Pray 4 Misr

Pray 4 Misr

SOLAT DI MANA?

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

SUCIKAN HATIMU

Al-Mumtaz Johan BNM Musim ke 4, 2010

Al-Mumtaz Naib Johan FNK 2009

Al-Mumtaz: Tempat Ke-3 Ihtifal KAFA Kebangsaan 2013

Tuesday, November 30, 2010

Al-Mumtaz: Johan BNM Musim ke 4, 2010 Bhg 2




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Entri ini adalah sambungan daripada entri yang sebelum ini. Insya Allah, akan ana kongsikan pengalaman team Al-Mumtaz sepanjang berada di Melaka. Semalam kami baru sahaja selesai proses pengagihan hadiah dan sijil. Insya Allah, esok kami akan ke Melaka semula bagi meraikan kemenangan Al-Mumtaz. Cadangnya mahu ke Melaka Wonderland. Sengaja kami pilih hari Khamis kerana hujung minggu masing2 punya komitmen lain dengan kenduri dan lain2. Tambahan pula, ahli termuda Al-Mumtaz, Mohd. Afiq hendak berkhatan minggu depan. Bercadang juga kami mahu ke Studio Hijjaz Record kerana baru2 ini mereka membuka peluang kepada mana2 kumpulan nasyid untuk hadir dan jalani ujibakat. Sememangnya Hijjaz Record sedang mencari kumpulan baru untuk diketengahkan. Walaupun mereka mahukan kumpulan dari IPT, mendengar Al-Mumtaz baru sahaja menjuarai BNM membuatkan mereka kembali membuka ruang buat Al-Mumtaz. Bukan kami mahu Al-Mumtaz buat album, hanya mahu beri peluang kepada Al-Mumtaz untuk rasai pengalaman berada dalam studio. Lagipun, wang hadiah masih sedikit berbaki, apa salahnya kalau dimanfaatkan untuk mereka.

Dalam ana kalut mencari2 rakaman persembahan Al-Mumtaz dari penganjur yang pada awalnya memaklumkan rakaman yang mereka buat bukan untuk edaran, belum sempat ana bertanya dengan sahabat2 jurulatih, pengurus pasukan dan guru pengiring dari negeri2 lain, rupa2nya salah seorang ahli keluarga Al-Mumtaz yang hadir menyaksikan ke BNM merakamkan persembahan pada malam tersebut. Meskipun hanya menggunakan telefon bimbit dengan kualiti gambar dan bunyi yang agak kurang memuaskan, hanya ini sahaja yang dapat ana kongsikan buat masa ini. Insya Allah, jika ana berjaya mendapatkan rakaman yang lebih berkualiti, ana akan kongsikan dengan antum nanti.

Jumaat (26.11.2010)

Bercerita tentang pengalaman team Al-Mumtaz sepanjang berada di Melaka. Kami bertolak dari SK Tunku Muda Serting lebih kurang jam 10.30 pagi hari Jumaat setelah ucapan bacaan doa disaksikan oleh ibu bapa Al-Mumtaz dan Guru Besar Cemerlang, Tn. Hj. Othman b. Embong dengan 3 buah kereta. Sebuah NAZA Citra, sebuah NISSAN Latio dan sebuah PROTON Saga (convert Iswara) milik ana. Bukan apa, elok juga ada kenderaan yang 'biasa' ni. Selalunya akan jadi rebutan ahli2 Al-Mumtaz yang 'anti air cond'. Pantang kena air cond, mesti mabuk dan pening. Macam2 kerenah mereka ni.

Kami tiba di SMKA Sultan Muhammad (sekolah ayah ana dulu) lebih kurang jam 2.30 petang. Selesai solat jamak taqdim berjamaah, tepat jam 3.00 petang ana terus bawa Al-Mumtaz ke dorm mereka. Dengan katil double decker untuk hanya 10 orang, pada awalnya buntu juga ana memikirkan tempat tidur untuk ana dan 2 orang dewasa lain (suami Cikgu Nazariah dan ayah Syahid) namun hasil renovasi singkat, dorm tersebut mampu memuatkan kami semua. Cikgu Nazariah dan ibu Syahid pula menginap di dorm guru pengiring wanita. Selesai simpan barang, latihan terus dilakukan. Selesai latihan semua orang berehat termasuk ana memandangkan pendaftaran dan taklimat masih tidak dapat dilakukan kerana masalah teknikal.

Makan malam kami nikmati pada jam 6.30 malam. Belum sempat ana habiskan hidangan ana, local officer (LO) untuk pasukan kami hubungi ana, "Ustaz, taklimat dah mula", katanya. Bergegas ana sudahkan makanan dan terus ke bilik taklimat setelah pesankan kepada Al-Mumtaz agar bergerak ke bilik setelah selesai makan. Bertegas juga ana pesan kepada beberapa ahli Al-Mumtaz yang kurang sihat agar makan ubat mereka di bilik nanti.

Taklimat dihadiri oleh penganjur, wakil pasukan bertanding dan LO. Selesai taklimat, cabutan giliran dilakukan. Dari awal ana diminta oleh jurulatih Al-Mumtaz agar cabut giliran nombor 4 ke atas dan 8 ke bawah. Takdir Allah mengatur segalanya, Al-Mumtaz dapat nombor 12, giliran terakhir. Serba salah ana nak beritahu jurulatih, yakin dengan ketentuan Allah ana beritahu juga pada mereka. Pada awalnya jurulatih dan Al-Mumtaz sendiri terkejut juga. Terus ana pujuk, "Dah Allah beri kita nombor ni, mesti ada hikmahnya", kata ana. Alhamdulillah, surut juga kebimbangan mereka.

Jam 8.00 malam, 4 pasukan terdekat dengan negeri tuan rumah termasuk Al-Mumtaz bergerak ke Panggung Seri, Ayer Keroh untuk sound check dan rakaman menaiki bas yang disediakan oleh penganjur. Sungguhpun ada sedikit kesulitan dalam perjalanan, semuanya dianggap sebagai cabaran dan pengalaman. Al-Mumtaz ambil giliran kedua. Semuanya berjalan lancar. Hanya melihatkan kedudukan pentas dan kedudukan penonton membuatkan team pengurusan dan kejurulatihan mengubah sedikit gaya persembahan Al-Mumtaz untuk pertandingan nanti.

Balik ke asrama, kami singgah terlebih dahulu di surau SMKASM untuk solat jamak ta'khir berjamaah. Malam itu, team Al-Mumtaz tidur awal. Lebih2 lagi yang kurang sihat. "Moga Allah tentukan yang terbaik buat kita esok", kata hati ana.

Al-Mumtaz sewaktu sound check dan rakaman

Sabtu (27.11.2010 )

Al-Mumtaz bangun seawal jam 5.30 pagi, terus gosok gigi dan berwuduk. "Tak mandi pun takpe", kata ana pada mereka. Siap semuanya, kami terus ke surau. Masih gelap rupanya. Solo Al-Mumtaz, Syed Israfil azan pagi itu. Sambil menunggu jemah lain datang, ana ajak Al-Mumtaz bertadarus. Jam 6.00 pagi kami solat Subuh berjamaah. Selesai solat, Al-Mumtaz ke dorm untuk sambung tidur. Ana terus bersiap untuk ke lokasi pertandingan bersama Cikgu Nazariah dan suaminya, Cikgu Wan Shaifuzan bersama Cikgu Lila Nura (suami isteri ni) untuk menyaksikan 8 pasukan lain menjalani sound check dan rakaman. 7.30 pagi Al-Mumtaz ana kejutkan untuk turun bersarapan. Setelah berpesan kepada mereka agar berehat dan berlatih serta minum air madu di dorm, ana menuju ke dewan Panggung Seri. Syukur ada saudara Najmi selaku pengganti kami untuk bersama dengan Al-Mumtaz. Ditambah dengan kemahiran yang beliau miliki, beliau sememangnya layak menjadi mentor kepada Al-Mumtaz.

Berpeluang menyaksikan pasukan2 lain membuat rakaman dan sound check sedikit sebanyak memberikan team pengurusan dan kejurulatihan Al-Mumtaz bayangan saingan pertandingan tersebut. Sememangnya ada sejumlah pasukan yang kami jangka mampu memberi siangan hebat. Begitupun, ana bisikkan kepada Cikgu Nazariah, "Harap2 Al-Mumtaz dapat buat yang terbaik malam ni kak, selebihnya kita berserah pada Allah". Cikgu Nazariah mengangguk penuh berharap agar Al-Mumtaz memanfaatkan peluang terhidang di hadapan mata.

