Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...
Entri ini adalah sambungan daripada entri yang sebelum ini. Insya Allah, akan ana kongsikan pengalaman team Al-Mumtaz sepanjang berada di Melaka. Semalam kami baru sahaja selesai proses pengagihan hadiah dan sijil. Insya Allah, esok kami akan ke Melaka semula bagi meraikan kemenangan Al-Mumtaz. Cadangnya mahu ke Melaka Wonderland. Sengaja kami pilih hari Khamis kerana hujung minggu masing2 punya komitmen lain dengan kenduri dan lain2. Tambahan pula, ahli termuda Al-Mumtaz, Mohd. Afiq hendak berkhatan minggu depan. Bercadang juga kami mahu ke Studio Hijjaz Record kerana baru2 ini mereka membuka peluang kepada mana2 kumpulan nasyid untuk hadir dan jalani ujibakat. Sememangnya Hijjaz Record sedang mencari kumpulan baru untuk diketengahkan. Walaupun mereka mahukan kumpulan dari IPT, mendengar Al-Mumtaz baru sahaja menjuarai BNM membuatkan mereka kembali membuka ruang buat Al-Mumtaz. Bukan kami mahu Al-Mumtaz buat album, hanya mahu beri peluang kepada Al-Mumtaz untuk rasai pengalaman berada dalam studio. Lagipun, wang hadiah masih sedikit berbaki, apa salahnya kalau dimanfaatkan untuk mereka.
Dalam ana kalut mencari2 rakaman persembahan Al-Mumtaz dari penganjur yang pada awalnya memaklumkan rakaman yang mereka buat bukan untuk edaran, belum sempat ana bertanya dengan sahabat2 jurulatih, pengurus pasukan dan guru pengiring dari negeri2 lain, rupa2nya salah seorang ahli keluarga Al-Mumtaz yang hadir menyaksikan ke BNM merakamkan persembahan pada malam tersebut. Meskipun hanya menggunakan telefon bimbit dengan kualiti gambar dan bunyi yang agak kurang memuaskan, hanya ini sahaja yang dapat ana kongsikan buat masa ini. Insya Allah, jika ana berjaya mendapatkan rakaman yang lebih berkualiti, ana akan kongsikan dengan antum nanti.
Jumaat (26.11.2010)
Bercerita tentang pengalaman team Al-Mumtaz sepanjang berada di Melaka. Kami bertolak dari SK Tunku Muda Serting lebih kurang jam 10.30 pagi hari Jumaat setelah ucapan bacaan doa disaksikan oleh ibu bapa Al-Mumtaz dan Guru Besar Cemerlang, Tn. Hj. Othman b. Embong dengan 3 buah kereta. Sebuah NAZA Citra, sebuah NISSAN Latio dan sebuah PROTON Saga (convert Iswara) milik ana. Bukan apa, elok juga ada kenderaan yang 'biasa' ni. Selalunya akan jadi rebutan ahli2 Al-Mumtaz yang 'anti air cond'. Pantang kena air cond, mesti mabuk dan pening. Macam2 kerenah mereka ni.
Kami tiba di SMKA Sultan Muhammad (sekolah ayah ana dulu) lebih kurang jam 2.30 petang. Selesai solat jamak taqdim berjamaah, tepat jam 3.00 petang ana terus bawa Al-Mumtaz ke dorm mereka. Dengan katil double decker untuk hanya 10 orang, pada awalnya buntu juga ana memikirkan tempat tidur untuk ana dan 2 orang dewasa lain (suami Cikgu Nazariah dan ayah Syahid) namun hasil renovasi singkat, dorm tersebut mampu memuatkan kami semua. Cikgu Nazariah dan ibu Syahid pula menginap di dorm guru pengiring wanita. Selesai simpan barang, latihan terus dilakukan. Selesai latihan semua orang berehat termasuk ana memandangkan pendaftaran dan taklimat masih tidak dapat dilakukan kerana masalah teknikal.
Makan malam kami nikmati pada jam 6.30 malam. Belum sempat ana habiskan hidangan ana, local officer (LO) untuk pasukan kami hubungi ana, "Ustaz, taklimat dah mula", katanya. Bergegas ana sudahkan makanan dan terus ke bilik taklimat setelah pesankan kepada Al-Mumtaz agar bergerak ke bilik setelah selesai makan. Bertegas juga ana pesan kepada beberapa ahli Al-Mumtaz yang kurang sihat agar makan ubat mereka di bilik nanti.
Taklimat dihadiri oleh penganjur, wakil pasukan bertanding dan LO. Selesai taklimat, cabutan giliran dilakukan. Dari awal ana diminta oleh jurulatih Al-Mumtaz agar cabut giliran nombor 4 ke atas dan 8 ke bawah. Takdir Allah mengatur segalanya, Al-Mumtaz dapat nombor 12, giliran terakhir. Serba salah ana nak beritahu jurulatih, yakin dengan ketentuan Allah ana beritahu juga pada mereka. Pada awalnya jurulatih dan Al-Mumtaz sendiri terkejut juga. Terus ana pujuk, "Dah Allah beri kita nombor ni, mesti ada hikmahnya", kata ana. Alhamdulillah, surut juga kebimbangan mereka.
Jam 8.00 malam, 4 pasukan terdekat dengan negeri tuan rumah termasuk Al-Mumtaz bergerak ke Panggung Seri, Ayer Keroh untuk sound check dan rakaman menaiki bas yang disediakan oleh penganjur. Sungguhpun ada sedikit kesulitan dalam perjalanan, semuanya dianggap sebagai cabaran dan pengalaman. Al-Mumtaz ambil giliran kedua. Semuanya berjalan lancar. Hanya melihatkan kedudukan pentas dan kedudukan penonton membuatkan team pengurusan dan kejurulatihan mengubah sedikit gaya persembahan Al-Mumtaz untuk pertandingan nanti.
Balik ke asrama, kami singgah terlebih dahulu di surau SMKASM untuk solat jamak ta'khir berjamaah. Malam itu, team Al-Mumtaz tidur awal. Lebih2 lagi yang kurang sihat. "Moga Allah tentukan yang terbaik buat kita esok", kata hati ana.
Al-Mumtaz sewaktu sound check dan rakaman
Sabtu (27.11.2010 )
Al-Mumtaz bangun seawal jam 5.30 pagi, terus gosok gigi dan berwuduk. "Tak mandi pun takpe", kata ana pada mereka. Siap semuanya, kami terus ke surau. Masih gelap rupanya. Solo Al-Mumtaz, Syed Israfil azan pagi itu. Sambil menunggu jemah lain datang, ana ajak Al-Mumtaz bertadarus. Jam 6.00 pagi kami solat Subuh berjamaah. Selesai solat, Al-Mumtaz ke dorm untuk sambung tidur. Ana terus bersiap untuk ke lokasi pertandingan bersama Cikgu Nazariah dan suaminya, Cikgu Wan Shaifuzan bersama Cikgu Lila Nura (suami isteri ni) untuk menyaksikan 8 pasukan lain menjalani sound check dan rakaman. 7.30 pagi Al-Mumtaz ana kejutkan untuk turun bersarapan. Setelah berpesan kepada mereka agar berehat dan berlatih serta minum air madu di dorm, ana menuju ke dewan Panggung Seri. Syukur ada saudara Najmi selaku pengganti kami untuk bersama dengan Al-Mumtaz. Ditambah dengan kemahiran yang beliau miliki, beliau sememangnya layak menjadi mentor kepada Al-Mumtaz.
Berpeluang menyaksikan pasukan2 lain membuat rakaman dan sound check sedikit sebanyak memberikan team pengurusan dan kejurulatihan Al-Mumtaz bayangan saingan pertandingan tersebut. Sememangnya ada sejumlah pasukan yang kami jangka mampu memberi siangan hebat. Begitupun, ana bisikkan kepada Cikgu Nazariah, "Harap2 Al-Mumtaz dapat buat yang terbaik malam ni kak, selebihnya kita berserah pada Allah". Cikgu Nazariah mengangguk penuh berharap agar Al-Mumtaz memanfaatkan peluang terhidang di hadapan mata.
Kami pulang ke dorm jam 12.30 t/hari. Pada awalnya kami mahu bawa balik makanan tengah hari ke sana tetapi kerana ia agak lewat disediakan, kami ambil keputusan untuk pulang menjemput Al-Mumtaz terlebih dahulu sebelum datang semula ke Dewan Panggung Seri pada jam 1.30 petang untuk makan tengah hari seterusnya mengikuti raptai pertandingan.
Tepat jam 1.30 tengah hari, Al-Mumtaz tiba di Dewan Panggung Seri. LO kami, En. Khidir telahpun menunggu bersama makanan tengah hari. Bertuah Al-Mumtaz punya LO prihatin seperti beliau. Tanpa berlengah, ana bersama Al-Mumtaz menghadap hidangan di khemah bahagian belakang dewan. Nizam (pemain congga) yang baru sahaja diuji dengan demam, makan hanya 2 suap, terus ana beri ubat demam. Sebaik Al-Mumtaz selesai menjamu hidangan tengah hari, sambil kami berbual2 pendek sementara menunggu raptai dimulakan, kami didatangi oleh seseorang. "Ustaz ke?", tanya beliau kepada ana. "Saya", jawab ana ringkas. "Dari mana ni?", beliau menyambung soalan. "Dari Negeri Sembilan", jawab Al-Mumtaz. Terus beliau tanya pada ana, "Kenal saya?". Dengan wajah segan ana menjawab, "Minta maaf, tak perasan la bang". Terus beliau benyambung, "Saya la A. Ali, komposer A. Ali". Terkejut juga ana. Serentak terlintas dalam hati ana, "Bukan ke dia salah seorang hakim malam ni?". "Abang hakim malam ni kan?" tanya ana. "Memang la", jawab beliau. "Cuba nyanyi sikit", kata beliau kepada Al-Mumtaz. Ana minta Syed Israfil mulakan dengan chorus. "Duhai ummah, bangkitlah bangunlah...", Syed Israfil lontarkan vokalnya. Terus disambut oleh penyanyi latar lain hingga sempurna satu rangkap. "Boleh tahan ni", kata beliau. "Alhamdulillah", jawab ana. "Kalau ikut saya, memang sedap ni", kata beliau. "Tapi tak tau la kalau ada yang lebih sedap masa pertandingan malam nanti", sambung beliau. "Takpelah, buat baik2 ye malam ni. Jangan bagi malu Negeri Sembilan", kata beliau. "Oklah ustaz, saya nak keluar ni. Nak pergi makan lauk asam pedas", beliau mohon beransur. Serentak Al-Mumtaz bangun dan bersalaman dengan beliau. Sejurus selepas itu, Al-Mumtaz terus bergerak masuk ke dalam dewan.
Raptai selesai mengikut jadual lebih kurang jam 4.30 petang. Salah seorang kru bahagian rakaman video sempat membisikkan kepada ana beberapa perkara tentang kekurangan Al-Mumtaz dalam persembahan mereka ketika raptai. Segalanya ana ambil dan berbincang dengan Cikgu Yusof untuk tindakan. Terima kasih kepada abang tu yang ana sendiri tak tahu namanya. Terima kasih juga kepada sahabat ana Ustaz Anis (pengurus dan jurulatih pasukan Imtiyaz dari Pulau Pinang) kerana pinjamkan perkusi mereka. Perkusi Al-Mumtaz tinggal di asrama kerana kesilapan komunikasi dengan LO. Kemudian, setiap pasukan beransur ke dorm untuk berehat dan bersiap untuk pertandingan malam nanti. Al-Mumtaz pulang ke dorm setelah singgah ke surau untuk solat jamak ta'khir berjamaah. Naik dorm, Al-Mumtaz diperintahkan sekali lagi untuk tidur. Mungkin masing2 letih, Al-Mumtaz tidur tanpa bantah. Jam 6.30 ana kejutkan Al-Mumtaz untuk mandi dan makan malam. Badan Nizam masih panas. Begitupun, ana beri semangat padanya agar bertahan. Selesai mandi, mereka semua bergerak ke dewan makan untuk makan malam. "Nizam makan buah je Ustaz", kata salah seorang ahli Al-Mumtaz. Bimbang sungguh ana. Cikgu Nazariah berulangkali merapati Nizam dan menggosok2kan badannya memberi semangat. Sesudah Nizam mengambil ubatnya dan yang lain2 makan madu, Al-Mumtaz bersama Najmi bergerak turun dan menaiki bas ke Dewan Panggung Seri. Ana dan guru2 lain menaiki kereta bersama perkusi dan kelengkapan persembahan lain.
