Pray 4 Misr

Pray 4 Misr

SOLAT DI MANA?

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

SUCIKAN HATIMU

Al-Mumtaz Johan BNM Musim ke 4, 2010

Al-Mumtaz Naib Johan FNK 2009

Al-Mumtaz: Tempat Ke-3 Ihtifal KAFA Kebangsaan 2013

Wednesday, August 27, 2014

IK Daerah Jempol 2014: Najmul Mumtaz & Najmul Mumtazah Kembali Berjuang



Assalamualaikum...

Segala puji hanya selayaknya kepada Allah, Penguasa Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, sahabat2, dan seluruh pendukung agama Allah hingga Hari Kiamat.

Ana doakan antum semua dipelihara Allah setiap masa, dikurniakan kesihatan dan keberkatan umur sepanjang masa.

Ihtifal Semaian Wahyu (KAFA) Peringkat Daerah Jempol telah melabuhkan tirainya pada 23.08.14 yang lalu. Ihtifal dijalankan di SK Serting Hilir Kompleks. Pada Ihtifal ini SK Tunku Muda Serting (SKTMS), seperti juga tahun lepas menghantar wakil dan menyertai sebahagian besar acara yang dipertandingkan.

Jika tahun lepas SKTMS menyertai semua acara, tahun ini hanya acara Kalam Jamaie, khat jawi dan syarahan sahaja berjalan tanpa penyertaan SKTMS. Daripada semua acara yang disertai, SKTMS telah berjaya merangkul Johan dalam acara Nasyid (L), Nasyid (P) dan Dikir Barat. 

Uniknya Ihtifal pada tahun ini, jarak masa antara Peringkat Daerah dan Peringkat Negeri hanya berselang satu minggu sahaja. Kini, tempoh ke Peringkat Negeri hanya berbaki dua hari sahaja. Usaha dan latihan dilakukan sebaik mungkin, mudah mudahan beroleh natijah yang baik.

Pihak pengurusan dan kejurulatihan Najmul Mumtaz dan Najmul Mumtazah mengharapkan agar semua pihak mendoakan kejayaan kami, diberi kemudahan dalam segala urusan dan seterusnya dianugerahkan kejayaan yang cemerlang.

Sekian buat waktu ini. Nantikan entri akan datang berkaitan keputusan Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 30.08.2014 hujung minggu ini.

Wassalam.




Tuesday, August 26, 2014

FNK NS: Langkah Berakhir Di Tempat Kedua


Assalamualaikum sahabat2 semua...

Ana doakan antum semua sentiasa diberkati Allah.

Hampir 5 bulan selepas entri terakhir ana berkenaan kemenangan Najmul Mumtaz di FN Peringkat Daerah Jempol. Bukan sahaja FN Peringkat Negeri, malah FN Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Seremban juga telah lama berlalu. Kini barulah berkesempatan untuk ana update entri terbaru di blog ini. Itupun kerana langkah Najmul Mumtaz di Ihtifal KAFA telah bermula. (akan ana ceritakan dalam entri berasingan nanti).

Berbalik kepada isu Festival Nasyid Peringkat NS. Dalam festival ini, Najmul Mumtaz hanya berjaya menduduki tempat ke-2. Walaubagaimanapun, pencapaian ini boleh dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan pencapaian Al-Mumtaz pada 2013 di mana mereka hanya berjaya mendapat tempat ke-3. Meskipun begitu, Al-Mumtaz berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan dalam Ihtifal KAFA pada tahun tersebut dan mendapat tempat ke-3 daripada. Alhamdulillah...

Ana mewakili Al-Mumtaz ingin mengambil kesempatan untuk mengucpkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehinggalah Najmul Mumtaz sampai ke peringkat ini. Jasa dan bantuan antum, hanya Allah yang dapat membalasnya.

Kini, Najmul Mumtaz dalam usaha mempersiapkan diri mewakili daerah Jempol ke Ihtifal KAFA Peringkat NS. Kami mengharapkan doa dan sokongan berterusan daripada antum semua.

Sehingga bertemu lagi dalam entri yang akan datang.

Wassalam.