Kami pulang ke dorm jam 12.30 t/hari. Pada awalnya kami mahu bawa balik makanan tengah hari ke sana tetapi kerana ia agak lewat disediakan, kami ambil keputusan untuk pulang menjemput Al-Mumtaz terlebih dahulu sebelum datang semula ke Dewan Panggung Seri pada jam 1.30 petang untuk makan tengah hari seterusnya mengikuti raptai pertandingan.

Tepat jam 1.30 tengah hari, Al-Mumtaz tiba di Dewan Panggung Seri. LO kami, En. Khidir telahpun menunggu bersama makanan tengah hari. Bertuah Al-Mumtaz punya LO prihatin seperti beliau. Tanpa berlengah, ana bersama Al-Mumtaz menghadap hidangan di khemah bahagian belakang dewan. Nizam (pemain congga) yang baru sahaja diuji dengan demam, makan hanya 2 suap, terus ana beri ubat demam. Sebaik Al-Mumtaz selesai menjamu hidangan tengah hari, sambil kami berbual2 pendek sementara menunggu raptai dimulakan, kami didatangi oleh seseorang. "Ustaz ke?", tanya beliau kepada ana. "Saya", jawab ana ringkas. "Dari mana ni?", beliau menyambung soalan. "Dari Negeri Sembilan", jawab Al-Mumtaz. Terus beliau tanya pada ana, "Kenal saya?". Dengan wajah segan ana menjawab, "Minta maaf, tak perasan la bang". Terus beliau benyambung, "Saya la A. Ali, komposer A. Ali". Terkejut juga ana. Serentak terlintas dalam hati ana, "Bukan ke dia salah seorang hakim malam ni?". "Abang hakim malam ni kan?" tanya ana. "Memang la", jawab beliau. "Cuba nyanyi sikit", kata beliau kepada Al-Mumtaz. Ana minta Syed Israfil mulakan dengan chorus. "Duhai ummah, bangkitlah bangunlah...", Syed Israfil lontarkan vokalnya. Terus disambut oleh penyanyi latar lain hingga sempurna satu rangkap. "Boleh tahan ni", kata beliau. "Alhamdulillah", jawab ana. "Kalau ikut saya, memang sedap ni", kata beliau. "Tapi tak tau la kalau ada yang lebih sedap masa pertandingan malam nanti", sambung beliau. "Takpelah, buat baik2 ye malam ni. Jangan bagi malu Negeri Sembilan", kata beliau. "Oklah ustaz, saya nak keluar ni. Nak pergi makan lauk asam pedas", beliau mohon beransur. Serentak Al-Mumtaz bangun dan bersalaman dengan beliau. Sejurus selepas itu, Al-Mumtaz terus bergerak masuk ke dalam dewan.

Raptai selesai mengikut jadual lebih kurang jam 4.30 petang. Salah seorang kru bahagian rakaman video sempat membisikkan kepada ana beberapa perkara tentang kekurangan Al-Mumtaz dalam persembahan mereka ketika raptai. Segalanya ana ambil dan berbincang dengan Cikgu Yusof untuk tindakan. Terima kasih kepada abang tu yang ana sendiri tak tahu namanya. Terima kasih juga kepada sahabat ana Ustaz Anis (pengurus dan jurulatih pasukan Imtiyaz dari Pulau Pinang) kerana pinjamkan perkusi mereka. Perkusi Al-Mumtaz tinggal di asrama kerana kesilapan komunikasi dengan LO. Kemudian, setiap pasukan beransur ke dorm untuk berehat dan bersiap untuk pertandingan malam nanti. Al-Mumtaz pulang ke dorm setelah singgah ke surau untuk solat jamak ta'khir berjamaah. Naik dorm, Al-Mumtaz diperintahkan sekali lagi untuk tidur. Mungkin masing2 letih, Al-Mumtaz tidur tanpa bantah. Jam 6.30 ana kejutkan Al-Mumtaz untuk mandi dan makan malam. Badan Nizam masih panas. Begitupun, ana beri semangat padanya agar bertahan. Selesai mandi, mereka semua bergerak ke dewan makan untuk makan malam. "Nizam makan buah je Ustaz", kata salah seorang ahli Al-Mumtaz. Bimbang sungguh ana. Cikgu Nazariah berulangkali merapati Nizam dan menggosok2kan badannya memberi semangat. Sesudah Nizam mengambil ubatnya dan yang lain2 makan madu, Al-Mumtaz bersama Najmi bergerak turun dan menaiki bas ke Dewan Panggung Seri. Ana dan guru2 lain menaiki kereta bersama perkusi dan kelengkapan persembahan lain.