Tiba di Dewan Panggung Seri, acara telahpun bermula. Tak sempat masing2 mendapatkan buku program, terus duduk di tempat yang telah ditentukan. Pertandingan berjalan sangat cepat. Maklumlah, hanya 5 minit untuk satu kumpulan. Komen juri hanya setiap kali selepas setiap 3 persembahan. Pada awalnya, team Al-Mumtaz bercadang untuk keluar dan bersiap selepas persembahan ke 6. Memandangkan gaya sampin yang agak sukar untuk dipakaikan, kami buat keputusan untuk keluar bersiap selepas komen juri 3 persembahan pertama. Dalam berdebar, masing2 berpeluh menyiapkan Al-Mumtaz. Yang touch up muka, touch up muka. Yang pakaikan sampin, pakaikan sampin. Brooch (betul ke ejaan ana ni) dah siap dipasang ketika menyaksikan 3 persembahan pertama. Al-Mumtaz selesai bersiap ketika persembahan ke 8, terus mereka warming up dan berlatih. Sebaik habis, mereka terus dipanggil ke belakang pentas untuk bersedia. Sempat juga ana bisikkan pada Nizam yang demam, "Tolong bertahan Nizam, 5 minit je", Najmi turut memberikan kata2 semangat padanya.
Al-Mumtaz melangkah membuat persembahan sebaik sahaja pasukan Selangor selesai beraksi. Ana bersama Najmi dan kru pentas bergerak menyusun perkusi. Selesai perkusi diatur, pemain perkusi terus bergerak masuk diikuti oleh penyanyi latar dan solo. Persembahan Al-Mumtaz pun bermula. Alhamdulillah, mereka lakukan yang terbaik malam ini. Team pengurusan dan kejurulatihan Al-Mumtaz amat bangga dengan mereka, selebihnya terserah kepada Allah. Terkejut besar ana dan jurulatih apabila komen juri amat positif. Pujian diberikan kepada Al-Mumtaz. "Ini hikmah dapat undi terakhir", lintas hati ana. "Syukur padaMU ya Allah". Majlis diteruskan dengan persembahan jemputan daripada kumpulan Nur Bayyati dan Mestica & Bro Dakmie. Kemudian, pengumuman pemenang terus dilakukan, dimulai dengan hadiah untuk Solo Terbaik Lelaki. Amat mengejutkan apabila Syed Israfil, solo Al-Mumtaz diumumkan sebagai pemenangnya. Cikgu Nazariah menangis di sebelah ana. Solo Terbaik Perempuan milik solo dari pasukan Johor. Seterusnya bagi hadiah Persembahan Terbaik, Al-Mumtaz diumumkan sebagai pemenangnya. Kali ini semua ahli Al-Mumtaz naik ke pentas bagi menerima hadiah. Ana menemani Cikgu Yusof yang selama ini banyak membantu tetapi tak pernah tampil ke pentas untuk menerima hadiah dalam mana2 pertandingan. Kemuncak pada malam itu ialah pengumuman tempat pertama, kedua dan ketiga. Al-Mumtaz (NS), Darul Rahman (Selangor) dan An Nur (Kedah) diminta bersedia di atas pentas. Kali ini ana ajak sekali seluruh team pengurusan dan kejurulatihan termasukNajmi bersama2 Al-Mumtaz di atas pentas. Diumumkan terlebih dahulu pemenang tempat ketiga yang jatuh kepada pasukan Kedah. Seterusnya diikuti pengumuman tempat pertama terlebih dahulu. Ketika penonton yang hadir ditanya oleh pengacara majlis, "Siapa juara malam ini?", terdengar di hujung telinga ana sebahagian yang hadir menyebut, "Negeri Sembilan!". Berderau juga darah ana. Namun semuanya terjawab apabila pengacara majlis mengumumkan "AL-MUMTAZ!!". "Alhamdulillah", kata ana dalam hati. Akhirnya Al-Mumtaz diumumkan sebagai juara Bintang Nasyid Mu'min Musim ke-4, 2010. Penantian team Al-Mumtaz sejak tahun 2006 bersaing di peringkat kebangsaan akhirnya membuahkan hasil. Segalanya telah ditentukan oleh Allah.
