Cuti persekolahan telahpun sampai ke pertengahannya. Bagi ana, seusai sambutan Aidiladha di kampung zaujah ana di Kelantan (alhamdulillah, mujur tak banjir), ana bergerak pulang ke NS, cuba berseorangan di rumah sendiri (walaupun baru pertama kali rasanya ana berjauhan lebih 2 minggu daripada zaujah dan anak2 ana). Kembalinya ana ke NS hanyalah atas urusan tugasan yang masih belum selesai. Disamping itu, ana ambil peluang ini untuk menyelesaikan urusan2 peribadi yang tertunggak selama ini. Kebetulan seorang sahabat ana meminta bantuan ana menyudahkan tugasan yang agak sukar untuk beliau sempurnakan lantaran kesibukan tugas.
II.
Bercakap soal Aidiladha, pasti umum biasa mendengar fakta bahawa Aidiladha lebih meriah di Kelantan berbanding tempat2 lain. Kali pertama berhari raya di sana barulah ana dapat rasakan perbezaan dan kemeriahannya. Antara aspek utama yang membawa kepada kemeriahannya ialah pelaksanaan qurban yang agak berbeza jika dibandingkan dengan tempat2 lain. Biasanya, qurban dilakukan secara berkelompok, sebaliknya di Kelantan ia dilakukan secara berasingan (maksudnya lembu qurban disembelih di tempat2 berbeza mengikut individu2 yang melakukan qurban). Kemudian, bahagian yang diperolehi oleh individu yang melakukan qurban akan dimasak seterusnya dijemput ahli keluarga dan sanak saudara termasuk kenalan terdekat untuk datang menjamu selera di rumah mereka. Bayangkan jika dalam sebuah kampung, 20 ekor lembu diqurbankan, maka jemputan untuk menjamu selera di rumah jiran2 dan penduduk kampung tersebut pasti menjangkau sekurang2nya 3 tau 4 buah rumah sehari.
III.
Usaha ana membantu salah seorang sahabat ana yang bertugas dalam bidang kehakiman Syariah menyudahkan tugasannya membuatkan ana terkenang saat2 ana menuntut di KIPSAS dan USIM sebelum ini. Selama 6 tahun ana bergelumang dengan Akta, Enakmen, dalil2 Syarak dan kes2 Syariah dan sivil membuatkan hati ana kembali merindui dunia tersebut. Kadang2 tergerak juga hati ana untuk kembali ke dunia yang pernah ana lalui itu. Bukan maknanya ana jemu ataupun tawar hati dengan dunia perguruan, ana sendiri tak memilih kerjaya, tetapi bila difikir2kan tiada hasil pengajian (Diploma & Ijazah) yang dapat ana aplikasikan dalam hidup ana mahupun kerjaya ana sehingga ke saat ini jika ana masih dalam bidang perguruan. Terfikir juga jika ana dapat membantu masyarakat melalui bidang yang sememangnya menjadi lubuk ilmu ana satu ketika dulu. Apapun, ana perlukan masa untuk memikirkan pro dan kontra apa juga keputusan ana dalam perkara ini. Yang pasti, dunia undang2 Syariah kambali melambai hati ana.
IV.
Insya allah, sehari ataupun 2 hari awal daripada tarikh kembalinya ibu mertua ana dari Tanah Suci Makkah (15.12.09), ana akan pulang ke Kelantan. Disamping pulang kerana akan pergi menyambut kepulangan beliau di Lapangan Terbang Kuala Terengganu, ana juga dimints oleh salah seorang sahabat ana (Us. Hasrul) untuk mendapatkan alat muzik Dikir Barat untuk kegunaan sekolah beliau. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ana telahpun menghubungi Abe Mail (ana pernah ceritakan tentang beliau dalam entri terawal) dan beliau telahpun bersetuju untuk menyediakan dan mendapatkan alat2 muzik tersebut. Bagi sahabat2 yang ingin mendapatkan alat muzik Dikir Barat, insya allah ana boleh ikhtiarkan. Anggaran perbelanjaan ialah RM1000.00. Sila hubungi ana untuk maklumat lanjut.
Ana rasa sekian dahulu untuk kali ini. Insya allah, ana cuba usahakan untuk cari masa masukkan entri terbaru nanti.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment