Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, penguasa sekalian alam. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, sahabat2 dan hamba Allah yang menuruti jalan Baginda serta penerus perjuangan membela agama Allah di muka bumi ini. Adapun selepasnya,
Entri ini ditulis kerana merasakan ustaz perlu sedikit sebanyak meninggalkan pesan buat antum semua, lebih2 lagi mengenangkan antum semua bakal meninggalkan SKTMS tak lama lagi. Ustaz harap apabila antum berada di luar nanti, sematkanlah pesanan ustaz ini buat bekalan antum meneruskan hidup selagi dipinjamkan nyawa oleh Allah. Andaikata satu ketika kelak antum tergelincir dari jalan Allah, pulanglah kembali dengan merujuk kepada ustaz mahupun rakan2 pendidik yang lain. Ketahuilah bahawa kami akan sentiasa menerima antum selagi antum memerlukan kami walaupun antum bukan lagi anak didik kami.
Mungkin antum tak sedar, antum membesar sejak berumur 7 tahun di hadapan mata ustaz dan guru2 jQAF lain. Hingga kini antum semua telah pun berumur 12 tahun. Terlalu banyak kenangan yang tak mampu ustaz ceritakan di sini. Hanya beberapa pesanan yang dapat ustaz tinggalkan:
I. Ingat Allah, taati perintahNYA jauhi laranganNYA
Allah pencipta kita, DIA Maha Tahu segala yang baik untuk kita. Disamping penciptaan kita melalui ibu dan bapa kita, Allah telah sediakan panduan buat kita melayari hidup di dunia ini. Ingatlah, mengikuti panduan Allah bermakna kita menempah syurgaNYA, mengingkari panduan Allah hanya menjanjikan azab siksa Allah yang amat pedih di Akhirat nanti. Mencari panduan? Dapatkannya daripada ustaz mahupun ustazah disekeliling antum, membaca juga boleh membantu.
II. Hormati ibu, ayah, guru2 dan orang yang lebih tua
Tanpa ibu dan ayah, antum bukan siapa2. Antum entah di mana. Kalau lahir pun entah anak siapa, entah agama apa, entah di mana. Jadi, syukuri kewujudan mereka. Hargai mereka sementara mereka masih hidup, sentiasa doakan mereka. Satu ketika nanti bila mereka dah tiada, pasti antum akan menyesal. Guru2 adalah insan kedua yang paling rapat dengan antum selepas ibu dan ayah. Mereka adalah sebahagian dari dunia antum sepanjang 6 tahun antum berada di sekolah. Ilmu dari mereka tidak ternilai. Hargailah mereka, doakan mereka tiap kali lepas solat, ucapkanlah salam tiap kali berjumpa di mana2.
III. Menjaga aurat
Antara perkara yang amat ustaz risaukan tentang antum ialah dari hal menjaga aurat. Perkara ini ustaz perhatikan sejak dari antum masih belajar di SKTMS. Menjaga aurat adalah salah satu kewajipan yang Allah tentukan buat hamba2NYA. Jagalah aurat mengikut kehendak Allah, bukan ikut ikutan. Bimbang benar ustaz melihatkan fesyen bertudung zaman sekarang yang amat jauh dari kehendak Allah. Ingatlah, cara berpakaian juga melambangkan hati dan keimanan kita. Hanya Allah yang tahu remuknya hati ustaz setiap kali melihat ada antara antum yang gagal menutup aurat dengan baik.
IV. Memilih kawan
Perkara ini juga perlu diambil berat. Ustaz sedar, dalam umur awal dewasa keinginan berkawan amat tinggi. Ingin ustaz tekankan bahawa memilih kawan biarlah dengan timbangan iman. Kawan yang baik ialah kawan yang bila kita ingat pada dia, dia akan membuatkan kita ingat pada Allah. Dia juga mampu membetulkan kita bila kita buat salah mahupun dosa dan mengingatkan kita akan kewajipan kita kepada Allah. Kawan yang hanya berkawan tanpa menegur atau menasihati kita bila kita buat dosa adalah kawan yang tidak baik dan hanya akan lebih menjauhkan kita dari mengingati Allah.
V. Sentiasa bersungguh2 mencari ilmu
Menuntut ilmu adalah satu kewajipan buat kita semua sejak lahir hinggalah menghembuskan nafas yang terakhir. Pesanan ustaz, tuntutlah ilmu dengan bersungguh2. Ini kerana pahala menuntut ilmu amat besar di sisi Allah selagi antum ikhlas dan bersungguh2 melakukannya. Carilah ilmu sebanyak mungkin. Ustaz doakan kejayaan antum.
VI. Membaca Al-Quran setiap hari
Al-Quran mempunyai peranan yang amat besar dalam hidup setiap orang Islam, begitu juga antum. Bacalah Al-Quran setiap hari, manfaatkanlah ia sebagai penawar penyakit mahupun dalam mencari ketenangan hati. Jika berkesempatan, bacalah buku2 tafsir Al-Quran agar antum akan lebih perintah dan larangan Allah.
Kalau nak diikutkan, masih terlalu banyak yang ingin ustaz coretkan di sini. Begitupun, ustaz harap kita akan terus berhubung terutamanya melalui FB mahupun blog ini. Ustaz akan terus doakan antum agar berjaya dalam hidup.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment