdu...

Apapun, pertemuan dan perpisahan adalah lumrah dalam kehidupan. Yang penting, perlu kita sentiasa tanamkan dalam diri bahawa setiap pertemuan mahupun perpisahan adalah kerana Allah. Sentiasa bermohon agar pertemuan dirahmati dan pada masa yang sama memohon agar perpisahan yang dilalui itu dipelihara oleh Allah.

Ana mewakili warga Kelas Agama Petang SKTMS terutamanya tenaga pengajar mengucapkan Selamat Maju Jaya buat Ustazah Raziana. Teruskan perjuangan mendidik anak bangsa di mana juga berada. Kami doakan ustazah berbahagia bersama suami tercinta tak lama lagi. Kalau ada kelapangan, ziarahlah kami di sini dan jangan jemu hantar berita buat kami.

Semoga ukhuwah yang terbina akan berpanjangan sehingga ke akhir hayat. Salam manis dari kami di sini. Wassalam.


Barisan tanaga pengajar Kelas Agama Petang SKTMS
Duduk dari kiri: Us. Ismail, Us. Hakimi, Us. Abd. Malik & Us. Fauzi
Berdiri dari kiri: Ust. Raziana, Ust. Rossidah, Ust. Zaidah, Ust. Norizah, Ust. Mazni, Ust. Hafaizah,
Ust. Norfaizah, Ust. Siti Normala, Ust. Faizah, Ust. Noor Hazliza, Ust. Siti Roditar, Ust. Norihan
Tiada dalam gambar: Ust. Mazlina & Ust. Normawati

Wednesday, April 22, 2009

Koir SKTMS Pun Menang!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera pengunjung2 sekalian...
-
Baru 2 minggu selepas kemenangan Pasukan Nasyid Al-Mumtaz dalam Festival Nasyid Sekolah2 Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Sembilan pada 11.4.2009, Pasukan Koir SKTMS mula mengorak langkah meneruskan kecemerlangan.
-
Semalam, bertempat di Dewan Bestari SMK Bandar Baru Serting pasukan Koir SKTMS telah memenangi Pertandingan Koir dalam Pesta Muzik Sekolah2 Daerah Jempol. Walaupun hanya 4 pasukan yang bertanding, ia tidak menjadi alasan bagi pasukan koir SKTMS untuk mengambil jalan mudah dan tidak bersungguh2 dalam membuat persediaan.
-
Sememangnya Pasukan Koir ini telah manjuarai peringkat daerah sejak beberapa tahun lepas. Malangnya di peringkat negeri, kejayaan tidak berpihak kepada mereka. Justeru, pada tahun ini, langkah awal diambil dengan membuat post mortem bagi mencari ruang2 kekurangan yang kurang diambil perhatian pada tahun2 sebelumnya.
-
Pasukan ini dibimbing sepenuhnya oleh 2 individu penting sepertimana yang ana pernah ceritakan dalam entri sebelum ini. Tak lain tak bukan, mereka ialah En. Mohd. Yusof dan Pn. Hjh. Nazariah. Dengan bimbngan mereka dan latihan yang berterusan, akhirnya kejayaan menjadi milik pasukan ini.
-
Apapun, syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Koir SKTMS, begitu juga dengan jurulatih dan pengurus pasukan mereka. Semoga kejayaan berterusan akan berjaya diraih di masa2 akan datang.
-
Wassalam.
-
p/s: selamat berangkat buat sahabat2 yang akan berlepas ke Oman malam ni. kuatkan semangat dan teruskan perjuangan. doa kami di tanah air sentiasa mengiringi kalian semua. jadi ke singgah Tanah Haram? kalau jadi jangan lupa doa2kan kami disini ye...
-

Monday, April 20, 2009

Selamat Kembali Abah & Mak



Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat semua...

Waktu menunjukkan pukul 1.00 pagi. Ana masih memandu pulang dari menjemput abah dan mak ana yang baru pulang daripada menunaikan umrah dan ziarah ke Mesir. Bonet kereta penuh dengan barang2, dalam kereta juga barang berpangku. Semuanya gara2 ayah ana bantu beberapa orang kawan yang umrah bersamanya bawakan air zam2 mereka. Ramai yang dah terlebih muatan. "Takpelah, orang minta tolong kita tolong la", katanya.

Perjalanan ana ke KLIA bersama 2 orang adik ana bermula pada jam 7.00 malam. Masing2 berniat musafir, mudah nak jamak dan qasar solat. Bimbang juga ana kalau2 laluan Bukit Putus ditutup, namun panggilan kepada salah seorang guru sekolah ana (Jee) yang mengambil kursus 13 minggu dan setiap hari berulang alik ke MPRM melegakan hati ana. "Jalan ok, aku hari2 lalu situ", respon Jee kepada soalan ana berkaitan laluan itu.

Melepasi Plaza Tol Nilai lebih kurang jam 8.30. "Masih awal lagi", kata hati ana. Ana ambil keputusan untuk menziarahi kenalan lama ana, En. Asri. Beliau merupakan salah seorang tenaga pengurusan USIM yang ana kenali semasa ana menuntut di KUIM dahulu. Ana habiskan masa berbual2 dengan beliau sehingga jam 10.30 malam. Dari situ ana bertolak terus ke KLIA. Selesai parking kereta, ana bersama 2 orang adik ana terus ke Balai Ketibaan Antarabangsa. 

Kelihatan beberapa orang jamaah umrah daripada syarikat yang sama dengan ayah dan mak ana keluar seorang demi seorang. Setelah agak lama menunggu, wajah ayah dan mak ana muncul membuatkan hati ana terharu. Alhamdulillah, segala2nya selamat. Berpelukan dengan ayah dan mak ana buat melepaskan kerinduan setelah 2 minggu berjauhan, jadikan hati ana sayu tiba2. Berbeza rasanya berjauhan dalam negeri dengan berjauhan luar negeri. Lebih2 lagi dengan berita kematian 5 orang jemaah umrah minggu lepas. 

Perjalanan pulang dirasakan dekat. Macam2 yang ayah ana ceritakan membuatkan hati ana membuak2 nak kembali ke sana. Setelah singgah di R & R Seremban, perjalan diteruskan. Ya Allah, permudahkanlah urusanku, lapangkan rezekiku agar dapat aku berkunjung ke rumahMU dan bersua dengan kekasihMU. Amin.

p/s: ana ambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat berangkat kepada sahabat2 jQAF yang akan berangkat ke Oman malam esok. Semoga selamat pergi dan balik. 





Sunday, April 19, 2009

Pertandingan Bola Sepak & Bola Tampar Daerah Jempol Barat

Assalamualaikum dan salam sejahtera...
-
Seperti yang ana sebutkan dalam entri sebelum ini, ana akan ceritakan serba sedikit berkenaan 2 pertandingan yang bertuan rumahkan sekolah ana minggu lepas. Menjadikan tune rutin harian ana di sekolah dan di rumah agak berserabut dan tidak tersusun. Walaubagaimanapun, segalanya dikelolakankan sebaik mungkin bersama2 jawatankuasa yang telah dipertanggungjawabkan.
-
Bercakap mengenai Pertandingan Bola Sepak Peringkat Daerah Jempol Barat, sekolah ana asalnya hanya menjadi tuan rumah bersama pada hari Isnin kerana tuan rumah asalnya, SK Serting Ilir (SKSI) hanya dapat menyediakan 1 padang sahaja untuk pusingan awal. Pasukan sekolah ana yang berjaya melepasi pusingan pertama dan akan bersaing dalam pusingan suku akhir esoknya di padang SKSI. Kebetulan ana diminta untuk menghantar pemain ke sana esoknya. Segalanya berubah apabila hujan lebat pada malamnya menyebabkan padang SKSI tidak dapat digunakan esoknya (Selasa) kerana air bertakung. Setelah pengerusi pengelola berbincang, sekolah ana diminta untuk menjadi tuan rumah sekali lagi. PA System dah kemas, meja dan kerusi dah susun semula, pendek kata semua dah setel. Terpaksa ana balik semua ke sekolah dan bersama2 dengan jawatankuasa sebelumnya menyediakan semula segala keperluan yang telah kami kemaskan semalamnya.
-
Dalam kalut2 pun kami berjaya menyediakan segala yang diperlukan untuk pertandingan pada hari kedua itu. Pujian harus diberikan kepada guru2 sekolah ana yang bertungkus lumus pada hari itu. Tanpa mereka tak mungkin pertandingan itu dapat dijalankan dengan sempurna.
-
Mengenai prestasi pasukan sekolah ana, mereka hanya berjaya mendapat tempat ke-4 setelah tewas dalam perlawanan separuh akhir dan tewas juga dalam perlawanan bagi penentuan tempat ke-3 dan ke-4. Walaupun begitu, 4 orang daripada mereka terpilih untuk menjalani latihan pusat bagi mewakili daerah Jempol Barat di Pertandingan Peringkat Negeri pada bulan hadapan.
-


Pemandangan padang SK Tunku Muda Serting.
Garisan putih tuu... Dah macam Stadium Bkt. Jalil la pulak...
-
Pasukan SKTMS (jersi oren) bergambar kenangan sebelum sepak mula salah satu perlawanan
-
.........................................................
-
Pertandingan Bola Tampar Peringkat Daerah Jempol Barat pula turut dijalankan di sekolah ana pada hari Khamis dan Jumaat minggu lepas. Seperti biasa, jawatankuasa yang ditugaskan termasuk ana menyediakan segala yang perlu bagi melancarkan perjalanan pertandingan tersebut.
-
Kami menyediakan 3 gelanggang. Oleh kerana banyak pasukan yang bertanding, perlawanan pusingan pertama berlangsung hingga ke petang. Sungguhpun begitu, segalanya berjalan dengan lancar. Pertandingan hari Jumaat dimulakan dengan pusingan suku akhir dan dijadualkan ditangguhkan sebelum solat Jumaat dan akan disambung pada sebelah petang termasuklah Majlis Penyampaian Hadiah. Di saat2 akhir, atas perbincangan para pengadil dan pengelola, keputusan dibuat untuk menyelesaikan pertandingan tersebut sebelum tengah hari.
-
Ditakdirkan, perlawanan akhir bagi kategori lelaki antara sekolah ana dan SK Pulapah berlanjutan hingga ke perlawanan penentuan sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 12.45 t/hari. Perlawanan belum habis, Majlis Penutup lagi, jamuan lagi, sempat ke? Masing2 risau terlepas solat Jumaat. Dalam menunggu, perlawanan pun selesai, terus diikuti dengan Majlis Penyampaian Hadiah. Selesai Penyampaian Hadiah, ana bersama Us. Ismail terus ambil wuduk dan bermotosikal ke masjid berdekatan. Mandi sunat pun tak sempat hari tu... Belasah jelah, jangan tak sempat solat Jumaat sudah...
-
Sampai di masjid terdekat, kedengaran bilal melaungkan Iqamah. Berlari ana dan Us. Ismail mengambil tempat untuk solat. Tak pernah hayat ana pergi solat Jumaat tapi tak dengar khutbah kecuali masa sekolah menengah dulu. Itupun sebab bas lambat.
-
Berakhirnya pertandingan itu meletakkan pasukan sekolah ana di kedudukan yang amat membanggakan. Manakan tidak, pasukan perempuan mendapat Naib Johan, tewas kepada juara bertahan, pasukan SK Pulapah manakala pasukan lelaki berjaya merebut takhta kejuaraan yang telah lama dipegang oleh pasukan lelaki, juga dari SK Pulapah. Hasilnya, 2 orang peserta perempuan dan 4 orang peserta lelaki daripada sekolah ana berjaya terpilih ke peringkat negeri.
-

Pasukan lelaki SKTMS

Pasukan perempuan SKTMS

Majlis Penutup yang diadakan serba ringkas
..........................................................
Apapun, selamat maju jaya kepada murid2 yang terpilih menyertai pasukan daerah ke peringkat negeri. Setinggi2 penghargaan kepada guru2 yang bersama bertungkus lumus menjayakan 2 pertandingan sepertimana yang ana ceritakan di atas. Semoga Allah membalas jasa kalian semua dengan ganjaran pahala.
-
Bersama ini ana masukkan beberapa keping gambar untuk tatapan anda semua.
-

Discovery Spelling, SALC Week SKTMS

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Kalau dibaca tajuk entri ana kali ni saja mesti ingat ana nak tulis dalam BI kan? Takdelah sampai macam tu, ana bukan pandai sangat BI ni. Setakat boleh faham apa yang orang cakap tu ada la sikit2, nak bercakap tu payah kot, lidah Melayu bersadur Arab.

Sebelum ana masukkan entri berkenaan Pertandingan Bola Sepak dan Bola Tampar yang diadakan di sekolah ana, ana nak ceritakan dulu berkenaan SALC Week sekolah ana yang diadakan 2 minggu yang lalu (ana lupa SALC tu short form untuk apa). Program ni di bawah Panitia Bahasa Inggeris, kebetulan dalam minggu yang sama sekolah ana jadi tuan rumah untuk English Competition Peringkat Daerah. Jadi, disamping mengelolakan pertandingan peringkat daerah tu, Panitia BI juga menjalankan aktiviti2 dan pertandingan2 lain untuk murid2 dan guru antaranya Discovery Spelling untuk guru2 SKTMS sendiri.

Pertandingan itu diadakan mengikut panitia. Setiap panitia dikehendaki menghantar 5 orang wakil. Antara panitia yang terlibat ialah Panitia BM, Panitia Agama dan Panitia Sains & Matematik. Sungguhpun masing2 dah bergelar guru, pertandingan yang dijalankan dengan disaksikan oleh semua murid menjadikan guru2 yang mengambil bahagian seram sejuk dan gemuruh. Malu la kalau salah eja depan anak murid. Namun atas semangat meraikan program rakan2 setugas, digagahkan juga ke pentas menyertainya. 

Pertandingan perjalan dalam 3 pusingan. Setiap peserta akan diberikan 1 perkataan setiap seorang, seorang demi seorang. Jika salah ejaan, tersingkir. Mujur peserta hanya perlu menulis perkataan yang dibacakan oleh hakim. Kalau kena eja, alamat merapu la peserta2 atas pentas.

Bagi Panitia Agama, guru2 j-QAFlah yang jadi mangsa. "Korang ada degree", kata guru2 PI yang lain. "Hentam sajalah", kata ana kepada rakan j-QAF yang lain, merekapun tiada masalah menyahut cabaran tersebut. Pusingan pertama berjaya diharungi oleh semua peserta. Memasuki pusingan kedua, perkataan semakin susah untuk dieja dan ditulis. Hasilnya, seorang demi seorang peserta terkeluar sehinggalah sampai pusingan terakhir di mana seorang wakil Panitia MB, 2 orang wakil Panitia Agama dan seorang wakil Panitia Sains & Matematik sahaja yang tinggal. Salah seorang wakil Panitia Agama tu, ana. Perkataan seterusnya untuk wakil Panitia BM dan sahabat ana wakil Panitia Agama gagal dijawab dengan tepat, mereka berdua tersingkir. Seterusnya, perkataan untuk ana. Alhamdulillah, dapat ana jawab dan tulis dengan betul.  Ini bermakna sekiranya guru wakil Panitia Sains & Matematik tidak berjaya menjawab dengan betul, analah pemenangnya. 

Ditakdirkan itulah yang berlaku. Ana pemenangnya! Lawak betul. Masa sekolah dulu punya la 'blur' Inggeris, SPM pun cukup makan je, boleh pulak menang pertandingan ni. Bila ana amati semula, rupanya penguasaan ana dalam BI bermula apabila ana menuntut di KUIM (sekarang USIM). Sebahagian besar kuliah undang2 dan subjek2 pengurusan termasuk kaunseling dipelajari dalam BI. Thesis ana pun dalam BI juga. Mungkin dari situ, penguasaan ana sedikit demi sedikit bertambah. 

Apapun, bukan tujuan ana masukkan entri ini untuk meninggi diri atas kejayaan ana dalam pertandingan tersebut, jauh sekali mahu berbangga2. Ilmu dan pengetahuan, segalanya adalah hak milik Allah. Kita hanya diberikan kesempatan untuk memiliki hanya sekelumit daripada ilmu Allah yang Maha Luas ini. Jadi, apa sumbangan kita dengan ilmu yang kita ada? Sejauh mana ilmu yang Allah kurniakan itu kita manfaatkan ke jalanNYA? Sama2 kita fikirkan.

Bersama entri ini, ana masukkan beberapa keping gambar buat tatapan pengunjung semua. Wassalam.


peserta berdebar menunggu pertandingan dimulakan


empat orang peserta pusingan akhir. masing2 tengah cuak...


empat orang hakim daripada Panitia BI. pakar2 semuanya tu...

IIUM Angklung Club

" Long, jangan lupe tengok TV3 pagi esok, aku masuk tv!" pesan adik ana yang menuntut di UIA pada petang 25.4.2009 yang lalu. Adik perempuan kedua ana, Nursafura menganggotai Kelab Angklung di 'U'nya. 

Pada pagi 26.3.2009 tu ana tak teringat langsung nak tengok tv berikutan mahu cepat bersiap untuk ke sekolah. Sampai saja ana di sekolah, telefon ana berbunyi. Bila panggilan ana sambut, ayah ana di hujung talian. "Long, tengok tv3 ke tak? Adik engkau masuk tv ni". 

Loh!! Ana terlupa nak tengok tv. Terus ana turun ke pejabat sekolah ana dan minta izin daripada Pegawai Tadbir (Kak Yun) untuk pasang tv. Tatkala gambar tersiar, pasukan Angklung sedang leka menggoncang batang2 buluh yang disusun menghasilkan bunyi2 berbeza mengikut nada tertentu. Masing2 dalam pejabat sibuk bertanya kenapa ana nak buka tv pagi2 tu. Ana jawab la adik ana masuk tv. Memang tak lama sangat diorang buat persembahan tu, hanya selingan sebelum dan selepas iklan. Sempat juga dimainkan beberapa buah lagu. Kata adik ana lama juga mereka berlatih, tak boleh tengok note pulak tu (tapi masa rakaman tu ana tengok ada je note depan diorang, tak hafal la tu kot...).

Selesai ana tengok 1 slot ana pun tutup tv di pejabat tu. Lega... sempat juga ana tengok persembahan tu. Buatnya dia tanya ana dia duduk barisan mana, nombor berapa dari tepi sedangkan ana tak tengok, tak ke naya ana. Kantoi la pulak, tak tengok tapi cakap tengok. 

Bersama2 entri ni ana masukkan salah satu slot persembahan mereka pagi tu. Adik ana tu main di barisan hadapan, nombor dua daripada tepi, depan kawannya yang main bonggo. Wassalam.

p/s: sori kak (adik ana), lambat along masukkan. Lambat dapat rakaman, lambat la keluar blog along ni. Lagi satu, volume dia memang perlahan. Pandai2 la nak dengar, tengah malam ke, guna ear phone ke... Tahniah buat sahabat ana Shahril dan isteri beliau Farah Syaiha atas kelahiran baby girl pertama jam 5 petang tadi. Semoga berterusan dalam limpahan keberkatan dan naungan rahmat Allah Taala. Beliau bertugas sebagai guru j-QAF di Sarawak, sebaik menerima berita tanda2 kelahiran daripada isterinya terus balik ke Semenanjung untuk bersama menemani di saat2 kelahiran puteri pertama beliau itu. Selamat menjadi ayah dan tahniah sekali lagi daripada ana sekeluarga. 


Thursday, April 16, 2009

Orang Kuat Al-Mumtaz

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Bersama2 rakan setugas, guru2 SKTMS mengendalikan Perlawanan Bola Sepak & Bola Tampar Peringkat Daerah Jempol Barat menjadikan ana sendiri pun tak berkesempatan nak masukkan entri baru. Begitupun, ana masih curi masa (terutamanya waktu malam) untuk masukkan entri ini. Insya Allah, entri berkenaan 2 pertandingan tersebut akan ana cuba masukkan pada masa akan datang.

Sepertimana gambar yang ana lampirkan di sebelah, inilah dia 2 orang 'orang kuat' yang banyak menyumbang ke arah kejayaan Al-Mumtaz selama 4 tahun kebelakangan ini. Sungguhpun tidak dinafikan warga SK Tunku Muda Serting yang lain juga sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaan Al-Mumtaz, 2 orang guru ini berkorban masa dan tenaga untuk memastikan Al-Mumtaz mengekalkan kemenangan hingga ke hari ini.

Berdiri di belakang ialah Pn. Hjh. Nazariah bt. Kamarudin (Kak Naza). Seorang guru Bahasa Melayu, namun minatnya kepada bidang muzik terutamanya nasyid mendorong beliau membantu ana melatih Al-Mumtaz. Beliau mencipta lirik bersama ana selepas ana mandapatkan segala maklumat berkaitan tema. Beliau turut berperanan dalam melatih vokal, mereka gaya, menentukan penampilan dan pergerakan Al-Mumtaz dalam persembahan.

Duduk sedang bermain keyboard ialah En. Mohd. Yusof b. Abd. Ghani (Cikgu Usop). Beliau merupakan guru muzik di sekolah ana. Selesai sahaja ana bersama Kak Naza mencipta lirik, setelah dimurnikan berulang kali, lirik itu diserahkan kepada beliau untuk dihasilkan lagunya. Dengan kemahiran dan pengalaman yang beliau miliki, lagu bagi lirik baru akan berjaya dihasilkan dalam masa beberapa jam sahaja bergantung kepada idea dan mood beliau.

Apabila kedua2 lirik dan lagu siap dicipta, sesi latihan akan segera dimulakan bagi mengelakkan idea lagu tersebut hilang ataupun berubah. Biasanya perakam diperlukan untuk memudahkan ingatan. Maka bermula daripada detik itu, bilik muzik yang dikelolakan oleh Cikgu Usop akan menjadi kelas kedua bagi Al-Mumtaz selepas kelas pembelajaran mereka.

Apapun, ana ambil kesempatan ini mewakili Panitia Agama Islam SK Tunku Muda Serting mengucapkan setinggi2 penghargaan kepada Kak Naza dan Cikgu Usop atas sumbangan dan bantuan mereka selama ini. Semoga Allah membalas jasa mereka berdua dengan ganjaran pahala.

Sekian buat kali ini. Wassalam.

Monday, April 13, 2009

Dugaan Kemenangan dan Kehilangan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua...

