Syukur pada Allah, ana berkesempatan untuk masukkan entri malam ini. Tiada acara besar yang melibatkan Al-Mumtaz hari ini. Sungguhpun begitu ana akan ceritakan juga aktiviti mereka mengikut turutan jadual yang ditetapkan.
Tidak seperti biasa, ana bangun agak awal hari ini. Seperti yang ana ceritakan dalam entri hari kedua semalam, kehadiran Cikgu Yusof dan ketidak tiduran beliau buatkan ana segan nak tido lama2. Selesai solat Subuh, ana ambil peluang untuk lengkapkan entri untuk semalam. Cikgu Yusof pula sesudah solat Subuh, mengambil peluang untuk melelapkan mata. Jam 7.00 pg ana kejutkan Cikgu Yusof untuk bersarapan. Beliau bangun, mandi dan bersiap. Seketika kemudian kami bersama turun ke kafe utuk bersarapan.
Kontinjen NS (kecuali ana dan Cikgu Yusof) bertolak ke venue pertandingan sejurus selepas bersarapan. Irsyadus Sufi akan membuat persembahan dalam sesi kedua. Ana dan Cikgu Yusof pula naik ke bilik. Ana nak siapkan entri semalam, Cikgu Yusof pula berhajat untuk mengqada' tidurnya.
Jam 10.00 pagi ana bersiap. Setelah Cikgu Yusof bangun dan berehat seketika, kami bergerak menaiki kereta Cikgu Yusof ke vanue pertandingan. Tiba di sana ana dapati sesi pertama yang sepatutnya sudahpun berakhir masih belum berakhir. Segera ana bertemu dengan sahabat ana Us. Anis, kata beliau pertandingan pagi tadi bermula lewat. Ana terus berada di barisan depan untuk menyaksikan pertandingan berlangsung.
Ketika peserta ke 11 membuat persembahan, ana diminta untuk bersama Irsyadus Sufi membuat persediaan sekaligus membacakan doa. Terus ana ke luar dewan dan bersama2 mereka membuat latihan vokal dan apabila mereka dipanggil untuk bersedia di belakang pentas, membacakan doa memohon dipermudahkan urusan oleh Allah.
Apabila giliran Irsyadus Sufi tiba, ana sudahpun berada di barisan hadapan penonton, betul2 di belakang hakim. Tika persembahan berjalan, hati ana tak henti2 berharap agar segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik seperti yang diharapkan.
Seperti yang ana jangkakan, permulaan yang lewat akan menjadikan penyudah sesuatu persembahan itu menjadi lebih lambat. Pertandingan kategori SM yang sepatutnya tamat pada jam 11.00 pg hanya tamat pada jam 1.30 petang. Kotinjen NS terus bergerak pulag ke HSM untuk makan t/hari dan meneruskan agenda program yang telah diaturkan iaitu lawatan. Kontinjen NS bersama kontinjen dari Perak akan melawat UIAM (medic) kampus Kuantan. Sempat juga ana ambil gambar dengan sahabat blog ana, Us. Anis (Abuhazieq). Semoga persahabatan ini berkekalan.
Disebabkan kelewatan masa, kontinjen NS tidak berkesempatan untuk naik ke bilik selepas makan t/hari. Mereka diminta untuk kembali ke bas dan akan segera berangkat ke UIAM untuk lawatan. Ini kerana UIAM hanya memberikan masa antara jam 2 petang hingga petang sahaja untuk lawatan.
Perjalanan dari HSM ke UIAM cawangan Kuantan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Kami tiba kira2 pada jam 3.30 petang. Ketibaan kami disambut oleh wakil dekan dan terus dibawa ke Medical Teaching Technology Resource Centre (Pusat Sumber Teknologi Pendidikan Perubatan) untuk taklimat ringkas. Setelah diberi taklimat secara umum berkenaan kampus UIAM cawangan Kuantan, taklimat berkenaan pusat sumber dilakukan oleh salah seorang pegawai yang ditugaskan pada petang tersebut. Rupa2nya pusat sumber tersebut mengandungi pelbagai spesimen daripada organ manusia, daripada organ sebenar hinggalah organ tiruan, daripada sekecil2 organ hinggalah sebesar2 organ, daripada gambar dan spesimen seekor sperma hinggalah spesimen seorang bayi. Pusat sumber itu juga menempatkan bilik mayat, bertujuan untuk kajian autopsi yang menjadi sebahagian daripada syarat wajib seseorang mahasiswa perubatan di kampus ini untuk lulus. Sungguhpun begitu, tiada gambar dibenarkan untuk diambil. Ana hanya dibenarkan mengambil gambar sewaktu taklimat sahaja.