Tiba di Dewan Panggung Seri, acara telahpun bermula. Tak sempat masing2 mendapatkan buku program, terus duduk di tempat yang telah ditentukan. Pertandingan berjalan sangat cepat. Maklumlah, hanya 5 minit untuk satu kumpulan. Komen juri hanya setiap kali selepas setiap 3 persembahan. Pada awalnya, team Al-Mumtaz bercadang untuk keluar dan bersiap selepas persembahan ke 6. Memandangkan gaya sampin yang agak sukar untuk dipakaikan, kami buat keputusan untuk keluar bersiap selepas komen juri 3 persembahan pertama. Dalam berdebar, masing2 berpeluh menyiapkan Al-Mumtaz. Yang touch up muka, touch up muka. Yang pakaikan sampin, pakaikan sampin. Brooch (betul ke ejaan ana ni) dah siap dipasang ketika menyaksikan 3 persembahan pertama. Al-Mumtaz selesai bersiap ketika persembahan ke 8, terus mereka warming up dan berlatih. Sebaik habis, mereka terus dipanggil ke belakang pentas untuk bersedia. Sempat juga ana bisikkan pada Nizam yang demam, "Tolong bertahan Nizam, 5 minit je", Najmi turut memberikan kata2 semangat padanya.

Al-Mumtaz melangkah membuat persembahan sebaik sahaja pasukan Selangor selesai beraksi. Ana bersama Najmi dan kru pentas bergerak menyusun perkusi. Selesai perkusi diatur, pemain perkusi terus bergerak masuk diikuti oleh penyanyi latar dan solo. Persembahan Al-Mumtaz pun bermula. Alhamdulillah, mereka lakukan yang terbaik malam ini. Team pengurusan dan kejurulatihan Al-Mumtaz amat bangga dengan mereka, selebihnya terserah kepada Allah. Terkejut besar ana dan jurulatih apabila komen juri amat positif. Pujian diberikan kepada Al-Mumtaz. "Ini hikmah dapat undi terakhir", lintas hati ana. "Syukur padaMU ya Allah". Majlis diteruskan dengan persembahan jemputan daripada kumpulan Nur Bayyati dan Mestica & Bro Dakmie. Kemudian, pengumuman pemenang terus dilakukan, dimulai dengan hadiah untuk Solo Terbaik Lelaki. Amat mengejutkan apabila Syed Israfil, solo Al-Mumtaz diumumkan sebagai pemenangnya. Cikgu Nazariah menangis di sebelah ana. Solo Terbaik Perempuan milik solo dari pasukan Johor. Seterusnya bagi hadiah Persembahan Terbaik, Al-Mumtaz diumumkan sebagai pemenangnya. Kali ini semua ahli Al-Mumtaz naik ke pentas bagi menerima hadiah. Ana menemani Cikgu Yusof yang selama ini banyak membantu tetapi tak pernah tampil ke pentas untuk menerima hadiah dalam mana2 pertandingan. Kemuncak pada malam itu ialah pengumuman tempat pertama, kedua dan ketiga. Al-Mumtaz (NS), Darul Rahman (Selangor) dan An Nur (Kedah) diminta bersedia di atas pentas. Kali ini ana ajak sekali seluruh team pengurusan dan kejurulatihan termasukNajmi bersama2 Al-Mumtaz di atas pentas. Diumumkan terlebih dahulu pemenang tempat ketiga yang jatuh kepada pasukan Kedah. Seterusnya diikuti pengumuman tempat pertama terlebih dahulu. Ketika penonton yang hadir ditanya oleh pengacara majlis, "Siapa juara malam ini?", terdengar di hujung telinga ana sebahagian yang hadir menyebut, "Negeri Sembilan!". Berderau juga darah ana. Namun semuanya terjawab apabila pengacara majlis mengumumkan "AL-MUMTAZ!!". "Alhamdulillah", kata ana dalam hati. Akhirnya Al-Mumtaz diumumkan sebagai juara Bintang Nasyid Mu'min Musim ke-4, 2010. Penantian team Al-Mumtaz sejak tahun 2006 bersaing di peringkat kebangsaan akhirnya membuahkan hasil. Segalanya telah ditentukan oleh Allah.