Friday, March 28, 2014

FND Jempol: Langkah Najmul Mumtaz (NM) Bermula



Assalamualaikum...

2 minggu berlalu selepas Festival Nasyid Daerah Jempol, di hujung Cuti Pertengahan Semester Pertama ini, barulah dapat ana coretkan sesuatu berkenaan FND pada kali ini.

Sememangnya ana akui, blog ini amat jarang ana kemaskini rentetan kekangan tugas hakiki dan tugas2 sampingan seharian. Walaubagaimanapun, inilah satu2nya asbab yang amat kuat untuk ana kembali menulis dan mengemaskini blog ini. Kalau tidak, rasanya dah lama blog ini terkubur.

Sedikit yang dapat ana kongsikan berkenaan pasukan ini dan persediaan mereka menuju FND pada kali ini.

1. Dari al-Mumtaz kepada Najmul Mumtaz (NM)
Setelah berbincang dengan jurulatih (Pn. Nazariah), kami sepakat untuk memberikan nafas baru kepada nama pasukan ini. Setelah hampir 8 tahun bertahan dengan nama al-Mumtaz, kini pasukan ini kembali pada tahun 2014 dengan nama Najmul Mumtaz. Ini dilakukan bagi mengenang jasa seorang bekas ahli al-Mumtaz (Najmi) yang saban tahun membantu al-Mumtaz dari aspek penciptaan lagu dan kejurulatihan. Kini, beliau baru sahaja tamat Tingkatan 5. Kesempatan ini, kami ambil untuk mendapatkan khidmat beliau.

2. Semuanya ahli BARU
Untuk tahun ini, semua ahli pasukan NM adalah individu yang baru sahaja dipilih. Ini bermakna, segalanya perlu bermula dari asas baik dari segi suara mahupun perkusi. Sungguhpun begitu, dengan adanya Najmi, ana berasa yakin dengan kemampuan beliau membimbing mereka. Hasilnya alhamdulillah, latihan yang beliau jalankan setakat ini mencukupi untuk meletakkan NM sebagai Juara bagi Daerah Jempol.

3. Lirik dan lagu
Seperti biasa, NM bermula dengan penghasilan lirik. Sememangnya kami amat beruntung dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada Hj. Shaharudin. Beliau saban tahun bersama2 team pengurusan dan kejurulatihan untuk menghasilkan lirik yang baik. Dari segi lagu, Najmi adalah individu yang tak perlu dipertikaikan kemampuannya. Pengalaman mewakili NS sejak bersama kami di SKTMS sehinggalah beliau menyambung pelajaran di SBPI Jempol, amat2 membantu. 

Demikian sedikit perkongsian ana berkenaan NM di FND Jempol pada kali ini. Insya Allah, Peringkat Negeri akan diadakan pada bulan Jun di SMK Jelai, Kuala Pilah. Bagi NM, mereka dalam mood berehat sekarang. Buka sekolah nanti, latihan bakal diteruskan dengan lebih kerap dan intensif. Ana mewakili team pengurusan dan kejurulatihan NM berharap ahli2 NM akan bersedia dan memanfaatkan cuti ini untuk memperbaiki gaya pergerakan, suara dan harmoni yang telah diajar sejak sebulan yang lepas. Ini kerana masih terdapat beberapa aspek yang perlu ditambahbaik samada dari segi rentak perkusi mahupun kualiti suara bagi membawa cabaran di Peringkat Negeri nanti.

Ana ambil kesempatan ini untuk ucapakan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu NM mempersiapkan diri menghadapi FND Jempol pada kali ini. Antaranya ialah Cikgu Nazariah, Hj. Shaharudin, Najmi, Guru Besar Cemerlang SKTMS, warga SKTMS, ibu bapa NM seterusnya semua pihak yang membantu dan mendoakan kejayaan NM. Ana mohon sokongan dan doa anda berterusan hingga NM berjaya di peringkat tertinggi nanti.

Sekian buat waktu ini. Ana upload sekali gambar NM bersama juara bagi kategori Sekolah Menengah yang akan bersama2 mewakili daerah Jempol dalam FNN nanti. Buat tahun ini, meskipun Najmi tidak lagi bersama pasukan SBPI Jempol, beliau tetap dipanggil untuk membantu persediaan mereka.