Al-Mumtaz bersama ana pulang ke dorm menaiki bas lebih kurang jam 12.15 malam. Semua hadiah telah penuh dibawa dengan kereta Cikgu Wan Shaifuzan (ayah Syahid, ahli terbaru Al-Mumtaz). Cikgu Nazariah telahpun balik ke Bahau kerana ingin menghadiri konvokesyen anak perempuan beliau keesokannya. Sampai di SMKASM, Al-Mumtaz terus ke surau untuk solat jamak ta'khir berjamaah. Sungguhpun keletihan, ana ambil sedikit masa untuk berikan tazkirah pada mereka terutamanya tentang syukur kepada Allah, berterima kasih kepada pihak2 yang membantu dan berkorban untuk mereka, tidak sombong, dah sentiasa bergantung dengan Allah dalam mengusahakan sesuatu. Ayat yang dah biasa Al-Mumtaz dengar ialah, "Kemenangan dan kekalahan adalah ujian dari Allah. Kemenangan ialah ujian, sejauh mana kita bersyukur. Kekalahan juga ujian, sejauh mana kita bersabar". Moga pesanan ana tersemat dalam hati mereka. Al-Mumtaz bergerak ke dorm hampir jam 1.30 pagi.
Hadiah Al-Mumtaz memenuhi bahagian belakang NAZA Citra Cikgu Wan Shaifuzan
Ahad (28.11.2010)
Pagi itu Al-Mumtaz ke surau agak lewat, jam 6.15 pagi. Ana sendiri tidur jam 4.00 pagi kerana keluar makan bersama ayah Syahid dan ibunya. Maklumlah, masing2 masih belum makan sejak sebelum pertandingan lagi. Solat berjamaah pertama sudahpun selesai. Al-Mumtaz dan ana berjamaah bersama beberapa orang warga SMKASM yang turut terlewat. Selesai solat, masing2 ke dorm dan sambung tidur sebentar. Jam 7.20 pagi ana kejutkan mereka untuk mandi dan bersarapan. Nizam masih demam, makan bihun 2 sudu terus berlari ke luar kerana muntah. Di dorm, ana terus berikan ubat demam pada Nizam. Sungguhpun demam, dia masih bersemangat untuk mengikuti lawatan bersama rakan2 lain. Peserta BNM di bawa ke Planetarium Melaka dan Ayer Keroh. Lawatan berakhir jam 1.00 petang. Selesai makan tengah hari, lebih kurang jam 3.30 petang Al-Mumtaz bergerak pulang ke NS. Pulang membawa kemenangan. Syukur penjaga Fatir sudi menumpangkan ahli2 Al-Mumtaz pulang dari Melaka. Hujan sekali sekala lebat mengiringi kepulangan Al-Mumtaz ke SKTMS. Kami selamat tiba di SKTMS lebih kurang jam 5.30 petang. Sebahagian ahli Al-Mumtaz dijemput oleh ibu bapa masing2, sebahagian pula ana hantar ke rumah masing2.
Al-Mumtaz bergambar kenangan sewaktu lawatan
Sekian coretan ana tentang pengalaman Al-Mumtaz sepanjang BNM di Melaka. Dah panjang sangat rasanya. Nampak gayanya ana terpaksa sambung entri berkenaan penghargaan kepada pihak2 yang terlibat membantu kejayaan Al-Mumtaz dalam entri yang lain. Bersama entri ini ana masukkan rakaman dari telefon bimbit bersembahan Al-Mumtaz sewaktu pertandingan tersebut.
Sekian. Bersambung...
No comments:
Post a Comment