Sebaik sahaja ana diuji oleh Allah dengan satu dugaan (kemenangan Al-Mumtaz), ana diuji sekali lagi dengan dugaan yang tidak kurang getirnya.
-
Beg galas yang ana gunakan untuk membawa dokumen urusan Festival Nasyid Al-Mumtaz berserta 2 buah kamera (1 kepunyaan ana dan 1 lagi ana pinjam dari sahabat ana, Us. Ismail) tertinggal di dewan makan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) selepas ana makan tengah hari bersama jurulatih (Pn. Hjh. Nazariah, suami dan anaknya). Kehilangan itu ana sedari hanya setelah semua ahli Al-Mumtaz ana hantar ke rumah masing2 sejurus ana sampai di rumah ana.
-
Menyedari kehilangan itu, ana bergegas semula ke SBPI untuk mendapatkan beg tersebut. Sampai sahaja di sana ana dapati keadaan dewan makan telah kembali seperti biasa. Semua meja bulat telah dikemas oleh pekerja2 katering. Ana ambil keputusan untuk bertanyakan kepada salah seorang mak cik yang bekerja di dewan makan tersebut. Setelah bertanyakan kepada beberapa orang rakannya mak cik tersebut memberitahu ana bahawa beg ana telah diserahkan kepada salah seorang pekerja katering tersebut kerana menyangka beg galas ana yang tertinggal itu kepunyaan salah seorang daripada mereka.
-
Hati ana makin tak sedap. Alamat hilang la jawabnya kamera ana dan Us. Ismail ni, kata hati ana. Beberapa keping gambar yang ana ambil termasuk rakaman persembahan Al-Mumtaz juga tak dapat ana selamatkan. Macam mana ana nak jelaskan pada Us. Ismail nanti, kamera kepunyaannya dah hilang!
-
Dalam ana berfikir datang semula mak cik tadi mengatakan bahawa beliau kenal pekerja yang beliau serahkan beg galas ana tadi. Beliau juga ada nombor telefon pekerja tersebut. Terus beliau membuat panggilan. Apabila panggilan bersambut beliau memberitahu pekerja tersebut bahawa beg galas yang beliau serahkan kepada pekerja tadi kepunyaan ana dan pekerja itu terus bersetuju untuk memulangkan beg ana.
-
Setelah lebih kurang 15 minit menunggu pekerja itu datang bersama dengan beg ana. Masih bimbang dihati ana kalau2 hanya beg yang dipulangkan tetapi isinya sudah tiada. Apabila diperiksa ana dapati segalanya masih ada dan dalam keadaan baik. Alhamdulillah, syukur pada Allah.
-
Begitulah kisahnya. Kemenangan adalah ujian dan dugaan dari Allah, begitu juga dengan kehilangan sesuatu yang kita rasakan berharga. Ia juga dugaan daripadaNYA. Seketika hati kita melonjak kegembiraan tetapi hanya dengan sedikit dugaan, kita akan tersentak, terkejut dan perasaan kegembiraan atas kemenangan itu hilang begitu saja.
-
Sekian buat kali ini. Wassalam.
-

Saturday, April 11, 2009

Kemenangan Kedua


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pengunjung...
-
Beberapa sejarah tercipta semalam. Bertempat di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan, dalam Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Sembilan, pasukan nasyid sekolah ana, Al-Mumtaz berjaya mengekalkan kemenangan buat tahun keempat. Turut berkongsi kemanisan kemenangan ialah pasukan sekolah menengah daripada tuan rumah (SBPI) yang juga mewakili daerah yang sama, Jempol yang dianggotai bekas solo kami tahun lepas (Najmi) dan 2 orang pemain perkusi (Ashraf dan Amirul Haiqal). Sungguhpun SBPI baru kali pertama ke peringkat kebangsaan, pengalaman 3 tahun ke sana akan kita manfaatkan bersama, Insya Allah.
-
Setinggi2 kesyukuran hanya selayaknya kepada Allah Taala, penentu segala perkara, kemenangan mahupun kekalahan. Tidak dilupakan setinggi2 terima kasih buat warga SK Tunku Muda Serting yang sentiasa memberi bantuan, pendapat, sokongan, dorongan dan doa berpanjangan. Terima kasih dari ana, pengurus pasukan, jurulatih Hjh. Nazariah dan En. Mohd. Yusuf serta ahli2 Al-Mumtaz. Buat penjaga ahli Al-Mumtaz, terima kasih juga buat anda semua. Anak2 anda bagai mutiara berharga buat sekolah ini. Suka ana ulangi bahawa kemenangan ini bukanlah kemenangan pengurus pasukan, jurulatih dan ahli2 Al-Mumtaz sahaja, bahkan ia merupakan kemenangan buat warga SK Tunku Muda Serting khasnya dan warga Jempol khasnya. Tidak lupa juga ucapan terima kasih buat Ustazah Salina yang banyak memberikan panduan berkenaan beberapa perkara berkaitan penghasilan lagu. PIBG SK Tunku Muda Serting juga tak mungkin dilupakan. Tanpa badan ini, alamatnya pakai baju tahun lepas la budak2 tu. Terima kasih atas peruntukan baju melayu yang disumbangkan.
-
Menurut perbincangan ana dengan jurulatih dan beberapa orang hakim selepas pertandingan, mereka mengakui bahawa prestasi peserta2 peringkat Negeri Sembilan pada tahun ini telah banyak meningkat. Sesungguhnya itu jugalah yang kami harapkan. Saingan yang sihat akan menjadikan kami lebih berazam dan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan ini. Sempat juga ana berbual2 dengan Ustaz Amirahman (Naib Juara Akademi Al-Quran musim pertama) dan Ustaz Nik Azizan (Mari Bertarannum TV9) sambil bertukar2 pandangan dengan mereka. Bersama2 entri ini ana masukkan beberapa keping gambar buat tatapan semua.
-
Sekian buat kali ini. Wassalam.
-

Berdoa sebelum bertolak ke SBPI, Jempol
-

Seperti biasa, sampai saja di tempat pertandingan, mesti practice berulang kali.
-

Hakim2 yang mengadili kategori sekolah rendah
-

Al-Mumtaz sewaktu membuat persembahan semula selepas diumumkan sebagai juara kategori sekolah rendah -

Bergambar kenangan sejurus selepas majlis berakhir. Lupa nak letak piala kat depan...
-

Gambar kenangan bersama Ustaz Amirahman. "Sori ustaz, dah takdo gambar lain. Napo anta tutup mato, kontrol macho ko?" Hehehe...
-

Wednesday, April 8, 2009

Debaran Negeri...