Al-Mumtaz bersama ana pulang ke dorm menaiki bas lebih kurang jam 12.15 malam. Semua hadiah telah penuh dibawa dengan kereta Cikgu Wan Shaifuzan (ayah Syahid, ahli terbaru Al-Mumtaz). Cikgu Nazariah telahpun balik ke Bahau kerana ingin menghadiri konvokesyen anak perempuan beliau keesokannya. Sampai di SMKASM, Al-Mumtaz terus ke surau untuk solat jamak ta'khir berjamaah. Sungguhpun keletihan, ana ambil sedikit masa untuk berikan tazkirah pada mereka terutamanya tentang syukur kepada Allah, berterima kasih kepada pihak2 yang membantu dan berkorban untuk mereka, tidak sombong, dah sentiasa bergantung dengan Allah dalam mengusahakan sesuatu. Ayat yang dah biasa Al-Mumtaz dengar ialah, "Kemenangan dan kekalahan adalah ujian dari Allah. Kemenangan ialah ujian, sejauh mana kita bersyukur. Kekalahan juga ujian, sejauh mana kita bersabar". Moga pesanan ana tersemat dalam hati mereka. Al-Mumtaz bergerak ke dorm hampir jam 1.30 pagi.

Hadiah Al-Mumtaz memenuhi bahagian belakang NAZA Citra Cikgu Wan Shaifuzan

Ahad (28.11.2010)

Pagi itu Al-Mumtaz ke surau agak lewat, jam 6.15 pagi. Ana sendiri tidur jam 4.00 pagi kerana keluar makan bersama ayah Syahid dan ibunya. Maklumlah, masing2 masih belum makan sejak sebelum pertandingan lagi. Solat berjamaah pertama sudahpun selesai. Al-Mumtaz dan ana berjamaah bersama beberapa orang warga SMKASM yang turut terlewat. Selesai solat, masing2 ke dorm dan sambung tidur sebentar. Jam 7.20 pagi ana kejutkan mereka untuk mandi dan bersarapan. Nizam masih demam, makan bihun 2 sudu terus berlari ke luar kerana muntah. Di dorm, ana terus berikan ubat demam pada Nizam. Sungguhpun demam, dia masih bersemangat untuk mengikuti lawatan bersama rakan2 lain. Peserta BNM di bawa ke Planetarium Melaka dan Ayer Keroh. Lawatan berakhir jam 1.00 petang. Selesai makan tengah hari, lebih kurang jam 3.30 petang Al-Mumtaz bergerak pulang ke NS. Pulang membawa kemenangan. Syukur penjaga Fatir sudi menumpangkan ahli2 Al-Mumtaz pulang dari Melaka. Hujan sekali sekala lebat mengiringi kepulangan Al-Mumtaz ke SKTMS. Kami selamat tiba di SKTMS lebih kurang jam 5.30 petang. Sebahagian ahli Al-Mumtaz dijemput oleh ibu bapa masing2, sebahagian pula ana hantar ke rumah masing2.

Al-Mumtaz bergambar kenangan sewaktu lawatan

Sekian coretan ana tentang pengalaman Al-Mumtaz sepanjang BNM di Melaka. Dah panjang sangat rasanya. Nampak gayanya ana terpaksa sambung entri berkenaan penghargaan kepada pihak2 yang terlibat membantu kejayaan Al-Mumtaz dalam entri yang lain. Bersama entri ini ana masukkan rakaman dari telefon bimbit bersembahan Al-Mumtaz sewaktu pertandingan tersebut.

Sekian. Bersambung...

Monday, November 29, 2010

Al-Mumtaz: Johan BNM Musim ke 4, 2010 Bhg 1



Assalamualaikum, salam sejahtera buat semua...

Berkira2 juga ana nak tulis entri tentang kejayaan Al-Mumtaz di BNM 2010 baru2 ni. Bukan kerana tak mahu berkongsi pengalaman tetapi bimbang jika coretan ana tak sebagus laporan akhbar. Lagipun, nak bercerita tentang perjalanan 3 hari 2 malam bukannya mudah. Ditambah pula dengan pelbagai insiden yang berlaku membuatkan ana bimbang kalau2 tulisan ana tak lengkap, jauh sekali sesempurna laporan akhbar. Sehingga saat ana menulis entri ini, berita berkenaan kejayaan Al-Mumtaz masih belum lagi disiarkan dalam mana2 akhbar. "Mungkin esok kot...", kata hati ana.