Wassalam.

Friday, November 15, 2013

Wednesday, November 13, 2013

Tuesday, November 12, 2013

Travellog IKK 13 [101113]: Kenangan Terindah



Assalamualaikum semua...

Mungkin ada yang ternanti2kan entri terakhir Travellog IKK 13 kali ini. Alhamdulillah, 3 hari 2 malam berada di sana dirasakan terlalu singkat. Almaklum la, dengan jadual yang penuh dan debaran menantikan keputusan Ihtifal membuatkan segalanya berlalu dengan pantas.

Dua catatan/entri yang ana tulis sebelum ini ana hasilkan di UUM. Malangnya, entri ketiga ini gagal ana sudahkan mengikut masanya. Pulang ke NS, tiba di SKTMS jam 4.30 pagi hari Isnin. Ana sendiri mohon lewat ke sekolah hari tu daripada PK 1. Sebelah petang ke Melaka pula bagi memenuhi jemputan murid2 tahun 6. Mereka buat jamuan makan di Muara Sungai Duyong, Melaka.

Oklah, bercerita tentang hari terakhir team nasyid SKTMS ke Ihtifal KAFA Kebangsaan 2013. Hari tersebut bermula awal. Begitupun, masing2 tak terjaga untuk Subuh berjamaah awal waktu pagi tu. Jam 6.30 pagi baru ke masjid untuk solat Subuh berjamaah bersama. Kami diminta bersedia seawal jam 7.00 pagi untuk bersarapan dan terus masuk ke Dewan Utama untuk Majlis Perasmian Penutup. Walaubagaimanapun, salah satu bilik al-Mumtaz kehilangan kunci pada malam sebelumya. Jadi, mereka bertiga menumpang di 3 bilik lain. Selepas Subuh, mereka cuba cari kunci dalam bas tapi bas masih berkunci. Hampir jam 7 pagi barulah bas dibuka dan kunci berjaya dijumpai. Pada masa yang sama sebahagian peserta sudahpun turun dari bilik bersama barangan kerana selepas Majlis Perasmian Penutup, kontonjen NS akan terus bergerak keluar dari UUM.


Meskipun bertolak agak lewat dari penginapan ke Dewan Utama, majlis masih belum bermula. Kami mengambil sarapan pagi terlebih dahulu sebelum terus masuk ke Dewan Utama. Agak lama juga menunggu sebelum Majlis Perasmian Penutup dimulakan. Majlis yang sepatutnya dihadiri oleh MB Kedah berlangsung tanpa beliau. Beliau digantikan oleh seorang Exco lain. 


Debaran berterusan. Ana dan Cikgu Nazariah tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Cukuplah sekadar mendapat tempat dalam Ihtifal kali ini. Kalau keputusannya lebih baik, itu adalah bonus buat kami. Akhirnya keputusan diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim. Al-Mumtaz telah berjaya mendapat tempat ke-3 di belakang pasukan Selangor di tempat ke-2 dan Pahang di tempat pertama. Bagi al-Mumtazah pula, hanya mendapat saguhati. Kategori lain juga NS hanya mendapat saguhati. Al-Mumtaz menerima hadiah berupa wang tunai RM1000, cenderahati dan sijil manakala al-Mumtazah pula membawa pulang wang tunai RM500, cenderahati dan sijil.

Alhamdulillah, sekurang2 nya target ana dan Cikgu Nazariah tercapai. Begitu juga dengan target JHEAINS. Begitupun, masih ada ruang untuk penambahbaikan tetapi sayangnya ini adalah penyertaan terakhir al-Mumtaz (bagi batch ini) kerana mereka sudahpun berada di tahun 6. Ini bermakna, tahun hadapan al-Mumtaz akan kembali dengan muka2 baru. Insya Allah, kalau tak silap ana murid tahun 3 (tahun depan tahun 4) sudahpun disenarai pendekkan untuk diserap masuk ke dalam pasukan al-Mumtaz bagi tahun hadapan.