Assalamualaikum pengunjung2 semua...

Tinggal hanya 1 hari berbaki untuk berlangsungnya Festival Nasyid Sekolah2 Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Sembilan membuatkan ana & jurulatih khasnya serta warga SKTMS amnya rasa tak senang duduk.
-
Berbagai2 persoalan bermain di minda kami. Ada harapan menang ke tahun ni? Macam mana agaknya persediaan pasukan2 lain? Dah cukup lengkap ke persediaan pasukan sekolah kita? Macam mana la persembahan mereka nanti? Memang banyak persoalan...
-
Apapun persoalannya, ana selaku pengurus pasukan perlu memastikan urusan pendaftaran selesai, persediaan lengkap dan kesihatan mereka terjaga. Buku lirik, senarai nama, salinan surat beranak, ubat batuk, ubat suara, eksesori persembahan, makan minum, surat kebenaran, bateri mikrofon, segalanya sedang ana uruskan dan sebahagiannya telahpun selesai ana lakukan. Hanya menunggu hari pertandingan dan senantiasa berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan.
-
Besarlah harapan warga SK Tunku Muda Serting mendoakan kejayaan Al-Mumtaz agar dapat kami membawa misi dakwah ke tahap yang lebih tinggi sekaligus menaikkan nama sekolah dan Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan sekali lagi pada tahun ini, Insya allah.
-
Wassalam.
-
p/s: ketika ana terbitkan catatan ini, hanya tinggal lebih kurang 10 minit ke jam 3.00 petang iaitu saat di mana YAB Datuk Seri Najib mengumumkan kabinet barunya. Walau siapapun yang dilantik, apapun portfolio mereka, pastinya rakyat Malaysia mengharapkan barisan Menteri2 baru tersebut nanti akan mampu mendapani sekaligus menangani apa jua masalah dalaman mahupun luar negara terutamanya yang dihadapi oleh rakyat. Semoga Malaysia terus diberkati, aman dan makmur.
-

Tuesday, April 7, 2009

Di Mana Nilai Kemanusiaan?


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Berakhir sudah 3 Pilihanraya Kecil bagi 1 kerusi Parlimen di Perak dan 2 kerusi DUN di Kedah dan Batang Ai. Apapun keputusannya, tahniah buat yang berjaya menjadi wakil pilihan rakyat. Bagi yang tidak berjaya beroleh majoriti berbanding pesaing mereka, rakyat masih menyokong anda cuma majoriti tidak berpihak kepada anda. Teruskan berbakti untuk masyarakat kerana masyarakat sentiasa menilai segala perlakuan, percakapan dan tindakan anda. Segalanya pasti memberi impak untuk masa depan politik anda di masa akan datang.

Ana bukan mahu mengulas tentang politik dalam entri kali ini, cuma ana tertarik dengan istilah politik budiman yang diutarakan oleh Dr. Abu Hasan Hasbullah dari UKM. Ianya perlu difahami dengan sedalam2nya oleh semua pihak terutamanya ahli politik dalam meneruskan agenda politik mereka.

Sepertimana tajuk yang ana letakkan di atas, Di Mana Nilai Kemanusiaan? Tajuk ini berkaitan dengan kejadian yang menimpa seorang daripada sahabat ana pada hari Khamis minggu lepas, Shamsul Anuar namanya. Beliau terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang ke rumah dari pejabat di Kuala Lumpur (rumah beliau di KL juga). Sebagai penunggang motosikal, kemalangan biasanya mudah berlaku. Beliau diasak keras oleh sebuah teksi sehingga menyebabkan motosikal beliau hilang kawalan dan jatuh.

Dalam keadaan separuh sedar, beberapa insan prihatin datang membantu. Suka ana sebutkan bantuan mereka boleh dikategorikan kepada 2 jenis iaitu:

1. Bantuan menyelamatkan mangsa

2. Bantuan 'menyelamatkan' telefon bimbit dan dompet mangsa.

Subhanallah, macam mana seorang manusia boleh berfikir untuk hanya 'menyelamatkan' telefon bimbit dan dompet mangsa sedangkan mangsa sedang dalam kesakitan dan hampir tidak sedarkan diri? Di Mana Nilai Kemanusiaan mereka? Sahabat ana tadi patah kaki dan bahu akibat kemalangan tersebut. Lebih menyedihkan apabila beliau turut kehilangan telefon bimbit dan dompet beliau ketika keadian tersebut.

Apa masalahnya dengan masyarakat kita sekarang ni? Gaji tak cukup ke? Kurang didikan agama ke? Dah biasa buat macam tu ke? Bila difikirkan kembali ada baiknya jika insan2 prihatin yang berhenti membantu mana2 mangsa yang terlibat dengan kemalangan agar mengambil peduli juga dengan perkara ini. Jika beberapa orang telah membantu mangsa, yang selebihnya tolong perhatikan insan2 prihatin yang hanya ingin 'menyelamatkan' harta benda mangsa. Tindakan ini juga membantu mangsa sebenarnya.

Buat masa ini, sahabat ana tu berada di Hospital Selayang dan masih menunggu giliran pembedahan untuk memasukkan besi di kaki beliau. Nak buat macam mana, wad pembedahan tengah penuh.