Terfikir juga ana mahu coretkan perkembangan Al-Mumtaz sepanjang berada di Ayer Keroh dalam bentuk travellog seperti yang ana buat sewaktu Al-Mumtaz bertanding di FNK kebangsaan tahun lepas. Malangnya, capaian internet yang terlalu lemah di asrama tempat kami menginap, kesuntukan masa yang menjadi halangan juga, menggagalkan niat ana. Tambahan pula, tiada broadband yang boleh ana pinjam. Untuk entri kali ini, ana akan ceritakan sedikit sebanyak perjalanan Al-Mumtaz sejak mula menyertai pertandingan nasyid sehinggalah berjaya menjuarai BNM 2010 baru2 ini...

Perjalanan dan perjuangan Al-Mumtaz di peringkat kebangsaan bermula dari tahun 2006 lagi. Dari kedudukan terbawah, team Al-Mumtaz berusaha memperbaiki mutu persembahan tahun demi tahun. Dalam usaha ke arah itu, pelbagai dugaan serta rintangan yang di rasai. Air mata dan keringat saban tahun menjadi peneman. Namun Allah Maha Adil, kesabaran dan pengorbanan team Al-Mumtaz tak sia2. Pencapaian Al-Mumtaz semakin meningkat tahun demi tahun. Sungguhpun mendoninasi festival peringkat negeri sejak 2006, di peringkat kebangsaan kemenangan masih belum menyebelahi Al-Mumtaz. Sehinggalah pada tahun 2009 apabila Al-Mumtaz berjaya menjadi Naib Johan FNK peringkat kebangsaan, ketika itu team Al-Mumtaz mula menyedari bahawa tahun 2010 tak mustahil menjadi milik Al-Mumtaz.

Dalam team Al-Mumtaz memasang azam untuk mencapai kejayaan pada tahun 2010, hampir saja ianya terkubur apabila dimaklumkan bahawa FNK tidak dapat dijalankan kerana kekurangan perbelanjaan. Namun, segalanya kembali segar apabila dijemput menyertai BNM yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi pada bulan April yang lalu. Tanpa berlengah, segala persiapan dibuat. Meskipun 90% ahli Al-Mumtaz akan menduduki UPSR, masa dibahagi dengan sebijaknya. Alhamdulillah, BNM Peringkat Negeri Sembilan menyebelahi Al-Mumtaz.

Selepas kejayaan di peringkat negeri, untuk seketika latihan hanya dibuat hanya sekali seminggu memandangkan UPSR semakin hampir. Kesempatan itu diambil oleh team jurulatih dan pengurus untuk merencana ladual latihan selepas UPSR dan menambahbaik lagu yang akan dibawa di peringkat kebangsaan nanti. Seusai UPSR, latihan dimulakan. Al-Mumtaz mohon agar dikecualikan dari program selepas UPSR untuk menjalani latihan. Dengan bimbingan berterusan daripada Cikgu Yusof dan Cikgu Nazariah, Al-Mumtaz tidak menoleh ke belakang lagi. Meskipun kadangkala terzahir riak kebosanan dan tekanan di wajah ahli2 Al-Mumtaz, pihak pengurusan dan kejurulatihan senantiasa bersama mereka memberikan kata2 semangat dan perangsang agar terus fokus dan memberikan yang terbaik.

Dalam membuat persediaan berbentuk latihan mahupun persembahan di sekolah, Al-Mumtaz sebenarnya ternanti2kan jemputan untuk mengadakan persembahan di mana2 majlis mahupun program luar dari SKTMS. Antara objektifnya ialah untuk memberikan pendedahan kepada Al-Mumtaz berkenaan suasana mengadakan persembahan di majlis2 besar yang dihadiri sejumlah besar orang ramai. Ini dapat melatih mereka untuk membiasakan diri dengan 'crowd' yang ramai dan pentas yang besar. Dalam pada itu, jemputan2 luar juga boleh membantu Al-Mumtaz menjana kewangan untuk menampung perbelanjaan ke perigkat kebangsaan. Walaupun tidak banyak, beberapa jemputan persembahan di beberapa majlis sebelum ke Peringkat Akhir BNM 2010 sudah cukup buat Al-Mumtaz.