 

Usai majlis Perasmian Penutup, kami semua menikmati jamuan makan tengah hari, kemudian terus menaiki bas untuk ke Padang Besar, Perlis. Aktiviti shopping berakhir jam 4.30 petang, seterusnya dari Padang Besar kami terus pulang ke NS.


Alhamdulillah, selain berpeluang mencari pengalaman di IKK pada kali ini, ana juga berkesempatan bertemu dengan sahabat2 yang turut terlibat samada sebagai urusetia, jurulatih mahupun guru pengiring seperti ana. Selain rakan2 jurulatih yang biasa ana temui di Festival Nasyid seperti Akhi Najmi dari Terengganu, kali ini ana ditakdirkan bertemu dengan sahabat seU dengan ana di USIM (dulunya KUIM) yang sejak meninggalkan USIM tidak pernah bersua muka hampir 10 tahun. Pertama, Akhi Bahran yang kini mengajar di Sarawak dan Akhi Tarmizi yang kini berkhidmat dengan JAKIM. Moga tautan ukhuwah ini diredhai dan diberkati Allah.



Sebelum ana mengakhiri entri pada kali ini, tidak lengkap rasanya jika ana tidak rakamkan ucapan terima kasih kepada pihak2 yang sama2 membantu ke arah kejayaan yang dikecapi pada kali ini. Dari segi sokongan moral, ingin ana ucapkan setinggi penghargaan kepada:
1. Guru Besar, staf & seluruh warga SKTMS (termasuk Cikgu Nazariah)
2. YDP PIBG, En. Sabar
3. Us. Fauzar, PPDJJ
4. Ustazah Farihan & team JHEAINS
5. Akhi Khalilullah PAID (syukran bagi ana guna WIFI n bantu ana uruskan al-Mumtaz)
6. Ibu bapa al-Mumtaz dan Al-Mumtazah
7. Ahli keluarga (Udo, Najmi, zaujah, anak2, mak n abah)

Dari segi bantuan mahupun sumbangan kewangan, perlu juga ana ucapkan jutaan terima kasih kepada:
1. Dato' Hj. Salim
2. Hj. Shaharuddin
3. Hj. Zamri
4. Ukhti Farha
5. Pertubuhan Kebajikan Ar-Raudhah Jempol NS
6. Bank Rakyat Bahau
7. Hj. Wahab TAKAFUL IKHLAS
8. Ketua Kampung Bkt. Laka
9. KAP SKTMS
10. PIBG SKTMS
11. Abg. Madi Petronas
12. Helmizah Trading
13. Hj. Said
14. Kak Anum
15. Penjaga al-Mumtaz & al-Mumtazah

Mungkin terdapat penyumbang yang ana tak sempat sebutkan di sini. Walaubagaimanapun, ana doakan antum semua dimurahkan rezeki dan dikurniakan keberkatan umur oleh Allah Taala.

Terdetik juga di hati ana untuk cuba mencari dana bagi mewujudkan sebuah studio latihan di SKTMS. Alhamdulillah, Guru Besar menyokong usaha tersebut. Insya Allah, dalam masa terdekat ana akan cuba siapkan kertas kerja bagi tujuan tersebut. Siap kertas kerja, bolehlah usaha cari peruntukan pula. Berdasarkan trek rekod al-Mumtaz dan kesungguhan jurulatih, ana rasa wajar untuk diwujudkan studio latihan tersebut. Ini bagi meningkatkan kualiti pasukan nasyid yang bakal dibentuk samada dari segi suara mahupun persembahan. Disamping itu, wujudnya sebuah studio latihan juga akan membantu mengurangkan gangguan kepada PDP semasa latihan dijalankan nanti.

Doakan usaha ini membuahkan hasil. Sekian saja Travellog IKK 13 buat kali ini. Bagi entri travellog IKK 13, ini adalah entri penutup dan terakhir. Sebanyak 3 entri ana hasilkan sepanjang IKK 13 ini. Alhamdulillah, terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang membantu ana mahupun team nasyid SKTMS.

Jumpa lagi dalam travellog yang lain.