Wassalam.

p/s: ana rasa terpanggil untuk mengetahui kebenaran di sebalik beberapa kejadian berkaitan kecederaan mahupun kematian yang berlaku terhadap murid kebelakangan ini. walaupun sebahagiannya telah diketahui sebab musababnya, sebahagian yang lain mungkin dikaburi sebab sebenarnya. hanya ditonjolkan berita kejadiannya sahaja sekaligus membuka ruang seluas2nya kepada mana2 pihak untuk hanya menyalahkan guru. sila layari blog PERKHIDMATAN PELAJARAN yang telah ana 'link'kan dengan blog ana ni. banyak info2 berkaitan profesyen perguruan dan perkara2 yang bersangkutan dengannya dalam blog tersebut. semoga memberi manfaat buat semua.

Monday, April 6, 2009

Selamat Berangkat Mak & Abah

Assalamualaikum pengunjung dan sahabat2...

4.4.09 (Sabtu) baru2 ni abah dan mak ana selamat berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah berserta ziarah ke Mesir dalam perjalanan balik ke tanah air nanti.

Allah saja yang tahu betapa bergelojaknya hati ana untuk kembali ke sana selepas disponsor oleh abah ana pada tahun 2004 yang lalu, sebaik saja ana menamatkan pengajian ana di KUIM (sekarang USIM).

Telah menjadi hajat dan cita2 ana untuk membawa zaujah ana ke sana semenjak awal perkahwinan kami lagi jika dimurahkan rezeki dan diberikan kesempatan oleh Allah.

Pengalaman dan perasaan berada di sana pada 2004 dahulu sememangnya sukar digambarkan. Apa yang pasti setiap kali melihat gambar Ka'bah ketika azan di tv berkumandang mahupun di masa2 yang lain, hati ana mula rasa sayu dan rasa tak sabar2 untuk ke sana semula. Benarlah kata orang, berkunjung ke sana tak sama seperti ke tempat2 lain. Keinginan untuk kembali ke sana mengatasi segala keinginan untuk kembali ke lain2 tempat di dunia ini.

Apapun, ana doakan agar abah dan mak ana selamat menyempurnakan umrah mereka seterusnya kembali semula ke tanah air. Sempat juga ana sampaikan salam buat Junjungan Nabi s.a.w. Suasana berada di RAUDHAH begitu sukar untuk ana rasakan kembali...

Pendek kata, kumpulkan bajet. Cukup je nanti ana pasti berangkat ke sana.

Wassalam.

p/s: buat pengundi2 Bukit Gantang, Bukit Silambau dan Batang Ai, selamat mengundi diucapkan. semoga beroleh wakil yang benar2 berkhidmat untuk anda semua. buat yang lain, kita tunggu keputusannya malam esok.

Thursday, April 2, 2009

Renungan: Jangan Tinggal Daku

Iman : Assalamualaikum, bos!

Diri : Waalaikumussalam, lama tak nampak awak. Awak cuti ke?

Iman : Taklah, jabatan kami rasa tuan tak memerlukan kami lagi?

Diri : Laa..kenapa pulak awak cakap macam tu? Pentadbiran diri aku berterabur sekarang bila jabatan awak takde.

Iman : Takdelah, kami lihat banyak pekerja tambahan tuan ambil. En. VCD, En. SMS, En. TV, jadi kami rasa terpinggir.

Diri : Entahlah, waktu cuti sebulan ni aku tak pernah menggaji mereka. Tapi mereka terlalu rajin buat kerja, bekerja tanpa gaji, tapi banyak juga duit aku habis, entah la...

Iman : Tu sebab kami agak rasa bos memencilkan kami. En. Al Quran, En. Zikir, En. Ma'thurat, En. Solat malam tak boleh bekerja dengan mereka. Kami memang tak boleh bercampur dengan mereka.

Diri : Aku tak pernah minta awak bercuti.

Iman : Bagaimana kami ingin bekerja sedangkan bos sudah punya 'pekerja tambahan'? Kami lihat mereka buat tuan gembira.

Diri : Argh, gembira apanya. Berterabur kerja kat pejabat tu! Tolonglah, bekerjalah dengan aku kembali.

Iman : Kami sememangnya sudah berkhidmat dengan bos dari bos di dalam rahim ibu bos lagi. Tapi, bos kadang2 mengabaikan kami. Bos sediakan makanan untuk pekerja tambahan, En. Dosa. Tapi kami, bos tak sediakan makanan. Kebajikan kami tak terjaga.

Diri : Maafkan aku. Kembalilah bekerja dengan aku. Aku janji kebajikan kamu semua aku jaga, En. Iman.

Iman : Bos boleh berjanji, tapi CEO kita akan memantau bos, Dialah Allah. Bos takkan tak takut menabur janji tapi melupakannya?

Diri : Janganlah menyalahkan aku.

Iman : Bos perlu sedar, kami hanya bekerja di dalam syarikat yang bersih dan amanah. Bukanlah kami nak memandang rendah pada jabatan baru, En. Dosa, tapi kami tidak suka cara mereka bekerja, mereka meminggirkan kami.

Diri : Dah, awak tak melawan?

Iman : Bos, bagaimana kami ingin menang? Kami terlalu lemah, sedikit pula tu, kebajikan kami langsung bos tak jaga sedangkan kami tidak pernah meminta gaji dari bos. Cuma kami minta disediakan ruang yang bersih dan amanah untuk kami bekerja. Salahkah kami meminta yang sedikit?

Diri : Tapi mereka kadang-kadang lebih menggembirakan aku.

Iman : Kalau begitu maafkan kami. Tak dapat rasanya kami bekerja untuk bos lagi. Bos perlu memberi kebajikan kepada mereka. Siapalah kami...

Diri : Ehh, janganlah macam tu. Bekerjalah dengan aku.

Iman : Buanglah pekerja itu. Mereka meminta-minta dari bos. Bos perlu berhabis jutaan ringgit untuk mereka. Sedangkan kami, percuma khidmat kami.

Diri : Aduh, mereka pekerja yang menggembirakan aku. Memang kamu percuma, tapi kamu kadang-kadang bising, ini tak boleh, itu tak boleh. Aku rimas...

Iman : (senyum sinis) Maafkan kami bos, kami minta diri dulu, tak perlulah kami berkhidmat dengan bos kalau begitu. Kalau bos perlukan kami, kami sentiasa di sisi. Bos jangan risau, kami maafkan bos.

Diri : Jangan pergi, aku sanggup pecat Encik Dosa dan ahli jawatankuasanya. En. VCD, En. Majalah yang melalaikan dan sebagainya.

Iman : Bos betul-betul sanggup?

Diri : Ya, aku kelam kabut sekarang. Tak tenang, management berterabur.

Iman : Alhamdulillah, kami free of charge. Bos takkan rugi, sebaliknya bos beruntung besar. Silap hari bulan, CEO kita, Allah akan naikkan bos ke pangkat yang lebih tinggi.

Diri : Terima kasih. Panggillah AJK kamu bekerja semula, En. Iman. Aku akan jaga kebajikan kamu, panggillah En. Ma'thurat, En. Zikir, En. Solat dan semua ahli jabatan kamu ya...

Iman : Alhamdulillah. Moga keuntungan bos berganda-ganda tahun ini dan seterusnya.

Diri : Terima kasih, En. Iman.

Sekadar analogi mudah, begitulah diri kita. Kitalah bos dalam syarikat kita. Jabatan dalam diri kita hanya ada dua. Jabatan Iman dan Jabatan Dosa. Kitalah yang perlu mengurus sebaik mungkin pekerja-pekerja kita. Memang susah untuk kita memenuhi setiap kehendak pekerja kita, memang susah untuk memastikan pekerja kita berbaik. Kerana antara iman dan dosa tidak mungkin bercampur. Bagai air sungai yang jernih, dimasukkan ke dalam gelas, segar dan nyaman air itu. Namun apabila bercampur dengan lumut, selut dan kekotoran lain, maka begitu sukarlah unutk membersihkannya kembali. Begitu juga dengan pekerja kita, andai terlalu 'diternak' satu jabatan, maka jabatan lain akan terpinggir.
-
Iman, kembalilah kepadaku, hadirmu seketika cuma.
Aku terlalu merinduimu....
-
Jadilah umpama pelita yang menyala di tengah malam yang gelap gelita. Memandu manusia kepada hidayah yang menerangkannya. Bergiat cergaslah demi agamamu dan janganlah bermalas-malas. Berusahalah utk menggerakkan orang yang berdiam diri agar sama-sama melangkah dan terus melangkah. Allah always be there for us!
-
Sudahkan anda membaca buku hari ini? Lengkapi dengan membaca Al-Quran. Firman Allah:
-
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Surah AL 'ALAQ (96) 1-5
-
p/s: ana ada masukkan 1 dokumen dan 1 rakaman iklan untuk sahabat2 dan pengunjung semua ambil manfaat daripadanya dekat ruangan BOX di bawah blog ana ni. Antum boleh download terus dari situ. Insya allah, kalau ada maklumat2 lain nanti ana akan masukkan lagi. Semoga bermanfaat buat semua. Wassalam.

USRATI

Berdiri di belakang: zaujah ana (Aminorah), puteri sulung ana (Hanisah) dan ana.
Barisan hadapan: Hasbullah (ke3), Haslinda (ke2), Hj. Said (abah ana), Mohd. Iqbal (ke6), Hjh. Fatimah (mak ana), Nursafura (ke4) dan Mohd. Isa (ke5)

Assalamualaikum sahabat2 dan para pengunjung semua,

Bagai ada sesuatu yang belum lengkap rasanya bila beberapa hari ana tak masukkan entri di blog ini. Setelah difikirkan, ana rasa ada baiknya jika ana masukkan satu entri berkenaan keluarga ana.

Seperti yang ana sertakan di atas, itulah ahli keluarga ana. Gambar tu dah masuk dengan zaujah ana dan puteri sulung ana. Yang tiada dalam gambar ialah puteri kedua ana, suami adik kedua ana dan putera pertama mereka. Insya allah, kalau ada yang lengkap nanti ana masukkan.

Berbalik kepada keluarga ana. Ayah ana (ana panggil abah je), Hj. Md Said b. Alwi seorang pesara RISDA. Sekarang ni mengusahakan ladang sendiri. Mak ana, Hjh. Fatimah bt. Yakub suri rumah sepenuh masa.

Ana anak yang sulung. Adik beradik kedua, Haslinda namanya, sekarang bertugas sebagai doktor di salah sebuah pusat kesihatan di Kuantan. Sebelum ini belajar di SMKA Pedas sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UNIMAS.

Yang ketiga, Hasbullah. Tamat pendidikan hingga SPM tetapi berperanan besar sebagai pembantu abah dan mak ana di rumah. Kalau ada apa2 masalah melibatkan apa juga perkara, kami tak segan mintak tolong dengan dia.

Yang keempat, Nursafura. Tamat tingkatan 5 di SMA Dato' Hj. Tan Ahmad, Jelebu sebelum menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi UIA, Petaling Jaya Kuala Pilah. Sekarang menuntut di IUAM dalam jurusan Ekonomi.

Yang kelima, Mohd. Isa. Walaupun adik beradik kelima tapi dia yang paling besar. Baru tamat SPM di SMKA Pedas, baru selesai PLKN (tapi tak turun jugak beratnya) dan sedang memohon melanjutkan pelajaran. Buat masa ni dia jadi 'penunggu' di rumah.

Yang terakhir, Mohd. Iqbal. Sekarang belajar di SMKA Pedas dalam tingkatan 2.

Begitulah serba sedikit tentang ahli keluarga ana. Insya allah, ana akan tambahkan lagi bila ada gambar terbaru. Sekian untuk kali ini.

Wassalam.