Al-Mumtaz mengadakan persembahan di Majlis Penutup Program Kem Bina Juara Daerah Jempol Jelebu

Cabaran lebih getir dirasakan apabila kewangan PIBG agak tidak mengizinkan berbanding tahun2 lepas. Jika kebiasaannya sebahagian besar persediaan Al-Mumtaz ditampung hampir sepenuhnya oleh PIBG, tahun ini sebaliknya. PIBG hanya mampu memberikan saguhati kepada Al-Mumtaz disamping sejumlah lagi untuk membantu menampung persediaan fizikal Al-Mumtaz. Masakan tidak, perbelanjaan persediaan fizikal ke peringkat kebangsaan setiap tahun pasti melebihi RM 2000. Untung Kelas Agama Petang (KAP) dan Kedai Buku SKTMS sudi membantu menyumbang setakat yang perlu.

Al-Mumtaz ketika membeli-belah untuk persediaan ke peringkat akhir

Menjelang Pertandingan Akhir BNM, team Al-Mumtaz giat menjalankan persediaan sebaik mungkin. Saat ini, muncul saudara Najmi (bekas solo Al-Mumtaz, kini belajar di SBPI, Jempol). Peranan yang beliau mainkan sememangnya tidak dapat dinafikan. Dengan kemampuan vokal dan kemahiran harmoni yang baik serta penguasaan memainkan perkusi, beberapa ruang harmoni diperbaiki, lenggok solo juga dipertingkatkan, tidak kurang kemahiran bermain perkusi turut beliau mantapkan. Pendek kata, lagu Nur Al-Quran yang dibawa oleh Al-Mumtaz di peringkat negeri menjadi amat berbeza baik dari segi persembahan, kualiti permainan perkusi, mahupun kemahiran solo dan penyanyi latar mengalunkan harmoni mereka. Segalanya mengambil kira nasihat yang diberikan oleh juri di peringkat negeri, termasuk juga saranan mereka melalui blog Fenomena Nasyid yang kerapkali ana lawati.

Saat2 akhir, beberapa hari sebelum ke Melaka adalah waktu yang paling mendebarkan. Ketika latihan secara intensif dijalankan sejak awal cuti akhir tahun, ditambah dengan cuaca yang kerapkali hujan, perkara yang amat team Al-Mumtaz bimbangkan akhirnya datang juga. Beberapa orang ahli Al-Mumtaz diserang demam, batuk mahupun selsema. Solo Al-Mumtaz, Syed Israfil juga mengalami batuk dan selsema. Berulang alik ana ke klinik mendapatkan bekalan ubat buat mereka. Manakan tidak, pertandingan akhir tak sampai seminggu lagi, hanya doa yang tak putus2 kepada Allah team Al-Mumtaz panjatkan agar segalanya berjalan dengan baik.

Insya Allah, dalam entri seterusnya, ana akan kongsikan pengalaman sepanjang team Al-Mumtaz berada di Melaka termasuk penghargaan buat insan2 hebat yang membantu Al-Mumtaz hingga berjaya mencapai kejayaan seperti hari ini.

Wassalam. bersambung....

Sunday, November 14, 2010

Entri Buat Kelahiran Pertama j-QAF SKTMS


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, penguasa sekalian alam. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, sahabat2 dan hamba Allah yang menuruti jalan Baginda serta penerus perjuangan membela agama Allah di muka bumi ini. Adapun selepasnya,

Assalamualaikum anak2 semua...

Entri ini ditulis kerana merasakan ustaz perlu sedikit sebanyak meninggalkan pesan buat antum semua, lebih2 lagi mengenangkan antum semua bakal meninggalkan SKTMS tak lama lagi. Ustaz harap apabila antum berada di luar nanti, sematkanlah pesanan ustaz ini buat bekalan antum meneruskan hidup selagi dipinjamkan nyawa oleh Allah. Andaikata satu ketika kelak antum tergelincir dari jalan Allah, pulanglah kembali dengan merujuk kepada ustaz mahupun rakan2 pendidik yang lain. Ketahuilah bahawa kami akan sentiasa menerima antum selagi antum memerlukan kami walaupun antum bukan lagi anak didik kami.