Selesai lawatan, kami bergerak pulang ke hotel. Tiba di hotel lebih kurang jam 6.30 petang, kami diminta untuk berada semula di dalam bas pada jam 7.30 malam untuk bertolak ke Majlis Jamuan Makan Malam Negeri yang diadakan di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kuantan. Jam 7.30 malam kami semua sudahpun bersiap dan berada dalam bas. Sejak malam pertama kami di sini, kelancaran perjalanan kami dibantu oleh 'rider' trafik yang ditugaskan khas untuk mengiringi dan membuka jalan untuk kami. Bastnya rasa langgar lampu merah...
Tiba di Bahagian Teknologi Pendidikan, kami mengambil tempat. Meja bulat yang memuatkan 10 orang (Al-Mumtaz dan ana) telah tersedia hidangan 5 atau 6 jenis lauk pelbagai jenis. Namun yang pasti, kalau dah nama negeri Pahang, ikan patin masak tempoyak mesti tak tinggal. Majlis dibuka dengan bacaan doa seterusnya makan malam. Jenuh juga ana layan Al-Mumtaz ni, 2 puteri ana pun belum tentu ana layan macam tu. Nasi bersendukkan, lauk berletakkan, air berisikan. Bukan apa, kalau ana biar mereka buat sendiri alamat terbalik la meja bulat tu. Selesai jamuan, majlis disambung dengan ucapan daripada wakil MB Pahang seterusnya penyampaian cenderahati kepada wakil negeri2 yang menyertai Festival. Kejutan berlaku apabila urusetia Festival memaklumkan bahawa satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menilai sejauh mana disiplin, ketepatan masa, etika berpakaian dan bersosial setiap kontinjen yang hadir ke Festival pada tahun ini. Lebih manis apabila kontinjen NS turut tersenarai antara 5 kontinjen yang terpilih untuk menerima penganugerahan tersebut (hadiahnya hamper je). Yang penting ialah penganugerahan, hadiah tu belakang kira.
Kami kembali ke HSM kira2 jam 10.30 malam. Selesai solat dan berehat, tiba2 datang beberapa orang ahli Irsyadus Sufi membawakan kami murtabak. Murtabak Kuantan namanya. Pengurus Irsyadus Sufi, Kak Ju belanja. Memang istimewa. Isinya tebal dan penuh dengan inti daging serta ayam. Kebetulan ana tak makan nasi waktu makan malam tadi kerana dahulukan nasi untuk Al-Mumtaz, ana ratah ikan patin je. Budak2 ni pulak tak makan ikan patin, besar sangat kata mereka. Takut nak makan. Jadi, ana je la yang pulun ikan patin tu.
Sekian perkembangan hari ketiga Festival Nasyid Sekolah2 KPM Peringkat Kebangsaan kali ke 6, 2009 dari Kuantan, Pahang Darul Makmur. Insya Allah, entri penutup akan ana masukkan malam esok berserta keputusan penuh Festival. Jika berkesempatan, ana akan masukkan juga beberapa komen yang ana terima daripada hakim2 mahupun mana2 individu berautoriti berkenaan Festival tahun ini. Subhanallah, berdebar hati ana tak sudah2. Tak tentu hala jadinya ana selagi belum dapat keputusan. Apapun, kami kontinjen NS mengharapkan tempat terbaik tahun ini. Berjaya atau tidak terserah kepada Allah. Segala2nya datang dariNya.
Wassalam.
Irsyadus Sufi sedang membuat latihan sebelum persembahan
Irsyadus Sufi pertama kali beraksi di pentas Kebangsaan
Bergambar kenangan bersama sahabat ana, Us. Anis (Abuhazieq)
Mendengar taklimat daripada pegawai UIAM
Posing di hadapan Fakulti Perubatan UIAM, Kuantan
Makan Malam Negeri sempena Festival
Sahsiah terpuji terbukti, bersama hamper kemenangan.
Serikandi nogori. Dari kiri, Cik Shida, Pn. Asiah, Pn. Nazariah & Cik Hawa
No comments:
Post a Comment