Wassalam.

Saturday, November 9, 2013

Travellog IKK 13 [091113]: Berikan Yang Terbaik!



Assalamualaikum sahabat dan pengunjung semua...

Seperti yang dijanjikan. Hari ini, entri berkenaan Ihtifal KAFA Kebangsaan hari kedua tetap ana hasilkan meskipun mata terasa amat berat lantaran kekenyangan menikmati makan malam dalam Jamuan Negeri di Seri Mentaloon. 


Hari kedua bermula jam 5.00 pagi. Sebelum tidur pada sebelah malamnya, ana dah siap simpan kunci bilik al-Mumtaz. Ana kejutkan mereka awal, sebelum Subuh, mandi dan bersedia untuk Solat Subuh. Sebaik mendengar azan, kami bergerak dari kediaman ke masjid. 

Balik dari masjid, ana minta mereka bersiap. Jam 7.00 pagi kami turun, menaiki bas menuju ke vanue utama untuk bersarapan. Selesai bersarapan, al-Mumtaz mengambil tempat bagi bersedia untuk Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. 


Giliran al-Mumtazah tiba lebih awal dari al-Mumtaz. Kebetulan pula, kategori perempuan telah bermula lebih awal berbanding kategori lelaki. Selepas berdoa, al-Mumtazah yang berada dalam undian ke 7 memulakan persembahan mereka. Alhamdulillah, tidak mengecewakan. Moga ada rezeki mereka dalam percubaan dan penyertaan kali pertama ini.


Bagi al-Mumtaz yang mendapat undian ke 10, mereka dijadualkan membuat persembahan selepas makan t/hari. Selepas rehat yang berhenti pada giliran ke 8, al-Mumtaz pun bersedia. Nak dijadikan cerita, rupa2nya peserta ke-9 tidak menghantar wakil. Maknanya selepas rehat, al-Mumtazlah yang seharusnya membuat persembahan. Begitupun, persembahan mereka tidak mengecewakan. Tinggal lagi saingan kategori lelaki sememangnya hebat2 jika hendak dibandingkan dengan kategori perempuan.


Persembahan berakhir lebih kurang jam 5.00 petang. Setelah semua acara berakhir, seluruh kontinjen NS bergerak pulang ke bilik dengan bas. Sampai di bilik lebih kurang jam 5.30 petang. Kami perlu bersiap dan kembali berkumpul dalam bas di vanue utama jam 6.00 petang. Ini kerana semua bas akan berkonvoi dan diiringi oleh 'rider' daripada Polis Trafik bagi melancarkan perjalanan ke Kediaman Menteri Besar di Bandar Alor Setar. Pada malam ini kami akan diraikan oleh MB Kedah dengan jamuan makan malam meskipun MB tidak berada di Malaysia waktu ini.




Usai jamuan lebih kurang jam 10.30 malam, kami kembali ke bas dan berkonvoi kembali ke kampus UUM dengan diiringi 'rider' oleh Polis Trafik tadi. Sampai ke UUM lebih kurang jam 11.15 malam, al-Mumtaz terlebih dahulu menuju ke masjid bagi bersolat. Selesai solat, kami kembali ke bilik. Pagi esok, awal2 pagi lagi kami perlu berkemas dan 'check out' dari bilik. Ini kerana, selepas selesai majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah kontinjen NS akan terus bergerak pulang.

Ana berharap agar antum doakan yang terbaik buat peserta dari NS, moga ada rezeki kami kali ini. Yang pasti, setiap peserta telah memberikan yang terbaik dalam cabaran dan pertandingan yang mereka lalui semalam.

Insya Allah, ana akan kembali dengan entri terakhir malam esok. Itupun jika berkesempatan kerana kami dijangka sampai ke Seremban lebih kurang jam 2 pagi, kemudian bertukar bas untuk ke Bahau. Paling awal kami mungkin sampai ke Bahau jam 3.30 pagi. Jika ana tak berkesempatan menulis malam esok, ana akan update dan akhiri travellog ini dengan entri terakhir pada hari Isnin. Insya Allah.

Sekian buat waktu ini.

Wassalam.