Mungkin antum tak sedar, antum membesar sejak berumur 7 tahun di hadapan mata ustaz dan guru2 jQAF lain. Hingga kini antum semua telah pun berumur 12 tahun. Terlalu banyak kenangan yang tak mampu ustaz ceritakan di sini. Hanya beberapa pesanan yang dapat ustaz tinggalkan:

I. Ingat Allah, taati perintahNYA jauhi laranganNYA

Allah pencipta kita, DIA Maha Tahu segala yang baik untuk kita. Disamping penciptaan kita melalui ibu dan bapa kita, Allah telah sediakan panduan buat kita melayari hidup di dunia ini. Ingatlah, mengikuti panduan Allah bermakna kita menempah syurgaNYA, mengingkari panduan Allah hanya menjanjikan azab siksa Allah yang amat pedih di Akhirat nanti. Mencari panduan? Dapatkannya daripada ustaz mahupun ustazah disekeliling antum, membaca juga boleh membantu.

II. Hormati ibu, ayah, guru2 dan orang yang lebih tua

Tanpa ibu dan ayah, antum bukan siapa2. Antum entah di mana. Kalau lahir pun entah anak siapa, entah agama apa, entah di mana. Jadi, syukuri kewujudan mereka. Hargai mereka sementara mereka masih hidup, sentiasa doakan mereka. Satu ketika nanti bila mereka dah tiada, pasti antum akan menyesal. Guru2 adalah insan kedua yang paling rapat dengan antum selepas ibu dan ayah. Mereka adalah sebahagian dari dunia antum sepanjang 6 tahun antum berada di sekolah. Ilmu dari mereka tidak ternilai. Hargailah mereka, doakan mereka tiap kali lepas solat, ucapkanlah salam tiap kali berjumpa di mana2.

III. Menjaga aurat

Antara perkara yang amat ustaz risaukan tentang antum ialah dari hal menjaga aurat. Perkara ini ustaz perhatikan sejak dari antum masih belajar di SKTMS. Menjaga aurat adalah salah satu kewajipan yang Allah tentukan buat hamba2NYA. Jagalah aurat mengikut kehendak Allah, bukan ikut ikutan. Bimbang benar ustaz melihatkan fesyen bertudung zaman sekarang yang amat jauh dari kehendak Allah. Ingatlah, cara berpakaian juga melambangkan hati dan keimanan kita. Hanya Allah yang tahu remuknya hati ustaz setiap kali melihat ada antara antum yang gagal menutup aurat dengan baik.

IV. Memilih kawan

Perkara ini juga perlu diambil berat. Ustaz sedar, dalam umur awal dewasa keinginan berkawan amat tinggi. Ingin ustaz tekankan bahawa memilih kawan biarlah dengan timbangan iman. Kawan yang baik ialah kawan yang bila kita ingat pada dia, dia akan membuatkan kita ingat pada Allah. Dia juga mampu membetulkan kita bila kita buat salah mahupun dosa dan mengingatkan kita akan kewajipan kita kepada Allah. Kawan yang hanya berkawan tanpa menegur atau menasihati kita bila kita buat dosa adalah kawan yang tidak baik dan hanya akan lebih menjauhkan kita dari mengingati Allah.

V. Sentiasa bersungguh2 mencari ilmu

Menuntut ilmu adalah satu kewajipan buat kita semua sejak lahir hinggalah menghembuskan nafas yang terakhir. Pesanan ustaz, tuntutlah ilmu dengan bersungguh2. Ini kerana pahala menuntut ilmu amat besar di sisi Allah selagi antum ikhlas dan bersungguh2 melakukannya. Carilah ilmu sebanyak mungkin. Ustaz doakan kejayaan antum.

VI. Membaca Al-Quran setiap hari

Al-Quran mempunyai peranan yang amat besar dalam hidup setiap orang Islam, begitu juga antum. Bacalah Al-Quran setiap hari, manfaatkanlah ia sebagai penawar penyakit mahupun dalam mencari ketenangan hati. Jika berkesempatan, bacalah buku2 tafsir Al-Quran agar antum akan lebih perintah dan larangan Allah.

Kalau nak diikutkan, masih terlalu banyak yang ingin ustaz coretkan di sini. Begitupun, ustaz harap kita akan terus berhubung terutamanya melalui FB mahupun blog ini. Ustaz akan terus doakan antum agar berjaya dalam hidup.

Wassalam.